Ibu bapa perlu menggembleng sepenuh tenaga dan cuba untuk sentiasa memfokuskan perhatian terhadap melaksanakan segala perintah Allah SWT.
Keyakinan beragama anak-anak perlulah dipupuk sedari kecil agar ia menjadi darah daging dan sebati dalam kehidupan.
Rentetan daripada itu, mereka akan membesar atas dasar iman, takwa dan akan bertapak padanya akhlak serta budi pekerti yang mulia.
Perlulah diingatkan bahawa sebagai ibu bapa, mereka terlebih dahulu perlu memiliki akhlak yang mulia. Dengan akhlak yang dapat dicontohi, ibu bapa akan menjadi teladan kepada anak-anak.
Namun demikian, jika ibu bapa sendiri yang ketandusan akhlak mulia seperti sifat kasih, penyayang, bersopan santun, budi pekerti mulia, bagaimana untuk mereka ‘mengeksport’ qudwah hasanah (contoh terbaik) itu kepada orang lain khususnya kepada anak-anak?
Keadaan ini dengan jelas dapat dilihat pada tamadun Barat yang telah berjaya memakmurkan bumi dan memanfaatkan sumber yang dimilikinya, namun ketandusan pekertinya.
Sebagai contoh, ilmu pengetahuan yang dimilikinya telah berjaya mewujudkan sesuatu yang belum pernah terlintas dalam benak generasi sebelumnya, seperti segala yang bersifat material diagungkan, manakala yang bersifat spiritual dipandang remeh.
Kemajuan yang dicapai pula hanya diukur dengan jumlah banyaknya kuantiti produk dan kualiti perkhidmatan yang dihasilkan. Keperluan untuk memenuhi tuntutan nafsu dilakukan walaupun terpaksa mengorbankan nilai dan akhlak.
Kesan kemajuan atau tamadun yang dibina ini, rohnya kosong meskipun jasadnya besar dan cahayanya padam meskipun bara apinya tetap ada.
Kesan daripada itu, mereka menjadi sombong dan berbangga diri. Kesombongan inilah yang membuatkan mereka beranggapan bahawa mereka berkuasa atas segalanya di dunia ini.
Tamadun yang telah dibina oleh manusia sepatutnya mengambil kira fitrah yang Allah anugerahkan pada diri setiap manusia.
Justeru, pendidikan yang berkualiti daripada ibu bapa sangat diperlukan dalam cabaran dunia globalisasi masa kini.
Hal ini amat penting terutamanya dalam menyediakan bekalan ilmu untuk mengharungi kehidupan pada masa depan. Kegagalan ibu bapa untuk berperanan sebagai pendidik akan mengundang pelbagai gejala sosial yang boleh memudaratkan masyarakat dan negara.
Sebagai ibu bapa Muslim, kita perlu menghayati ajaran Islam sepenuhnya kerana itulah satu-satunya jalan untuk mencapai kesejahteraan dalam kehidupan manusia.
Kemakmuran yang pada asasnya bermula daripada dalam diri individu akan berkembang untuk mewujudkan kesejahteraan dalam keluarga, masyarakat dan negara.
Melalui tiga kaedah pendidikan asas iaitu pendidikan melalui teladan, pendidikan yang menekankan aspek kerohanian dan pendidikan tentang kedudukan dan kelangsungan bangsa, ibu bapa mampu menyumbang ke arah pembentukan sebuah tamadun.
Tuan Anis Sakinah Tuan Mohamad
Pegawai Jabatan Kajian dan Advokasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia