Kecaman demi kecaman terus melanda Israel susulan pengesahan undang-undang yang membenarkan hukuman gantung ke atas warga Palestin di Tebing Barat yang disabitkan membunuh warga negara itu, dengan pelbagai pihak menyifatkan ia sebagai diskriminasi dan melanggar undang-undang antarabangsa.
Parlimen Israel (Knesset) meluluskan undang-undang kontroversi itu pada hujung Mac lalu, menjadikan hukuman mati secara gantung sebagai hukuman utama bagi kesalahan membunuh warga Israel oleh warga Palestin. Mengikut undang-undang baharu ini, hukuman mati boleh dilaksanakan dalam tempoh 90 hari selepas sabitan.
Yang menjadi perdebatan hangat, undang-undang berkenaan hanya terpakai ke atas warga Palestin yang dibicarakan di mahkamah tentera Israel di Tebing Barat. Manakala warganegara Israel, termasuk warga Arab Israel, tidak akan dihadapkan ke muka pengadilan di bawah undang-undang sama.
Negara Barat kecam diskriminasi
United Kingdom, Jerman, Perancis dan Itali tampil mengeluarkan kenyataan bersama menyifatkan undang-undang itu sebagai “diskriminasi secara de facto”.
Menerusi kenyataan itu, negara-negara berkenaan menegaskan bahawa Israel kini mempertaruhkan komitmennya terhadap prinsip-prinsip demokrasi dengan meluluskan undang-undang berkenaan. Mereka juga menyifatkan hukuman mati sebagai “bentuk hukuman yang tidak berperikemanusiaan dan merendahkan martabat tanpa sebarang kesan pencegahan”.
Menteri Luar Britain, Yvette Cooper, dengan lantang menyatakan hukuman mati adalah amalan yang salah dan tidak memberi kesan pencegahan terhadap jenayah.
“Hukuman mati adalah salah dan kami menentangnya di mana jua di seluruh dunia,” ujar beliau menerusi laman X.
Ben-Gvir: Kami tidak takut
Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir, yang juga merupakan tokoh penting daripada puak pelampau kanan, tetap bertegas dengan pendiriannya.
Beliau yang sebelum ini dilihat memakai lencana berbentuk jerat di lapel baju menyifatkan kelulusan undang-undang itu sebagai “sejarah”.
“Setiap pengganas yang keluar untuk membunuh harus tahu, dia akan dihantar ke tali gantung,” tulis Ben-Gvir di X.
Beliau juga tidak berkecil hati dengan kecaman Kesatuan Eropah, sebaliknya menjawab: “Kami tidak takut, kami tidak tunduk.”
Palestin: Pembunuhan berinstitusi
Sementara itu, Kementerian Luar Palestin mengeluarkan kenyataan keras mengecam undang-undang berkenaan, menyifatkannya sebagai “keputusan untuk melakukan pembunuhan di luar undang-undang secara berinstitusi mengikut piawaian perkauman”.
Tegas mereka, Israel tidak mempunyai sebarang kedaulatan ke atas tanah Palestin, maka undang-undang Israel tidak sepatutnya terpakai ke atas rakyat Palestin.
Kumpulan hak asasi manusia: Langkah memalukan
Pelbagai kumpulan hak asasi manusia antarabangsa turut mengecam keras undang-undang tersebut, dengan ada yang menyifatkannya sebagai langkah memalukan yang melanggar prinsip keadilan universal.
Amnesty International dalam satu kenyataan menyifatkan undang-undang itu sebagai “kejam dan tidak berperikemanusiaan”. Organisasi itu menegaskan bahawa hukuman mati adalah bentuk hukuman paling zalim yang tidak pernah memberi kesan pencegahan terhadap jenayah.
“Hukuman mati sentiasa menjadi kegagalan keadilan. Dalam kes ini, ia bukan sahaja kejam tetapi juga diskriminasi secara terang-terangan terhadap warga Palestin. Ini adalah hukuman mati aparteid,” kata kenyataan Amnesty International.
Human Rights Watch (HRW) pula menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengambil tindakan tegas terhadap Israel. HRW menyifatkan undang-undang itu sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa kerana ia digunakan di wilayah yang diduduki.
“Undang-undang ini bukan mengenai keadilan. Ia mengenai tindakan menghukum warga Palestin secara kolektif dan mengekalkan sistem aparteid yang sudah lama dikritik oleh seluruh dunia,” ujar pengarah HRW bagi rantau Timur Tengah dan Afrika Utara.
Kesatuan Eropah (EU) turut menyuarakan kebimbangan serius, dengan jurucakap hal ehwal luar EU menyatakan undang-undang itu akan memburukkan lagi keadaan hak asasi manusia yang sudah pun genting di wilayah yang diduduki.
Petisyen difail di mahkamah
Di dalam negara Israel sendiri, undang-undang berkenaan turut menerima tentangan daripada Persatuan Hak Sivil Israel (ACRI) yang memfailkan petisyen ke Mahkamah Agung untuk mencabar pelaksanaannya.
Mereka menegaskan, undang-undang itu adalah “diskriminatif dari segi reka bentuk” dan diluluskan tanpa kuasa undang-undang ke atas wilayah Tebing Barat.
Pakar undang-undang dari Institut Demokrasi Israel, Amichai Cohen, turut menjelaskan bahawa dari segi praktiknya, undang-undang ini bermakna orang Yahudi tidak akan pernah didakwa di bawahnya.
60 tahun hukuman mati
Perlu diingat, Israel sebenarnya sudah mempunyai hukuman mati dalam peruntukan undang-undangnya, namun kali terakhir ia digunakan adalah pada tahun 1962 iaitu ke atas penjenayah perang Nazi, Adolf Eichmann.
Undang-undang baharu ini juga tidak akan terpakai secara retroaktif ke atas mana-mana militan yang ditahan berhubung serangan 7 Oktober 2023.
SM Ismail
Sumber: Sky News, Amnesty International, Human Rights Watch




