Kenapa IKRAM Teens? Ia merupakan platform untuk menjalankan pelbagai program remaja yang dapat diisikan pada masa lapang. Selain itu, ia merupakan tempat suai kenal untuk merapatkan lagi silaturahim antara saudara seislam. Remaja juga akan didedahkan dengan keterlibatan dalam penganjuran sesuatu program yang dapat mematangkan mereka pada masa akan datang.
Ammar dalam ucapannya menekankan bahawa remaja hendaklah hebat dan soleh, antaranya hebat dalam solat, hebat dalam pelajaran, hebat dalam aktiviti serta taat dan kasih kepada ibu bapa yang merupakan jalan kejayaan dunia dan akhirat.
Selain itu, lulusan Komputer Sains dari Universiti Malaya ini juga menceritakan kisah dua sahabat, Muaz, 13, dan Muawaz, 17, yang mempunyai semangat juang untuk menyertai perang Badar, tetapi Rasulullah tidak membenarkannya kerana mereka masih kecil. Walau bagaimanapun mereka tetap berdegil untuk menyertainya peperangan tersebut. Akhirnya Rasullullah memberi mereka ujian iaitu bergusti. Jika mereka lulus dalam ujian tersebut, mereka dibenarkan untuk menyertai peperangan. Dan ternyata mereka telah menunjukkan semangat juang yang tinggi.
Dalam peperangan tersebut, misi mereka adalah untuk membunuh seorang saja, iaitu Abu Jahal. Semasa pertempuran berlaku, mereka menyorok di celah-celah batu dan kuda tentera Muslimin untuk mencari Abu Jahal. Apabila ternampak Abu Jahal di atas kuda, Mereka menikam kuda tersebut. Kuda itu terjatuh bersama Abu Jahal. Mereka terus menikam Abu Jahal pula. Bagi membuktikan semangat mereka pada Rasullullah, mereka memenggal kepala Abu Jahal dan membawa kepada Rasulullah.
Kisah yang diceritakan oleh Ammar ini sekadar membuktikan bahawa para remaja Muslim dahulu mempunyai semangat juang yang cukup tinggi.
Dalam slot yang kedua, Ummi Ida (gambar kiri) memberi penerangan berkenaan IKRAM Teens yang akan dilancarkan. Beliau turut menayangkan klip video tentang riwayat hidup Rasulullah bersama para sahabat dalam usaha menegakkan agama Allah. Beliau menceritakan tentang perihal sifat Rasulullah, antaranya sifat fizikalnya dan sifat akhlaknya yang mulia sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pertama kali melihat Rasulullah terus mengucap syahadah.
Melihat masalah gejala sosial yang kian meningkat, Ummi Ida menyeru agar remaja masa kini sentiasa mengamalkan sunnah Rasulullah untuk kebaikan dunia dan akhirat.