Hutang: Bentuk & Tanggungjawab Penghutang Dalam Islam

Hutang: Bentuk & Tanggungjawab Penghutang Dalam Islam | IKRAM

Memiliki sesuatu harta sentiasa didorong oleh kehendak. Seterusnya, kehendak akan teruji sama ada akal mampu untuk bertindak waras atau sebaliknya dalam melayani kehendak-kehendak peribadi tersebut.

Sering kali kita dengar apabila kehendak mengatasi kemampuan, ia telah mendorong kepada fenomena keberhutangan yang tinggi. Fenomena keberhutangan sudah menjadi kelaziman dalam dunia hari ini.

Walau bagaimanapun, fenomena ini telah menjadi parah apabila tiada kawalan yang berhemah diambil oleh setiap individu. Tambahan pula, statistik keberhutangan di Malaysia seperti yang dilaporkan oleh Bank Negara hampir kepada 85 peratus hutang isi rumah berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Antara faktor yang menyumbang kepada aliran keberhutangan yang tinggi ini ialah pinjaman peribadi dan kad kredit untuk tujuan pembelian rumah dan kenderaan.

Jika dilihat kepada statistik hutang dalam kalangan rakyat Malaysia secara umum, beberapa perspektif perlu dibincangkan terutamanya dari kaca mata agama Islam. 

Hutang menurut Islam

Al-Dain dan al-Qard secara literal diterjemah dalam bahasa Melayu sebagai aktiviti yang melibatkan hutang, namun dari sudut istilah penggunaannya adalah berbeza.

Sayyid Sabiq menjelaskan konsep hutang, iaitu harta yang diberikan oleh seseorang yang memberi hutang kepada orang yang berhutang supaya orang yang berhutang mengembalikan barang yang serupa dengan orang yang memberi hutang. 

Hakikatnya, hutang bukanlah perkara yang dilarang dalam Islam, bahkan ia dibenarkan untuk memenuhi keperluan hidup yang tidak dapat dielakkan mengikut kehendak syarak. Hutang piutang bahkan merupakan perbuatan saling menolong yang dianjurkan oleh Allah SWT selagi mana ia berpaksikan kepada objektif kebajikan. 

Terdapat dua bentuk hutang, iaitu hutang produktif dan tidak produktif. Hutang berbentuk produktif meliputi aspek pelaburan dalam pendidikan, saham, hartanah yang secara kebiasaannya nilai aset meningkat serta meningkatkan kesejahteraan hidup.

Manakala hutang tidak produktif ialah pinjaman pelaburan aset yang mengalami penurunan seperti kelengkapan perabot, kenderaan atau pelaburan-pelaburan yang tidak patuh syariah.  

Belenggu hutang dalam masyarakat hari ini menjadi parah apabila terlibat dengan pinjaman along.

Arakian, pendidikan kewangan sangat penting kerana antara faktor yang menyebabkan masyarakat terpedaya dengan tawaran dari pihak along ialah ilmu asas berkaitan kewangan yang cetek dan dengan mudah terperangkap dengan slogan ‘pasti lulus’ sehingga mengabaikan pembiayaan-pembiayaan daripada badan yang berautoriti.

Selain itu, isu terdesak turut menyumbang kepada keterlibatan dalam pinjaman along. Islam melarang perbuatan terburu-buru sehingga memakan diri seperti yang disebutkan oleh Nabi SAW: 

“Ketenangan daripada Allah dan terburu-buru daripada syaitan.” (HR Abu Ya’la, No. 4256, Isnad Jayyid menurut Ibnu Qayyim)

Sikap boros dan menunjuk-menunjuk turut menyumbang kepada hutang yang tidak terkawal. Sebilangan daripada masyarakat kita meletakkan kebahagiaan di mata, justeru, kesanggupan bergolok-bergadai untuk memuaskan mata orang lain telah mendorong kepada pertambahan hutang.

Al-Quran dengan jelas menyatakan dalam Surah al-Israa’ ayat 27 yang bermaksud:

“Sesungguhnya membazir adalah saudara syaitan dan syaitan sangat ingkar kepada Tuhannya.”

Selain itu, isu hutang terkait dengan sikap amanah dan kebijaksanaan untuk menguruskan hutang. Hal ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah al-Baqarah (283) yang bermaksud: 

“Kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah SWT Tuhannya.”

