IKRAM: Penganjuran Seksualiti Merdeka Menongkah Prinsip Islam dan Fitrah Kemanusiaan

Program Seksualiti Merdeka bertujuan memperjuangkan kesamarataan dalam pengamalan seks dan menentang diskriminasi ke atas golongan-golongan LGBTIQ (Lesbian, Gay, Bisexual, Transexual, Intersexual and Queer).

IKRAM ingin mengingatkan bahawa usaha untuk menyebarkan amalan-amalan seks yang bertentangan dengan fitrah kemanusiaan ini akan hanya membawa kepada kemusnahan individu, masyarakat dan negara.

Allah swt telah mengingatkan umat manusia untuk menjauhi amalan seks yang melampaui batas ini melalui firmanNya dalam Surah Al-A’raaf, ayat 80 – 81 yang bermaksud:

“Dan (Kami mengutus) Nabi Lut, ketika dia berkata kepada kaumnya, Mengapa kamu melakukan perbuatan keji, yang belum pernah dilakukan oleh seorang pun sebelum kamu (di dunia ini). Sungguh, kamu telah melempiaskan syahwatmu kepada sesama lelaki bukan kepada perempuan. Kamu benar-benar kaum yang melampaui batas.’”

Mereka yang terlibat dengan amalan seks yang bertentangan dengan fitrah kemanusiaan ini secara umumnya terbahagi kepada dua golongan:

1. Golongan yang berhadapan dengan masalah kecelaruan identiti gender

2. Golongan yang jelas identiti gendernya tetapi celaru dalam orientasi seksualnya dan sengaja memilih pasangan sejenis.

IKRAM insaf dan maklum tentang kewujudan segelintir kecil golongan manusia yang diciptakan Allah swt yang mempunyai permasalahan kecelaruan identiti gender kerana faktor biologikal, penderaan-penderaan fizikal, seksual, psikologi, emosi dan mental atau faktor-faktor persekitaran yang lain. Namun, Islam telah menyediakan garis panduan yang seimbang dan sejahtera untuk mengurus dan mengatasi kecelaruan ini.

Bagi golongan kedua, yang berhadapan dengan masalah kecelaruan orientasi seksual, Islam menegaskan bahawa golongan ini hendaklah kembali kepada fitrah kemanusiaan untuk kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat.   IKRAM menolak sebarang usaha untuk menyebar amalan seksual yang bertentangan dengan syariah Islam dan fitrah kemanusiaan. IKRAM juga menolak kehendak sebilangan golongan yang mempunyai kecelaruan identiti untuk diberikan hak melakukan hubungan seks songsang seperti hubungan homoseksualiti dan biseksualiti.

Hubungan jenis ini membuka ruang kepada hubungan seks rambang, tiada pertanggungjawaban, penyebaran nilai-nilai yang tidak bersopan, pornografi, penyembahan seks serta penyebaran pelbagai jenis penyakit kelamin. Kajian saintifik yang dilakukan oleh banyak pihak di barat telah memberi amaran bahawa hubungan homoseksualiti dan biseksualiti boleh menghancurkan sesebuah masyarakat dan negara.

Golongan LGBTIQ sebenarnya merupakan satu kelompok manusia yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Usaha hendaklah dilakukan oleh mereka yang pakar untuk mendampingi golongan LGBTIQ dan membimbing mereka agar mereka dapat kembali menjalani kehidupan biasa dan tidak tersisih dari masyarakat.

Sehubungan itu IKRAM mendesak agar:

1. Usaha untuk menyebarkan amalan-amalan seks songsang dan bebas ini dihentikan serta merta.

2. Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan-jabatan Agama Negeri dan NGO-NGO Islam dan bukan Islam hendaklah berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh bagi membantu golongan yang mengalami kecelaruan seksual ini.

3. Masyarakat umum hendaklah sedaya upaya membantu mereka yang ingin kembali kepada fitrah asal kemanusiaan. 

IKRAM juga ingin menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi membantu golongan LGBTIQ ini dengan menawarkan kepakaran yang wujud dalam Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga IKRAM (PAKSI – IKRAM).

IKRAM bersedia berdialog dengan pihak penganjur  Seksualiti Merdeka bagi mencari jalan terbaik ke arah membangunkan negara yang maju dan sejahtera. Semoga Allah swt merahmati masyarakat dan negara kita yang tercinta.


Prof Madya Dr Harlina Halizah Hj Siraj

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial

Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia