IKRAM Rakan Strategik Pacu Malaysia MADANI

IKRAM Rakan Strategik Pacu Malaysia MADANI | IKRAM

SHAH ALAM – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memainkan peranan penting sebagai rakan strategik Kerajaan Perpaduan untuk memacu gagasan Malaysia MADANI.

“IKRAM sebagai NGO memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam menjadi rakan strategik kepada kerajaan untuk memacu gagasan baharu Malaysia MADANI yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10 baru-baru ini.”

Naib Presiden IKRAM, Prof Dr Hanim Salleh berkata demikian ketika menjadi ahli panel Wacana ‘Pendekatan Rahmah Memacu Pembangunan Negara Madani’ iaitu sesi pertama dalam Konvensyen Malaysia Negara Rahmah hari ini.

Wacana hari ini menampilkan empat orang ahli panel yang hebat dari pelbagai latar belakang yang berbeza namun saling melengkapi. 

Mereka terdiri daripada Dato’ Dr Madeline Berma (mantan Pesuruhjaya SUHAKAM), Prof Emeritus Dr Jamal Othman (Pakar ekonomi, UKM), YB Dr Mohammad Taufiq Johari (Ahli Parlimen Sungai Petani) dan Prof Dr Hanim yang mana Azlan Shah Nabees Khan merupakan moderator wacana. 

Jelas Prof Dr Hanim, IKRAM sebagai sebuah NGO telah melaksanakan pelbagai libat urus bagi memastikan usaha memandaikan masyarakat dan rakyat Malaysia terlaksana. 

“Antara yang sekian lama dilaksanakan oleh IKRAM adalah gerak kerja advokasi polisi yang berterusan bagi membantu kerajaan untuk memacu gagasan yang ditetapkan.”

“Advokasi awam pula dilaksanakan dengan memberi fokus kepada pendidikan masyarakat yang menjadi wadah sebagai pembuka minda dan penyampaian maklumat kepada akar umbi,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi mencapai visi besar iaitu Malaysia Menjadi Negara Rahmah, IKRAM tidak dapat tidak perlu bekerjasama dengan pelbagai pihak dan sentiasa berusaha mencari titik persamaan bagi mencapai visi yang telah digariskan.

“Ini merupakan agenda nasional yang digerakkan secara bersama dengan melibatkan pelbagai gabungan sama ada dari pihak kerajaan, agensi-agensi mahupun NGO-NGO lain,” tegas beliau. 

Melihat dari kaca mata pembuat dasar, Dr Mohammad Taufiq Johari pula, dalam usaha untuk membangunkan negara secara menyeluruh, tanggungjawab tersebut tidak hanya perlu digalas oleh kerajaan semata. Namun, usaha secara sinergi ini seharusnya didukung juga oleh rakyat Malaysia sendiri.

Katanya, kerajaan boleh merangka, memandu dan menyediakan pelbagai polisi, namun sejauh mana anak-anak muda bersedia untuk digembleng agar hasrat ini berjaya perlu juga diberi perhatian. 

“Apabila kerajaan melontar idea, tidak akan berjaya jika rakyat tidak ambil tahu, malah lebih bahaya lagi jika anak muda bukan sekadar  tidak ambil tahu tetapi menentang agenda yang dibawa. Maka, inilah titik yang akan membawa kepada kejatuhan kerajaan,” jelas Dr Taufiq.

Oleh yang demikian, bagi beliau, kerajaan seharusnya berusaha dengan segala kapasiti yang ada untuk memberi penerangan kepada rakyat sehingga mereka faham dan menyokong kepada agenda yang dibawa oleh kerajaan.

Beliau turut menekankan bahawa maklumat yang disampaikan kepada rakyat juga mestilah diulang-ulang sehingga rakyat faham dan terima seterusnya mendukung setiap aspirasi yang baik itu. 

Menurut Dato’ Dr Madeline Berma, jika dahulu kesenjangan kemiskinan hanya melibatkan kesenjangan ekonomi antara kaum. Namun hari ini, kesenjangan itu lebih parah lagi apabila ia melibatkan intra-kaum. Namun, ia seperti tenggelam dan kurang diambil peduli kerana politik kita hari ini didasari oleh politik kaum. 

Menurut beliau, kesenjangan antara wilayah dan gender juga semakin ketara hari ini. Beliau turut menyatakan tiga cara mengukur kemiskinan iaitu kemiskinan mutlak, kemiskinan relatif dan kemiskinan multi dimensi.  

“Kemiskinan mutlak inilah yang ingin dinoktahkan oleh Perdana Menteri kita hari ini, Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” katanya. 

Jelasnya, hari ini  kemiskinan multidimensi lebih menyeluruh untuk kita lihat dan teliti, bukan sekadar melibatkan miskin wang, namun mencakupi miskin adab, miskin nilai, ilmu dan pelbagai lagi. 

“Masih banyak usaha yang perlu dilaksanakan untuk menoktahkan kemiskinan ini. Perlu kepada usaha dan sokongan padu semua pihak,” tambah Dr Madeline.

Bagi Prof Emeritus Dr Jamal, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) hanya mengukur prestasi ekonomi semata, namun ia tidak memberi ukuran sebenar kepada kesejahteraan sejagat. Jika mahu mengukur kesejahteraan rakyat, maka KDNK tidak boleh menjadi kayu ukur tunggal.

“Kita semua tahu, selain daripada kadar peningkatan ekonomi, kesejahteraan sejagat juga tidak boleh kita abaikan. Maka, kerajaan perlu meletakkan kayu ukur yang benar jika mahu mendapat keputusan tepat,” kata beliau.

Pada akhir wacana ini, pelbagai soalan telah diajukan oleh para peserta kepada ahli panel. Dapat dilihat, penglibatan pelbagai pihak bermula dari pembuat polisi dan dasar iaitu pihak kerajaan perlulah disambut dan digembleng bersama oleh ahli akademik, agensi dan NGO dalam usaha memastikan kesenjangan ekonomi ini dapat dirapatkan jurangnya.

Yang paling penting, semua usaha ini mestilah sampai kepada rakyat sehingga mereka menyokong dan menggerakkan agenda ini sehingga mencapai kejayaan.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia