Hilang toleransi, hilang keamanan

Watan yang kita kasih ini, mempunyai puluhan etnik yang mempunyai adat resam dan agama yang tersendiri. Jika nilai toleransi ini gagal kita semai dalam jiwa sanubari rakyat Malaysia, usah bermimpi tentang keamanan kerana pasti membawa kehancuran.

 

Dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), toleransi adalah sikap sabar dan bertolak ansur, sikap dapat menerima atau menghormati pendapat, fikiran dan kepercayaan orang lain. Bertoleransi menunjukkan toleransi: Masyarakat hidup aman damai, bersatu padu.

 

Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Sedunia, Syeikh Dr Ali al-Qaradaghi apabila berbicara tentang Rahmatan Lil Alamin, beliau mengatakan, menjaga keamanan dan keselamatan negara juga adalah maqasid syariah yang perlu kita pelihara dan berikan penekanan terhadapnya. Maka tidak boleh tidak, kita perlu tanamkan nilai toleransi ini dalam jiwa seluruh rakyat Malaysia.

 

Lebih 1,400 tahun yang lalu ketika Nabi Muhammad SAW diutuskan, nilai toleransi ini telah disemai dan dipupuk dalam kalangan orang Arab ketika itu. Walhal sebelum kedatangan Nabi, merekalah yang paling kuat asabiahnya. Selepas hadirnya islam, nilai toleransi dan keamanan itu mereka genggam dengan gigi geraham mereka.

 

Hari ini, perbezaan agama telah membuat kita bersengketa, perbezaan kaum telah membuat kita menghina, perbezaan politik buat kita bermasam muka, hatta perbezaan pendapat antara suami isteri, akhirnya berlaku penceraian walhal isunya remeh sahaja. Kita telah hilang nilai toleransi dan keamanan, kita telah hilang sifat kasih dan sayang. Hal Ini pasti akan merugikan negara tercinta ini.

 

Sejarah toleransi dengan Yahudi

 

Setelah Nabi sampai ke Madinah dan mempersaudarakan muhajirin dan ansar, Nabi telah membuat perjanjian dengan Yahudi untuk mewujudkan keamanan, keharmonian, kemuliaan dan kebaikan kepada manusia sejagat dan menggariskan peraturan-peraturan yang bersifat anjal dan toleransi supaya semua orang di Madinah, tidak kira kabilah mahupun agama apa sekalipun dipelihara haknya di samping menjaga keamanan Madinah bersama-sama.

 

Antara kandungan perjanjian yang termeterai antara Nabi dan Yahudi ialah:

1. Pertolongan perlu diberikan kepada orang yang dizalimi.

2. Tidak boleh memberi perlindungan kepada musuh dan orang yang membantunya.

3. Bersama-sama mempertahankan kota Yathrib (Madinah) dapada mana-mana pihak yang cuba menceroboh.

4. Yahudi bebas mengamalkan agama mereka sebagaimana orang Islam bebas mengamalkan agama mereka.

 

Ini adalah antara isi kandungan perjanjian yang telah terpahat dalam lipatan sejarah. Kita boleh lihat bagaimana kandungan perjanjian ini sangat adil, rahmah dan toleransi kepada Islam mahupun Yahudi yang mana hak-hak mereka dijaga walaupun agama mereka berbeza.

 

Di sini kita dapat lihat bagaimana toleransinya Islam dalam berhadapan dengan orang yang berbeza agama dan ideologi dengan mereka. Mereka memberi hak mereka dan meminta hak daripada mereka. Nilai toleransi ini kita perlu pertahankan bersama untuk menjaga keamanan di Malaysia.

 

Hal ini sangat sesuai dengan konteks negara bangsa pada hari ini apabila di bumi Malaysia ini wujudnya pelbagai agama dan bangsa. Maka, tidak boleh tidak nilai toleransi sesama kita perlu dipertingkatkan supaya negara ini sentiasa membangun dengan bakat dan kelebihan daripada setiap kaum yang kita ada.

 

Toleransi ini bukan bermaksud apabila seseorang telah melakukan kesilapan, maka kita membiarkan mereka tanpa sebarang tindakan kononnya itu adalah toleransi. Hari ini, kita sudah ada undang-undang dan mahkamah yang akan menghukum sesiapa sahaja yang telah melampau dalam melakukan sesuatu perkara.

 

Dalam Islam, tidak ada toleransi kepada orang yang telah melakukan kesalahan undang-undang tidak kira dia seorang kaya, miskin, Melayu, Cina, India, ahli politik, orang awam hatta sultan sekalipun. Jika mereka melakukan kesalahan, wajib dihukum ke atas mereka.

 

Sabda Nabi SAW dalam hadis:

“Sesungguhnya kebinasaan orang-orang sebelum kamu dahulu adalah kerana membiarkan orang mulia (bangsawan) yang mencuri tanpa dijatuhkan hukuman. Sedangkan jika golongan lemah mencuri, maka ia dijatuhkan hukuman potong tangan. Demi (Allah) yang jiwaku ada di tangan-Nya, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, pasti aku potong tangannya!” (Hadis Riwayat Bukhari | No. 6788)

 

Hal ini sangat penting kerana jika kita mempertahankan orang yang melakukan kesalahan, bukan sahaja sifat toleransi dan keamanan akan hilang, hatta sifat keadilan juga telah dirobek dan pasti akan membawa kepada kehancuran.

 

Penutup

 

Daripada Ibnu Abbas RA, ia berkata, ditanyakan kepada Rasulullah SAW:. “Agama manakah yang paling dicintai oleh Allah?” maka beliau bersabda: “Al-Hanifiyyah As-Samhah (yang lurus lagi toleran).” (Hadis Riwayat Ahmad | No. 2107)

 

Jelas di sini, kita dapat lihat betapa pentingnya nilai toleransi yang perlu ada pada diri setiap jiwa rakyat Malaysia. Kita hari ini suka melihat perbezaan sesama kita, walhal kita adalah manusia, kita adalah rakyat Malaysia. Mengapa tidak kita bersama-sama menggembleng tenaga membangunkan sebuah negara maju, demi Malaysia yang tercinta?

 

Sekiranya kita gagal menyemai nilai toleransi dalam masyarakat kita, bukan keamanan sahaja yang kita hilang, tapi sebuah penghinaan kepada manusia yang berakal. Kata Syeikh Abdullah bin Bayyah:

 

“Kini kita sedang melihat tanda-tanda keruntuhan sebuah tamadun dan penghinaan kepada darjat kemanusiaan. Apa gunanya manusia pergi jauh ke angkasa lepas, tetapi pada masa yang sama tidak mampu mengurus dunia yang menjadi tempat tinggalnya sendiri. Manusia masih gagal untuk memahami saudara dan rakannya di bumi sendiri.”

 

Irham Masiri adalah Pelajar Tahun 3 Sejarah Tamadun Islam, Universiti Malaya

Rujukan:
1. https://www.malaysia.gov.my/portal/content/30114?language=my
2. http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=toleransi
3. Raheeq Makhtum – Syeikh Safiyyurrahman Mubarakfuri
4. Sirah Nabawiyah – Dr Ahmad Shalabi

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia