PASIR MAS – Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Hj. Badlishah Sham Baharin, merasmikan Majlis Jalinan Ukhuwah Banjir di Dewan Taman Prima, Lubok Jong di sini pada Sabtu, 28 Disember lalu bagi menyantuni 800 keluarga mangsa banjir di sana.
Beliau yang tiba bersama Timbalan Presiden, Tn. Jusni Yusoff dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikram Malaysia, Hj. Ainullotfi Abdul Latif kemudiannya dibawa melawat Pusat Operasi Bantuan Banjir (POBB) di Tunjong.
Rombongan yang diiringi pasukan pacuan empat roda dan kumpulan bikers seperti Majestic Motor Club dan MyIKRAM Bikers membawa bantuan keperluan asas untuk diagihkan kepada 800 keluarga terjejas. Bantuan merangkumi pek makanan, beras dan kelengkapan kebersihan.
Majlis turut dimeriahkan dengan aktiviti “Free Market”, jamuan makan dan hiburan untuk kanak-kanak dengan aktiviti menaiki motosikal berkuasa tinggi.
Banjir yang melanda Kelantan sejak 30 November 2024 dan mencapai kemuncaknya pada 6 dan 7 Disember 2024 telah mengakibatkan ribuan penduduk terjejas. Sebagai tindak balas segera, Pusat Operasi Bantuan Banjir (POBB) di Tunjong mula beroperasi secara tidak rasmi di Pejabat IKRAM Tumpat pada 30 November dan secara rasmi di Ladang Rakyat Tunjung pada 6 Disember.
Operasi ini dipermudah dengan kelulusan kebenaran menduduki premis secara percuma oleh pihak Pejabat Pembangunan Ladang Rakyat, membolehkan pasukan sukarelawan melaksanakan pelbagai aktiviti bantuan termasuk pengagihan makanan, operasi pembersihan, khidmat psikiatri dan kaunseling kesihatan.
Seramai 126 sukarelawan berdaftar bersama lebih 100 sukarelawan walk-in telah digerakkan untuk membantu mangsa banjir. Sukarelawan ini terdiri daripada ahli IKRAM Kelantan, IKRAMTeens,IKRAM Muda, IKRAM Health, pelajar Akademi Tahfiz Aman, SMI Aman, Badan Kebajikan Annur serta sokongan daripada IKRAM negeri lain seperti Batu, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.
MyCARE Johor turut datang memberikan bantuan manakala ibu pejabat MyCARE menghantar 13 anggota untuk membantu di lapangan.
Dari segi sumbangan kewangan, MyCARE memperuntukkan RM20,000 untuk agihan hot meal dan pek makanan dan sejumlah RM65,000 dalam bentuk barangan. Yayasan Ikram Malaysia pula menyumbang RM30,000, manakala IKRAM Batu dan Selangor masing-masing menyumbang RM10,000. Pihak NADMA pula menyumbangkan barangan keperluan seperti tuala, selimut dan pakaian bernilai RM42,000.
Selain itu, Yayasan Al-Manji yang berpangkalan di Johor menyumbang barangan bernilai RM30,000 dalam dua penghantaran. Keseluruhan sumbangan dianggarkan melebihi RM200,000 termasuk RM70,000 dalam bentuk tunai dan RM137,000 dalam bentuk barangan.
Operasi ini turut mendapat sokongan KDNK/KWSP yang menyumbangkan 350 pek makanan dan pelbagai pihak lain seperti Econsave, Dutch Lady, MCC Lifestyle, Red A, Pro Khas, Yayasan TM, Yayasan Hasanah dan Yayasan UEM.
Aktiviti bantuan meliputi pengagihan makanan di 78 kawasan dan operasi pembersihan di 11 kawasan utama iaitu Tumpat dan Pasir Mas. Kawasan operasi termasuk jajahan Kota Bharu, Machang, Tanah Merah, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Tumpat. Kawasan terbesar yang menerima bantuan tertumpu di Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Rantau Panjang.
Pusat Operasi Bantuan Banjir MyCARE Tunjung dengan kerjasama Yayasan Ikram Malaysia berjaya melaksanakan misi bantuan dengan penuh komitmen, mencerminkan semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam meringankan beban mangsa banjir.
IKRAM Kelantan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan operasi ini. Semoga segala usaha ini menjadi amal jariah yang diberkati Allah SWT.
Sumber: IKRAM Kelantan