IKRAM Sokong Penuh Penubuhan Jawatankuasa Khas Anak Muda di Setiap Masjid

IKRAM Sokong Penuh Penubuhan Jawatankuasa Khas Anak Muda di Setiap Masjid

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyambut baik dan menyokong penuh saranan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) baru-baru ini mengenai kepentingan penglibatan anak muda dalam struktur tadbir urus masjid.

IKRAM melihat kenyataan tersebut sebagai satu langkah pengukuhan terhadap usaha yang telah dimulakan oleh kebanyakan negeri yang mewajibkan penubuhan Biro Belia atau penglibatan Rakan Muda di masjid. Penegasan ini sangat tepat pada masanya bagi memastikan peranan anak muda bukan sekadar angka, tetapi penggerak strategik yang berkesan.

Sehubungan itu, IKRAM ingin memberikan penjelasan lanjut mengenai kepentingan peranan golongan anak muda dalam jawatankuasa masjid berdasarkan perkara berikut:

1. Memperkukuh Struktur Sedia Ada

Walaupun kebanyakan negeri telah mempunyai garis panduan mengenai Biro Belia, penegasan daripada pihak Menteri memberikan isyarat jelas tentang keperluan pemerkasaan fungsi biro tersebut agar lebih inklusif dan tidak bersifat sekadar “pelengkap syarat” dalam organisasi masjid.

2. Memupuk Kepimpinan Berteraskan Nilai

Masjid merupakan medan latihan kepimpinan yang paling organik. Melalui inisiatif seperti Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (HAMKA), anak muda diberikan ruang untuk mengasah bakat kepimpinan yang berilmu, sekali gus menjamin kelangsungan kepimpinan institusi agama yang dinamik pada masa hadapan.

3. Masjid Sebagai Hab Belia Madani

IKRAM percaya bahawa penglibatan aktif anak muda akan mengubah persepsi masjid daripada tempat ibadah khusus kepada pusat kecemerlangan ummah yang mesra belia. Hal ini secara langsung membantu pembangunan sahsiah dan memberikan rasa kepunyaan (sense of ownership) dalam kalangan generasi muda terhadap institusi masjid.

IKRAM memahami dan menghormati bahawa bidang kuasa pengurusan masjid di negeri-negeri tertakluk di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) masing-masing.

Justeru, IKRAM berharap agar aspirasi yang disuarakan di peringkat persekutuan ini dapat diselaraskan dengan harmoni di peringkat negeri bagi memastikan agenda pemerkasaan belia masjid mencapai matlamatnya di seluruh negara.

IKRAM sentiasa bersedia untuk berkolaborasi dengan Pejabat Menteri, JAKIM, MAIWP, JAWI serta pihak berkuasa agama negeri-negeri bagi menyediakan kepakaran dan modul pembangunan belia yang relevan demi memartabatkan institusi masjid sebagai jantung masyarakat.

Mohd. Hafiz Abd. Hamid
Setiausaha Agung
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia