Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengalu-alukan pelantikan tiga tokoh negara sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Tokoh-tokoh ini mempunyai kredibiliti, kelayakan akademik dan kepakaran yang sesuai dengan keperluan semasa UniSZA.
IKRAM yakin pelantikan YB Senator Dr Muhammad Nur Manuty yang dilantik sebagai Pengerusi serta Tan Sri Tony Fernandes dan Dr Zaharuddin bin Abd Rahman sebagai ahli akan memperkukuhkan Lembaga Pengarah Universiti dan seterusnya memberikan suntikan terbaik untuk memartabatkan institusi pendidikan tinggi yang kini berusia hampir empat dekad ini.
Ketiga-tiga tokoh ini mempunyai kelayakan, pengalaman dan kekuatan yang tersendiri yang saling memperkukuhkan. Pelantikan mereka membuka lembaran baharu bagi UniSZA untuk mencapai kecemerlangan pendidikan dalam era revolusi industri 4.0.
Adalah diharapkan agar gandingan tokoh perniagaan Tony Fernandes dengan tokoh agama Dr Zaharuddin serta ahli akademik dan pemimpin masyarakat, Dr Muhammad Nur akan membawa agenda transformasi yang dinanti-nantikan oleh warga UniSZA dan rakyat Malaysia.
Semoga Allah SWT merahmati usaha UniSZA untuk memacu pembangunan dalam dan luar negara.
Prof Dr Sahrim Hj Ahmad
Pengerusi
IKRAM Akademia
Pertubuhan IKRAM Malaysia