“Al-Islamu ya’lu wala yu’la alaih” bermaksud, Islam itu tinggi dan tidak
ada yang lebih tinggi daripadanya, sebagaimana hadis yang diriwayatkan secara marfu’ oleh Imam Thabrani.
Agama Islam adalah agama wahyu yang diturunkan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Sempurna. Pada Islam terkandung sistem yang sempurna dan relevan sepanjang zaman atau bahasa mudahnya evergreen.
Sifat Islam itu sendiri adalah kukuh dan kuat. Telah Allah turunkan al-Quran sebagai panduan hidup umat akhir zaman ini. Allah juga telah berjanji akan memelihara kesucian al-Quran ini sehingga akhir zaman seperti firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (al-Quran) dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Surah al-Hijr, ayat 9)
Berbekalkan hadis dan ayat al-Quran di atas, telah cukup dan jelas bagi kita untuk merasa izzah (mulia) dengan Islam itu sendiri. Kita perlu tetap yakin bahawa tiada agama yang setanding dengan Islam dan tiada apa yang boleh merendahkan Islam itu sendiri.
Menghina Diri Sendiri?
Baru-baru ini tular di media sosial berkaitan isu seorang wanita yang mengaku seorang Islam dan telah menghafal 15 juzuk al-Quran dikatakan telah menghina Islam dalam satu acara stand up comedy di salah sebuah kelab di ibu kota telah menzahirkan penghinaan kepada Islam melalui perbuatannya.
Namun adakah perbuatan itu benar-benar telah merendahkan martabat Islam itu sendiri? Atau ia sebenarnya merendahkan martabat peribadi dirinya sendiri?
Martabat seorang wanita diangkat dengan datangnya Islam. Umum mengetahui bagaimana wanita diperlakukan ketika zaman jahiliah dahulu.
Anak-anak perempuan dibunuh dan wanita tidak diberikan perwarisan harta sehinggakan nilai seorang wanita itu sama seperti barang dagangan sahaja.
Penghormatan yang diberikan oleh Islam kepada seorang wanita sangat mahal harganya. Wanita dilindungi dan diletakkan pada tempat yang sama dengan kaum lelaki.
Oleh yang demikian, perbuatan wanita itu sendiri dengan ‘menelanjangkan’ diri dengan maksud menghina Islam adalah suatu perbuatan yang hanya merendahkan martabat dirinya sendiri sahaja.
Tidak Akan Tercalar
Kesucian Islam tidak akan pernah tercalar hanya dengan perbuatan segelintir penganutnya. Ini kerana Allah telah berfirman dalam Surah al-Muddaththir ayat 38 yang bermaksud:
“Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya.”
Oleh yang demikian, sebab dan akibat daripada perbuatan itu hanya memberikan kesan secara langsung kepada si pelakunya.
Ketakwaan sebenarnya kunci untuk kita beriltizam dengan agama ini. Dengan hadirnya takwa dalam diri, kita akan menjadi insan yang dekat dengan Pencipta.
Hafalan al-Quran bukanlah penanda aras untuk bermegah yang kita sudah tinggi darjat berbanding orang lain. Andai tidak disertai dengan kefahaman serta beramal dengan ajaran al-Quran itu sendiri, maka hafalan hanya tinggal lantunan di bibir sahaja.
‘Perosak’ Agama
Hari ini, musuh Islam tidak lagi perlu bersusah-payah kerana kerja-kerja menjatuhkan Islam itu telah diambil alih oleh segelintir umat Islam itu sendiri.
Biarpun ramai umat Islam tatkala ini, namun nilai tambah kepada Islam itu sendiri semakin berkurang seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Akan datang umat-umat yang berkerumunan ke atas kamu seperti kerumunannya orang-orang yang makan pada satu pinggan.”
Maka seorang bertanya: “Apakah jumlah kami pada ketika itu sedikit?”
Baginda SAW menjawab: “Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai. Akan tetapi keadaan kamu seperti buih-buih di lautan. Dan sesungguhnya Allah akan mencabut daripada (hati) musuh-musuh kamu rasa takut terhadap kamu serta akan ditimpakan (penyakit) al-Wahn di dalam hati-hati kamu.
Seseorang lalu bertanya, ”Wahai Rasulullah, apa itu al-Wahn?” Baginda menjawab: “Cinta dunia dan takutkan mati.”
(Hadis Riwayat Abu Dawud, Kitab al-Malahim, Bab ‘Fi Tada’i al-Umam ‘Alal Islam’, jld. 4, ms. 484, No. 4297, Sahih)
Hakikatnya, setiap kita yang bernyawa pasti akan merasai mati, sehingga kita capai titik penamat hidup di dunia ini. Kita masih punya peluang untuk terus beramal dengan amal-amal soleh yang boleh membawa pengakhiran kita ke syurga-Nya.
Andai kita memilih untuk memusuhi agama ini dengan perbuatan sendiri, maka bersedialah untuk menempah perjalanan yang sukar di sana nanti, kecuali jika sempat bertaubat dengan sebenar-benar taubat.
Roselinee Mohammad Radzi
Setiausaha Wanita IKRAM Selangor