Ibrah Hijrah: Penjagaan Harta Elak Penipuan ‘Scammer’

Ibrah Hijrah: Penjagaan Harta Elak Penipuan 'Scammer' | IKRAM

Hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal tetapi juga satu simbolik yang melambangkan perubahan, ketabahan dan perjuangan untuk kebenaran serta keselamatan.

Dalam konteks sejarah Islam, hijrah menunjukkan betapa pentingnya perancangan, kesabaran, kewaspadaan dan sokongan komuniti dalam menghadapi cabaran. 

Pengajaran yang diperoleh daripada hijrah ini tidak terhad kepada aspek spiritual dan sosial sahaja, tetapi juga dapat diaplikasikan dalam konteks moden, termasuk dalam penjagaan harta daripada penipuan. Firman Allah SWT (maksudnya):

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur.”  (An-Nisa’: 100)

Mengulas konteks ayat di atas, Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya telah menyebut: 

Barang siapa berhijrah di jalan Allah SWT, iaitu dengan tujuan mencari keredaan-Nya dan untuk menegakkan agamanya sesuai dengan kewajipan bagi dirinya dan selaras dengan jalan yang dicintai oleh Allah SWT, nescaya dia akan memperoleh tempat yang memberinya kelepasan di muka bumi ini. Jika mereka yang tadinya berasa tertindas, mereka akan mendapat tempat perlindungan sehingga mereka memperoleh kebaikan dan rezeki yang banyak di samping terselamat daripada penindasan dan kehinaan.”

Melindungi harta merupakan salah satu daripada tunjang maqasid syariah. Perlindungan harta meliputi larangan mengambil harta dan merampas hak orang lain secara batil dan berdosa.

Perbuatan tersebut boleh mengakibatkan ancaman keharmonian dan menatijahkan mudarat yang besar kepada seluruh masyarakat. Allah SWT menegaskan perkara ini menerusi firman-Nya dalam Surah an-Nisaa’ ayat 29 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang-orang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”

Bahkan Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:

Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain, dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya untuk disakiti. Siapa yang membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan menunaikan hajatnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Pada zaman kini, penipuan telah menjadi semakin canggih dengan pelbagai teknik yang digunakan oleh scammer untuk memperdaya mangsa. Ini termasuk penipuan dalam talian, pelaburan palsu, penipuan jual beli dan penipuan kutipan dana awam.

Oleh itu, adalah penting untuk kita mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah untuk melindungi diri dan harta kita.

Pengajaran utama daripada hijrah yang relevan dalam konteks ini termasuk perancangan yang teliti, kesabaran dan kewaspadaan, kepentingan komuniti juga sokongan sosial, keteguhan iman serta moral, seterusnya penggunaan teknologi dengan bijak.

Dengan memahami dan mengamalkan pengajaran ini, kita dapat membina pertahanan yang kukuh terhadap penipuan serta memastikan harta kita dilindungi. 

Harapan daripada hijrah adalah untuk mencapai kehidupan yang lebih baik dan selamat, sama seperti harapan umat Islam yang berhijrah dari Makkah ke Madinah untuk mencari perlindungan serta kebebasan.

Dalam konteks penjagaan harta, harapan ini diterjemahkan sebagai usaha untuk melindungi diri daripada penipuan dan memastikan kestabilan kewangan serta keamanan harta benda. Dengan menghayati dan mengamalkan pengajaran hijrah, kita dapat mencapai harapan ini seterusnya hidup dalam kesejahteraan.

Perancangan yang teliti 

Salah satu pengajaran utama daripada hijrah ialah kepentingan perancangan yang teliti. Nabi Muhammad SAW dan para sahabat merancang hijrah mereka dengan rapi, mengambil kira segala aspek keselamatan juga keberhasilan perjalanan.

Ketika merancang hijrah, Nabi Muhammad SAW meminta Saidina Ali bin Abi Talib r.a. untuk tidur di tempat tidurnya bagi mengelirukan musuh yang ingin membunuh baginda. Ini adalah contoh perancangan yang teliti dan strategik. 

Dalam konteks penjagaan harta, perancangan teliti boleh membantu individu mengenal pasti dan mengelak penipuan. Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman merekodkan 19,224 kes jenayah dalam talian dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, peningkatan 23 peratus berbanding 15,659 kes yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Penipuan pelaburan dan e-dagang adalah antara yang paling tinggi. Sebelum membuat sebarang pelaburan atau pembelian, individu perlu melakukan penyelidikan mendalam mengenai latar belakang dan reputasi pihak yang terlibat.

Kesabaran dan kewaspadaan

Peristiwa Hijrah juga mengajarkan kita kesabaran dan kewaspadaan. Sepanjang perjalanan hijrah, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman. Contohnya, Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar r.a. bersembunyi di Gua Thur selama tiga hari untuk mengelak daripada dikesan oleh musuh.

