SERI KEMBANGAN – Terkesan dengan komitmen dan gaya kepimpinan Almarhum Hj. Shahrul Aman Mohd Saari, IKRAM Muda telah menganjurkan Akademi Kepimpinan Shahrul Aman (AKSA) Sesi 1 pada Sabtu, 17 Mei lalu.
Program sulung AKSA ini berjaya menghimpunkan lebih 60 orang peserta dari seluruh negara menjadi platform latihan kepimpinan yang berstruktur, yang bertujuan untuk memperkasa peranan anak muda sebagai pelapis masa depan gerakan.
Dalam pada itu, program ini dijalankan secara intensif selama 12 jam, bertemakan “Perjuangan Bermula” melibatkan tujuh penceramah berpengalaman yang menyampaikan pelbagai pengisian bersifat nilai, praktikal dan strategik dalam membentuk daya fikir serta kesiapsiagaan peserta untuk turun ke medan sebenar.
Pengisian dimulakan dengan slot “Mind Setting AKSA: Membangunkan Cita-cita” oleh Abdullah Zubayr Mohd. Aizaini, disusuli refleksi khas “Hidup Almarhum Shahrul Aman” yang disampaikan dengan penuh emosi oleh Setiausaha Agung IKRAM, Mohd. Hafiz Abd. Hamid (Hafiz Bai).
Slot 1 diteruskan mengenai “Dunia Belia & Santunan Da’ie” oleh Prof. Dr. Haslinda Abdullah yang membincangkan isu semasa belia dan pendekatan dakwah berhemah.
Bagi Slot 2, perkongsian lapangan dibentangkan dalam dua sesi berasingan: “IKRAM Muda di Lapangan: Komuniti Belia Pahang Barat” oleh Mohamad Faisal Mohamed Azmi, serta “Komuniti Mengaji Sisters Cyberjaya” oleh Ustazah Khadijah Husni dan Ayuni Azalin Azami.
Slot 3 bertajuk “Mengurus Kepelbagaian, Mencipta Ruang Selamat” disampaikan oleh Akif Basri, yang menekankan keperluan kepimpinan yang inklusif dan peka terhadap sensitiviti masyarakat. Manakala Ustaz Aatdiff Ahmat mengupas “Tadabbur Sirah Pasca-Uhud” dalam Slot 4, memperlihatkan kebijakan Rasulullah SAW dalam mengurus pasukan yang pelbagai latar.
Program ditutup dengan sesi “Melakar AKSA” yang disampaikan oleh Usaid Asmadi, yang merumuskan segala input sepanjang hari dan membimbing peserta untuk membina pelan tindakan pascaprogram.
Menurut pihak penganjur, penganjuran AKSA ini merupakan permulaan kepada rangka latihan berkala yang dirancang untuk membentuk barisan kepimpinan muda IKRAM Muda yang berintegriti, strategik dan bersedia menyumbang kepada perubahan masyarakat secara sistematik dan mampan.