QKU 1435H yang masuk tahun ke 16 pelaksanaannya akan dijalankan di Thailand, Kemboja, Vietnam, Myanmar, Filipina, Indonesia, Palestin, Syria, Afghanistan, Bangladesh, Iraq, Lubnan, Pakistan, Sri Lanka, Turki, Sudan dan termasuk Malaysia.
Pengarah QKU 1435H, Tuan Yaacob Tuan Sof berkata QKU tahun ini bakal melaksanakan beberapa projek khas bersifat jangka panjang di dua buah negara iaitu Mindanao Filipina dan Vietnam.
Menurutnya bantuan untuk di Mindanao adalah berupa pembangunan ummah manakala bagi rakyat Vietnam berupa pendidikan dan keagamaan.
“Melalui projek khas di Mindanao, fokus sumbangan adalah untuk membantu institusi pendidikan Islam serta masjid terpilih. Jika didapati bersesuaian, masjid dan institusi pendidikan ini akan dijadikan madrasah angkat atau masjid angkat.
“Manakala di Vietnam projek khas ini akan berusaha untuk membantu mereka yang tiada sumber pendapatan kerana buat masa ini, terdapat ramai pelajar Vietnam beragama Islam sedang menuntut di Malaysia dan hampir keseluruhan mereka mengharapkan bantuan para dermawan untuk menampung kos hidup serta kos pembelajaran.
“Pelajar Vietnam yang telah tamat pengajian di Malaysia akan dilibatkan bagi membuka madrasah di Vietnam dan sumbangan juga akan diberi kepada madrasahtersebut untuk tujuan membantu mereka memulakan operasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media Qurban Kasih Ummah (QKU) 1435H di Taman Melawati dekat sini, pada Selasa.
Ujar Tuan Yaacob lagi, Qurban Khas untuk rakyat Palestin dan Syria tidak akan dilupkan dan akan dianjurkan sekali pada tahun ini.
“Qurban Khas bakal dilaksanakan terus di negara tersebut, di penempatan khemah-khemah pelarian dan di mana-mana lokasi yang terdapat rakyat negara bergolak itu yang memerlukan bantuan,” ujarnya. Tuan Yacob dalam kenyataan medianya turut menyatakan akan menganjurkan program Ziarah Qurban ke Vietnam dan Filipina pada tahun ini.
“Melalui program ziarah ini, peserta bakal berpeluang menyaksikan sendiri pelaksanaan ibadah qurban tersebut seterusnya melihat serta merasai sendiri kepayahan dan realiti kehidupan umat Islam di luar negara yang serba kekurangan,” katanya.
Pihaknya juga mengalu-alukan masyarakat Malaysia untuk bersama-sama menyertai dan menjayakan program ini.
“Saya ingin mengajak seluruh masyarakat Islam bagi bersama membudayakan ibadah qurban dalam kehidupan, seterusnya memperluas kebaikan dengan mengambil peluang memanfaatkan lebihan pendapatan kita.
“Ini peluang untuk melaksanakan ibadah yang sangat dituntut dalam Islam dan secara tidak langsung kita juga sedang menghulurkan bantuan kepada umat Islam yang sering ternanti-nanti setiap kali datangnya Aidiladha,” tambahnya.
Pada hari yang sama, turut diadakan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Pengarah program QKU 1435H, Tuan Yaacob Tuan Sof dengan wakil dari Iraq, Vietnam, Filipina dan Aqsa Syarif. Sebarang pertanyaan untuk maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi talian 03-41053159 atau melayari laman sesawang www.ramadhan-qurban.org untuk penyertaan qurban dan aqiqah secara dalam talian.