Kesabaran dan kewaspadaan mereka membolehkan mereka selamat daripada ancaman musuh. Firman Allah SWT dalamSsurah al-Baqarah ayat 153 (maksudnya):

“Bersabarlah, sesungguhnya Allah SWT bersama dengan orang yang sabar.”

Dalam konteks sekarang, individu perlu sentiasa berwaspada terhadap tawaran yang terlalu baik untuk menjadi kenyataan, dan tidak terburu-buru membuat keputusan yang boleh mengundang risiko penipuan. 

Kepentingan komuniti dan sokongan sosial 

Hijrah menunjukkan betapa pentingnya komuniti dan sokongan sosial. Para sahabat di Madinah menyambut dan membantu kaum Muhajirin yang datang dari Makkah. Penduduk Madinah (Ansar) memberikan sokongan penuh kepada kaum Muhajirin, termasuk bantuan tempat tinggal dan pekerjaan.

Hal ini menunjukkan betapa kuatnya ikatan persaudaraan dan komuniti dalam Islam. Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim bermaksud:

“Orang beriman dengan orang beriman lainnya seperti sebuah bangunan yang setiap bahagiannya menguatkan bahagian yang lain.”

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 744 laporan mengenai kes penipuan dalam talian melibatkan laman Facebook dari Januari hingga 25 Mei lepas.

Sokongan komuniti dan jaringan sosial adalah penting dalam menghadapi penipuan. Berkongsi maklumat mengenai penipuan yang berlaku dalam kalangan komuniti boleh membantu melindungi individu lain daripada menjadi mangsa.

Keteguhan iman dan moral 

Keteguhan iman dan moral yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat sepanjang hijrah menjadi teladan dalam mengelakkan penipuan. Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik dalam kejujuran dan integriti. Baginda dikenali sebagai Al-Amin (yang dipercayai) oleh masyarakat Makkah walaupun sebelum menerima wahyu. Hadis riwayat Muslim bermaksud:

“Barang siapa yang menipu, maka bukanlah ia daripada golonganku.”

Kajian menunjukkan 76 peratus daripada belia Malaysia percaya bahawa integriti dan kejujuran adalah nilai penting dalam kehidupan seharian mereka. Dengan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip kejujuran, integriti dan amanah, individu dapat lebih berhati-hati serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang menyalahi hukum syarak atau norma moral.

Penggunaan teknologi dengan bijak 

Dalam era digital ini, teknologi boleh menjadi alat yang berkuasa untuk melindungi harta. Walau bagaimanapun, ia juga boleh digunakan oleh “scammer” untuk menipu. Walaupun tidak ada kisah khusus daripada hijrah mengenai teknologi, prinsip kebijaksanaan dalam membuat keputusan boleh diaplikasikan.

Nabi Muhammad SAW sentiasa menggunakan kebijaksanaan dalam setiap tindakan baginda. Sabda Nabi SAW (maksudnya):

“Hikmah itu adalah barang yang hilang milik orang yang beriman. Di mana saja ia menemukannya, maka ambillah.” (Riwayat at-Tirmizi)

Menurut CyberSecurity Malaysia, terdapat peningkatan sebanyak 20 peratus dalam serangan siber pada tahun 2023, menunjukkan perlunya penggunaan teknologi yang lebih bijak dan selamat.

Individu perlu menggunakan teknologi dengan bijak. Menggunakan perisian keselamatan, mengesahkan identiti pihak yang berurusan dan mengelakkan berkongsi maklumat peribadi secara terbuka adalah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan penipuan.

Pengajaran bermakna

Hijrah mengandungi banyak pengajaran yang relevan dengan penjagaan harta daripada penipuan. Dengan mengambil iktibar daripada perancangan yang teliti, kesabaran dan kewaspadaan, kepentingan komuniti dan sokongan sosial, keteguhan iman dan moral serta penggunaan teknologi dengan bijak, individu dapat melindungi harta mereka daripada scammer.

Sebagai umat Islam, mengamalkan nilai-nilai hijrah dalam kehidupan seharian bukan sahaja membantu kita menghadapi cabaran moden, tetapi juga memperkukuh hubungan kita dengan Allah SWT dan sesama manusia.

Dengan memahami dan menghayati pengajaran hijrah, kita dapat membina pertahanan yang kukuh terhadap penipuan, memastikan harta kita dilindungi dan hidup dalam keharmonian serta kesejahteraan.

Marilah kita bersama-sama mengambil iktibar daripada peristiwa Hijrah ini dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian kita.

Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Pensyarah Kanan, 
Arshad Ayub Graduate Business School, UiTM Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia