Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) sekali lagi mengulangi tahniah kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru diberikan mandat oleh majoriti rakyat Malaysia.
Pada masa yang sama, IKRAM mengulangi tekad dan sikap tegas kami dalam memainkan peranan sebagai salah satu komponen gerakan sivil yang mewakili suara masyarakat akar umbi dalam memainkan peranan mengimbangi proses pelaksanaan (check and balance) mandat yang diberikan oleh rakyat ini.
Perkembangan mutakhir dan kelewatan dalam mengumumkan barisan kabinet baharu berdasarkan mandat yang telah diberikan oleh rakyat telah menyebabkan rakyat mula resah dan membimbangkan IKRAM.
IKRAM dengan tegasnya menyarankan agar:
1. Semua parti dalam PH berpegang teguh kepada perjanjian Muafakat Pakatan Harapan yang telah dipersetujui bersama, dan Manifesto PRU PH;
2. Kepemimpinan PH mengutamakan kepentingan dan harapan rakyat dan mengetepikan kepentingan parti dan individu;
3. Kepimpinan PH, BN dan parti-parti lain menolak sebarang usaha yang boleh mengkhianati proses demokrasi;
4. Kepimpinan PH, BN dan parti-parti lain sepakat untuk menyuburkan budaya politik baharu yang menghormati pilihan rakyat;
5. Pembentukan kerajaan baharu PH disegerakan berdasarkan pilihan yang telah dibuat oleh rakyat.
Inilah masanya untuk melaksanakan semua impian rakyat yang cintakan kebenaran dan keadilan.
Ramadan akan tiba beberapa hari lagi. Biarlah Ramadan kali ini dapat disambut dengan penuh kesyukuran dan ketenangan setelah tanggungjawab terhadap negara ditunaikan dengan baik.
Semoga Malaysia akan terus maju ke hadapan dan berada dalam rahmat Allah SWT.
Dr. Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)