Apabila kita membincangkan isu pengurusan hutang, al-Quran secara jelas telah membahaskan isu hutang atau dain, iaitu sebanyak enam kali dan ayat hutang dalam surah al-Baqarah (282) merupakan ayat terpanjang diturunkan oleh Allah SWT.

Melalui ayat tersebut, pengurusan hutang telah ditunjukkan kaedahnya melalui suruhan kepada penghutang untuk menulis hutang mereka. Hal ini bagi mengelakkan daripada kemudaratan kepada kedua-dua belah pihak yang berurusan.

Ketegasan ini turut ditunjukkan oleh Nabi SAW melalui sabdanya yang bermaksud:

“Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun jika sesiapa yang meminjamnya untuk merugikannya, maka Allah akan merugikannya.” (HR Bukhari, No. 2387)

Tambahan pula, pengurusan hutang turut ditekankan bagi seseorang meninggal dunia melalui waris tanpa menimbulkan isu berbangkit.

Melalui suruhan menulis hutang atau menjadikan barang gadaian sebagai jaminan hutang dan mewujudkan saksi bagi hutang, ia bertujuan memastikan urusan hutang si mati dapat disempurnakan selepas kematiannya. 

Garis panduan ini penting untuk menjaga kemaslahatan pemiutang dan penghutang. Ia sangat kritikal untuk diingatkan kerana seseorang itu diperkirakan sebagai berdosa kerana tidak membayar hutang dengan anggapan dia telah merampas hak milik orang lain. 

Tanggungjawab penghutang

Michael Mihalik, seorang penulis terkenal berkaitan kewangan pernah menyebut, “Hutang boleh mengubah personaliti seseorang yang bebas dan gembira kepada seorang yang keras dan kasar.”

Perubahan ini boleh merosakkan keharmonian bermasyarakat. Justeru, sikap bertanggungjawab perlu ditunaikan oleh penghutang. Antara tanggungjawab yang perlu diberikan perhatian dalam urusan hutang ialah:

1. Hutang adalah amanah dan wajib dijelaskan

Nabi SAW telah bersabda:

Sekalipun aku memiliki emas sebesar gunung Uhud, aku tidak akan senang jika tersisa lebih daripada tiga hari, kecuali yang aku sisihkan untuk pembayaran hutang.” (HR Bukhari, No. 2389)

2. Berniat baik dalam urusan hutang

Sabda Nabi SAW:

“Barang siapa yang mengambil harta orang (berhutang) dengan tujuan untuk membayarnya (mengembalikannya), maka Allah SWT akan tunaikan untuknya. Dan barang siapa yang mengambilnya untuk dihabiskan, maka Allah SWT akan membinasakannya.” (HR Bukhari, No. 2387)

3. Galakan membayar (memulang) dengan yang lebih baik

Jabir bin Abdullah r.a. berkata:

“Aku mendatangi Rasulullah SAW di masjid, sedangkan beliau mempunyai hutang kepadaku, lalu beliau membayar dan menambahkannya.” (HR Bukhari, No. 2394)

Doa untuk urus hutang

Terkadang, untuk menguruskan hutang yang pelbagai, timbul kerumitan dan ditambah dengan ujian-ujian yang menimpa yang menuntut kepada keberhutangan.

Tambahan pula, dalam konteks hari ini, kita dapat melihat sesetengah masyarakat sanggup diisytihar muflis asalkan tidak perlu membayar hutang yang bertimbun.

Keenakan sementara di dunia sebenarnya malapetaka dan kesengsaraan di akhirat. Kecuaian untuk membayar kembali hutang boleh menyebabkan defisit pahala dan amal kebaikan yang pernah dibuat sehingga Rasulullah SAW menolak untuk menyembahyangkan jenazah yang didapati masih mempunyai hutang. 

Justeru sebagai orang yang beriman, kebergantungan kepada Allah SWT untuk membantu kita menguruskan urusan dunia sangat penting. Disebabkan itu, Nabi Muhammad SAW telah mengajarkan kepada kita doa supaya dipermudahkan urusan untuk melangsaikan hutang-hutang kita. 

Sabda Nabi SAW: “Ucapkanlah pada waktu pada pagi dan petang bacaan ini:”

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.” (HR Abu Dawud, No. 1555)

Moga-moga dengan segala peringatan, panduan pengurusan hutang dan doa dapat mengelakkan kita menjadi masyarakat yang defisit di dunia dan akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Pensyarah Kanan
Arshad Ayub Graduate Business School
UiTM Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia