Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) melahirkan rasa kesal atas kegagalan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.
RUU ini merupakan sebahagian daripada agenda reformasi institusi yang penting dalam memperkukuh sistem demokrasi di Malaysia. Had dua penggal bukan ditujukan kepada mana-mana individu, tetapi sebagai langkah struktur untuk memastikan keseimbangan kuasa, mencegah pemusatan kuasa yang berpanjangan serta memupuk budaya peralihan kepimpinan yang sihat dan bertanggungjawab.
IKRAM memandang serius hakikat bahawa hampir satu pertiga ahli Parlimen tidak menyokong atau tidak hadir dalam sesi undian yang amat penting ini. Sebarang ketidakhadiran tanpa uzur syarii atau alasan munasabah adalah suatu pengabaian amanah rakyat. Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا ٱلْأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهْلِهَا
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.” (Surah an-Nisa’: 58)
Sebagai wakil rakyat, ahli Parlimen memikul amanah besar untuk membuat dasar yang memberi kesan jangka panjang kepada negara dan kepemimpinannya.
Dalam kerangka Negara Rahmah, pemimpin yang kompeten, berintegriti dan berakauntabiliti adalah asas penting. RUU ini bertujuan memastikan sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri pada masa hadapan tertakluk kepada had dua penggal demi menjamin tadbir urus yang lebih telus dan seimbang.
IKRAM berharap peristiwa ini menjadi pengajaran kepada semua pihak, khususnya ahli Parlimen, agar lebih tegas dan konsisten dalam menyokong reformasi yang memperkukuh integriti institusi negara. Reformasi bukan sekadar slogan, tetapi menuntut komitmen, keberanian dan kesetiaan kepada amanah rakyat.
Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia




