IKRAM memandang serius perkembangan terkini di Amerika Latin susulan serangan ketenteraan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat ke atas Venezuela, termasuk penahanan Presiden Nicolas Maduro. Insiden ini menandakan satu perubahan besar dalam landskap politik Venezuela dan rantau tersebut.
IKRAM menegaskan bahawa sebarang campur tangan ketenteraan unilateral terhadap sebuah negara berdaulat adalah bercanggah dengan prinsip undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta nilai keadilan dan kemanusiaan sejagat.
Kejatuhan sesebuah kerajaan melalui tekanan ketenteraan luar tanpa proses yang sah dan telus, hanya akan membuka ruang kepada ketidakstabilan, penderitaan rakyat awam dan konflik berpanjangan.
IKRAM berpandangan bahawa persaingan kuasa besar dan kepentingan ekonomi tidak seharusnya dijadikan justifikasi untuk mencabul kedaulatan negara lain dan dunia tidak boleh terus menerima prinsip “yang kuat menentukan segalanya” sebagai asas hubungan antarabangsa.
Sehubungan dengan itu, IKRAM:
1. Mengecam sebarang bentuk pencerobohan dan penggunaan kekerasan terhadap negara berdaulat.
2. Menggesa PBB dan komuniti antarabangsa memainkan peranan lebih tegas dan berprinsip dalam mempertahankan undang-undang antarabangsa tanpa pilih kasih.
3. Menyeru agar keselamatan dan kebajikan rakyat Venezuela diberi keutamaan, serta proses politik yang adil dan inklusif dihormati.
4. Mengajak masyarakat antarabangsa untuk menilai secara kritikal kesan jangka panjang tindakan kuasa besar terhadap kestabilan global.
IKRAM akan terus memantau perkembangan lanjut termasuk reaksi kuasa-kuasa besar lain seperti Rusia dan China serta implikasinya terhadap keseimbangan geopolitik dunia dan menegaskan komitmen untuk terus bersuara demi keadilan, kedaulatan negara dan keamanan sejagat.
“Tiada keamanan tanpa keadilan dan tiada keadilan tanpa prinsip.”
Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)




