KUALA LUMPUR – Satu lagi himpunan sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin diadakan dalam program iftar bersama rakyat Gaza berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat pada Ahad, 31 Mac yang lalu.
Himpunan ‘Solidarity Iftar with Gazans’ ini dianjurkan oleh beberapa gabungan NGO iaitu BDS Malaysia, Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), Malaysian Solidarity with Palestine dan Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM).
Antara yang berucap dalam program itu Prof Madya Dr Mohd Nazari Ismail (BDS), Azra Banu (BDS & VPM), Hj Shahrul Aman Mohd Saari (IKRAM), Tian Chua (SSP), Cikgu Azmi Abdul Hamid (MAPIM), Jismi Johari (Mahar), Dr Sharief Abu Shammala (QFM), Muaath Seyam (PCOM), Baderuddin (PCOM), serta Dato’ Sri Saifuddin Abdullah.
Menurut Setiausaha Agung IKRAM, Hj Shahrul Aman dalam ucapannya, kita menghargai saudara-mara kita di Palestin kerana tetap teguh mempertahankan tanah air mereka.
“Sokongan akan tetap diteruskan melalui bantuan kewangan, masa, pengaruh serta apa sahaja yang bersesuaian. Kita tidak akan mengkhianati mereka,” tegas beliau.
Tambahnya, setiap dari kita seharusnya memainkan peranan masing masing, sebagai contoh Dr Fauziah turut serta dalam misi Freedom Flotilla Coalition bagi memecahkan kepungan Israel.
Azra Banu berkata, banyak kempen dan himpunan aman telah dijalankan sebagai tanda sokongan dan solidariti ke atas penduduk Palestin sejak enam bulan lalu.
“Kita tidak akan berhenti mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan ini sehinggalah Palestin bebas.”
Dato’ Sri Saifuddin pula mencadangkan pada kerajaan Malaysia untuk meningkatkan bentuk sokongan kita melalui tiga perkara iaitu menambah baik dari sudut kebajikan, pendidikan dan peluang pekerjaan buat rakyat Palestin yang berada di Malaysia.
Usai ucapan, program disusuli dengan nyanyian nasyid serta protes senyap sebelum azan maghrib. Himpunan berakhir pada jam 8 malam selepas selesai berbuka puasa, solat maghrib dan mengemas kawasan himpunan.