Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyokong penuh usaha yang dibuat oleh Pejabat Pendidikan Kuantan untuk mewajibkan sekolah menganjurkan solat berjemaah sebelum pelajar pulang ke rumah.
Membiasakan murid dengan solat berjemaah bukan sahaja untuk membantu pembinaan karakter dan jati diri mereka, tetapi juga merupakan komponen penting pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Islam.
Seperti dimaklumi, mata pelajaran Pendidikan Islam dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) memberi penekanan kepada aspek ilmu, amali, amalan, penghayatan dan pembudayaan.
Murid bukan sahaja perlu dibimbing untuk menguasai ilmu tentang Islam tetapi murid juga perlu dibimbing melaksanakan amali pada tajuk-tajuk yang boleh diamalkan seperti ibadah wuduk dan solat supaya kefahaman dan amalan mereka betul.
IKRAM menegaskan bahawa usaha ini tidak bercanggah, malah sangat bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menyatakan bahawa Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Oleh itu, FPK perlu mendapat kedudukan sewajarnya serta menjadi pemberat yang penting dalam pembangunan sahsiah murid. Kedudukan dan nilai keunggulan FPK, dalam konteks pembinaan sebuah negara yang progresif dan maju, perlulah dilaksanakan secara lebih meluas iaitu merangkumi aspek kemanusiaan, fizikal dan keagamaan.
IKRAM yakin semua pihak prihatin dengan gejala sosial semakin parah. Umumnya masyarakat sangat bimbang dengan gejala ponteng sekolah, buli, samseng, merokok, penyalahgunaan dadah, buang bayi dan jenayah besar yang semakin meruncing dalam kalangan pelajar. Di samping itu, masyarakat kita dihantui dengan isu integriti seperti gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
IKRAM menegaskan bahawa para pelajar perlu diasuh bukan sahaja cemerlang dalam aspek akademik semata-mata tetapi juga aspek jasmani, moral dan spiritual. Malah para pelajar seharusnya diasuh supaya mempunyai jati diri yang tinggi, akhlak yang unggul dan sifat integriti yang mantap. Membudayakan solat merupakah salah satu caranya.
Beberapa kajian yang dijalankan di Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia telah menunjukkan korelasi positif antara masalah disiplin dengan pengabaian solat.
IKRAM yakin usaha sebegitu akan mencapai hasrat FPK “..melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
Mengenai kerisauan setengah pihak, IKRAM berpandangan, program solat berjemaah ini tidak langsung memberi kesan kepada pelajar-pelajar bukan Islam kerana ia dilakukan selepas waktu persekolahan sebelum pelajar pulang ke rumah.
Solat berjemaah juga telah diterima sebagai sebahagian daripada syiar serta cara hidup orang Islam dan ia tidak menimbulkan masalah dalam agenda seharian kehidupan masyarakat majmuk Malaysia.
Pelaksanaan di sekolah juga sewajarnya tidak menimbulkan kejanggalan dan rasa terpinggir murid bukan Islam kerana mereka telah menerimanya dalam kehidupan bermasyarakat seharian.
Prof. Dr. Omar Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)