KUALA LUMPUR – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah menyertai Bengkel Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) bagi merangka Strategi Pembudayaan Integriti Nasional.
Bengkel yang berlangsung pada 18 Jun lalu di Auditorium Institut Integriti Malaysia telah dianjurkan oleh Malaysia Industry-Government for High Technology (MIGHT) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM).
FGD ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan daripada sektor awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO), termasuk wakil daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, MRANTI, TalentCorp, CyberSecurity Malaysia, KWSP, MMC Ports, Persatuan Bank-bank, Rasuah Busters, PPIM, NASR, Persatuan Surirumah Rahmah dan lain-lain.
IKRAM diwakili oleh Naib Presiden, Prof. Dr. Hanim Salleh dan En. Mohammad Abdul Hamid, selaku Ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) Agenda Nasional. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen IKRAM dalam menyumbang buah fikiran ke arah pembangunan dasar integriti yang inklusif dan efektif bagi negara.
Perbincangan kumpulan fokus ini menjadi landasan penting dalam mengenal pasti cabaran, keperluan dan strategi bagi membudayakan nilai integriti dalam pelbagai segmen masyarakat dan organisasi. Input daripada pelbagai wakil sektor dijangka akan digabungkan sebagai asas penyediaan draf akhir strategi nasional.
Penglibatan aktif IKRAM dalam sesi seperti ini mengukuhkan peranannya sebagai NGO yang proaktif dalam agenda pemerkasaan nilai-nilai murni, tadbir urus baik dan pembinaan masyarakat berintegriti tinggi.