Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru yang mengorbankan dua orang anggota polis pada awal pagi Jumaat, 17 Mei lalu.
IKRAM menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga kedua-dua anggota polis tersebut serta warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
IKRAM berharap individu-individu atau kumpulan yang bertanggungjawab dalam serangan ini dibawa ke muka pengadilan.
IKRAM juga menyarankan pihak polis agar dapat meningkatkan kawalan keselamatan dan menjalankan siasatan segera untuk membanteras aktiviti ekstrem dan keganasan.
Islam adalah agama rahmah yang amat menitikberatkan kasih sayang sesama insan.
Keamanan dan keharmonian yang dikecapi perlu dikekalkan dan sebarang anasir yang menggugat kesejahteraan negara mesti dibanteras hingga ke akar umbi.
Justeru itu, rakyat diseru agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi serta menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia