Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengecam sekeras-kerasnya serangan udara kerajaan haram Israel terhadap Gaza dan pengiktirafan Amerika Syarikat bahawa Bukit Golan sebagai wilayah Israel baru-baru ini.
IKRAM menyifatkan serangan terhadap Gaza merupakan tindakan terdesak kerajaan Israel pimpinan Benjamin Netanyahu untuk meraih populariti menjelang pilihan raya umum Israel tidak lama lagi.
Pengiktirafan Amerika Syarikat oleh Presiden Donald Trump bahawa Bukit Golan sebagai wilayah Israel pula boleh memburukkan lagi ketidakstabilan Asia Barat yang sememangnya telah begitu sarat dengan pelbagai konflik yang tidak berkesudahan.
Pendirian Amerika Syarikat terhadap Bukit Golan itu jelas melanggar Resolusi 497 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan bahawa Israel tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melaksanakan undang-undang, pentadbiran di wilayah milik Syria itu.
IKRAM menyambut baik dan memuji tindakan kerajaan Malaysia yang mengutuk serangan Israel terhadap Gaza dan bersikap tegas mengutuk pendirian Amerika Syarikat dalam isu Bukit Golan yang jelas telah melanggar undang-undang antarabangsa.
IKRAM turut menyeru semua negara di dunia menggunakan kedudukan dan pengaruh masing-masing bagi memberikan tekanan ke atas rejim Israel dan Amerika Syarikat sehingga mereka menghentikan segera kezaliman ini.
Desakan juga perlu dibuat kepada PBB, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) serta kuasa-kuasa besar untuk bertindak segera bagi menghentikan pembunuhan rakyat Palestin di Gaza dan memberikan tekanan kepada Amerika Syarikat untuk menarik balik pengiktirafan Bukit Golan sebagai wilayah Israel.
Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia