Hulurkan tangan, ringankan beban mangsa banjir

Hujan lebat selama dua hari berturut-turut pada 17 dan 18 Disember 2021 lalu mengakibatkan bencana banjir yang tidak diduga kedatangan dan kesannya terutama di Lembah Klang.

 

Amat meruntun hati melihat nasib mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan dan yang terperangkap, musnahnya harta benda bernilai lebih ratusan juta ringgit bahkan mungkin mencecah ribuan juta ringgit, ditambah pula dengan angka korban yang semakin meningkat.

 

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sedih, pilu dan linangan air mata adalah antara bahasa-bahasa emosi yang tidak dapat ditahan-tahan lagi kepada sebahagian mangsa banjir yang terlibat.

 

Bagi mereka yang memiliki iman, sudah pasti menyerahkan segalanya kepada Allah, pemilik mutlak kekuasaan, yakin ada hikmah dan pahala besar di sebalik ujian, yang disulam dengan benih kesabaran.

 

Daripada Suhaib RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: 

“Amat menakjubkan urusan seorang mukmin, kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang mukmin (yang sempurna keimanannya). 

Jika dia mendapat sesuatu yang menggembirakan, dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” 

(Hadis Riwayat Muslim, No. 2999)

 

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Begitulah peribahasa yang menggambarkan muafakat dan keprihatinan sesama kita bagi membantu mereka yang sedang dalam kesempitan dan kesusahan.

 

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa…” (Al-Maaidah: 2)

 

Atas semangat daripada ayat ini dan keprihatinan kepada nasib mangsa-mangsa banjir, para aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan beberapa institusinya sudah mula turun padang bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan terjejas.

 

Di Klang, aktivis IKRAM Klang bersama-sama membantu dalam pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Batu Belah dan Kg Delek.

 

Misi bantuan diteruskan dengan proses pembersihan rumah-rumah mangsa banjir dan bantuan keperluan harian kepada kakitangan Sekolah Rendah Islam Hira’ dan keluarga yang menumpang di sana.

 

Mereka juga menerima dan menyusun pakaian-pakaian terpakai sumbangan orang awam untuk disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir.

 

Pada Ahad, sebanyak 250 pek makanan diedarkan kepada mangsa-mangsa banjir Jenderam Hilir oleh sukarelawan IKRAM Sepang dan Yayasan IKRAM Malaysia (i-Bantu). Inisiatif pengumpulan barang-barang keperluan juga telah dimulakan. IKRAM Bandar Baru Bangi turut menyerahkan sumbangan segera kepada mangsa-mangsa banjir di PPS SK Sg Serai, Hulu Langat. 

 

Pada Isnin, IKRAM Shah Alam dan Shah Alam Selatan telah menyerahkan 200 pek makanan penduduk Taman Lembayung, Sri Muda. IKRAM Ampang Jaya bersama IKRAM Lembah Jaya pula mengambil inisiatif mengumpul barang-barang keperluan bagi membantu meringankan beban mangsa banjir yang terkesan di Hulu Langat.

 

Antara bantuan keperluan yang telah dikumpulkan adalah pakaian, bantal, tuala mandi dan selimut, yang dibawa bersama semasa misi pembersihan kawasan banjir di Nanding, Hulu Langat pada keesokannya.

 

IKRAM Subang Jaya pula menyerahkan tikar, alas dan kit kebersihan diri untuk PPS Surau Raudhah, Surau Nurul Islah (SNI) dan sekolah sekitar Putra Heights.

 

i-Bantu dengan kerjasama IKRAM Shah Alam menyampaikan pek makanan yang dimasak kepada mangsa banjir di Sekolah Rendah Sungai Binjai, Meru. i-Bantu turut menyerahkan menyerahkan alatan, toto, bantal dan set pemeriksaan kendiri RTK kebeberapa PPS di Puchong (foto).

 

Di Kuantan, IKRAM Pahang, i-Bantu Pahang dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) berkolaborasi membantu mangsa-mangsa banjir.

 

Pada Ahad dan Isnin, sebanyak 80 pek makanan kering, air mineral, pek kebersihan diri, toto, selimut, pakaian terpakai dan lampin pakai buang kepada mangsa banjir di sekitar Kuantan. Selain itu, sebanyak 200 pek sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam diagihkan kepada 40 keluarga yang terjejas banjir.

 

Kerja-kerja pencucian rumah mangsa banjir turut dijalankan di Taman Mahkota Jaya, Sri Damai, Inderapura, Taman Guru, Taman Pelindung Perdana dan Indera Sempurna.

 

Pada Ahad, MyCARE menyediakan bantuan makanan panas kepada mangsa banjir di beberapa PPS dengan menghidangkan makan malam kepada mereka. 

 

Bantuan bernilai RM30,000 disalurkan kepada 500 orang mangsa di Seksyen 23, Seksyen 24, Seksyen 25, Bandar Baru Hicom dan sekitarnya. Antara barangan yang disalurkan adalah peralatan kendiri, lampin pakai buang, makanan, ubat-ubatan dan sebagainya.

 

Aktivis MyCARE juga bergerak ke beberapa PPS di sekitar Shah Alam iaitu SK Alam Megah 3, Dewan Kenangan MBSA, Masjid UiTM dan Politeknik Shah Alam. Barangan bantuan yang diagihkan ialah Selimut (500), bantal (500), RTK  (2,000), minuman (700), mi segera (700) dan sanitizer (500).

 

Di samping itu, MyCARE Shah Alam bersama aktivis Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI) berganding bahu melakukan operasi pembersihan di kejiranan Seksyen 23, Shah Alam.

 

MyCARE Johor bersama 20 sukarelawan turut berangkat ke Pahang untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. Melalui sumbangan pasar raya Econsave Cash and Carry, sebuah lori penuh muatan makanan dan barangan-barangan keperluan individu mangsa banjir.

 

Pelbagai barang-barang keperluan yang dibawa termasuk beras, toto dan bantal, makanan kering, gula, susu dan tepung, lampin pakai buang, sejadah, kain, telekung dan alat-alat keperluan peribadi.

 

Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) turut membantu dalam persediaan menerima mangsa-mangsa banjir dari Sri Muda di PPS Politeknik Shah Alam, seperti pemeriksaan kesihatan dan bekalan ubat-ubatan. 

 

Kecederaan, dehidrasi dan keterukan penyakit kronik adalah antara masalah utama yang dialami oleh mereka. Sumbangan bagi pembelian ubat-ubatan dan keperluan kesihatan kepada mangsa-mangsa banjir amat diperlukan.

 

Hidayah Centre Foundation (HCF) tidak ketinggalan bersama Rakan Hidayah dan rakan NGO, i-Bantu dan IKRAM Ampang Jaya bersama-sama membantu membersihkan rumah mangsa di kawasan perumahan yang terkena kesan banjir di Nanding, Hulu Langat.

 

Di Pahang, HCF bersama-sama turun padang mengagihkan sumbangan kepada mualaf-mualaf santunannya yang terjejas akibat kesan banjir.

 

Begitulah serba sedikit rangkuman daripada banyaknya aktiviti pengagihan bantuan dan pembersihan oleh aktivis IKRAM dan beberapa institusinya untuk beberapa hari ini.

 

Saya yakin semua pihak iaitu kerajaan pusat, kerajaan-kerajaan negeri yang terlibat, agensi-agensi, syarikat, NGO-NGO dan rakyat Malaysia yang prihatin sedang berusaha bersama-sama, sedaya upaya menghulurkan tangan, meringankan beban puluhan ribu mangsa-mangsa banjir yang terjejas.

 

Syabas kepada semua yang membantu. Teruskan berusaha, berfikir dan berkolaborasi bagi menggerakkan operasi bantuan dengan lebih efisien bagi membela dan menyantuni mereka yang sangat memerlukan. 

 

Bagi yang tidak dapat membantu secara fizikal ke kawasan terjejas kerana pelbagai urusan, keuzuran atau jarak yang jauh, berdoalah untuk keselamatan dan kesejahteraan mangsa-mangsa banjir dan dimudahkan urusan aktivis dan sukarelawan yang membantu.

 

Di samping doa, hulurkanlah sumbangan kewangan sekadar yang mampu. Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun-akaun NGO berikut:

  1. Tabung Cakna Banjir (Yayasan IKRAM Malaysia) – https://www.billplz.com/caknabanjir
  1. Kempen Bencana Banjir (MyCARE) – https://mycare.qrd.by/bencana
  1. Tabung Kecemasan Bencana Alam (HCF) – https://bit.ly/TBencana
  1. Tabung Bantuan Banjir (IKRAM Health) – https://www.billplz.com/danabanjirIH
  1. Sumbangan #DaruratBanjir (HARMONI) – https://www.billplz.com/DaruratBanjirHarmoni

 

Jika tidak mampu, sebar dan hebahkanlah sebarang inisiatif bantuan dan sumbangan seperti ini bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang hampir hilang segalanya, kecuali kesabaran dan ketabahan untuk bangkit kembali daripada nestapa.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia