Hari Warga Emas Sedunia disambut pada 1 Oktober setiap tahun. Selain itu, kita sedia maklum bulan Oktober juga ialah Bulan Kesedaran Kanser Payudara atau “Pink October Awareness” di Malaysia.
Ia disambut bersama dengan menghargai wanita warga emas dan seterusnya perlu menggiatkan kempen kesedaran kesihatan khususnya bagi wanita tentang kanser payudara.
Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, pada suku kedua 2024, warga emas di Malaysia mencatatkan peratusan 11.6% atau 3.9 juta daripada jumlah penduduk. Selain itu, jangka hayat penduduk Malaysia juga menunjukkan peningkatan, dengan catatan 74.8 tahun pada 2023, berbanding 63.6 tahun pada 1970. Ini menunjukkan kemajuan dalam penjagaan kesihatan dan kualiti hidup warga emas.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menunjukkan komitmen yang kuat untuk memastikan warga emas di Malaysia menikmati kehidupan yang bermaruah.
Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri menekankan kepentingan Dasar Warga Emas Negara yang bertujuan menggalakkan warga emas hidup secara berdikari dan dihormati.
Pelbagai pihak terlibat dalam memberikan sokongan kepada warga emas, termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan anak-anak yang menjaga ibu bapa mereka.
Untuk mempertingkatkan inisiatif penjagaan pada tahun 2024, beberapa program perlu disusun bagi memperkasakan kompetensi penjaga, termasuk latihan penjagaan warga emas dengan memperkenalkan program yang lebih intensif bagi melatih penjaga, selaras dengan cabaran negara yang menua menjelang tahun 2030.
Selain itu, Modul Kursus Asuhan dan Jagaan OKU akan ditambah baik dengan mengembangkan modul yang lebih berfokus mengikut kategori OKU untuk menyokong perkembangan potensi individu dengan keperluan khas secara menyeluruh.
Sehubungan itu, Program Penjagaan Kesihatan Ibu Selepas Bersalin akan dilaksanakan dengan memantapkan pelaksanaan Program MamaCare untuk memberikan sokongan yang lebih baik kepada ibu selepas bersalin dan Kempen Advokasi Kesedaran Penjagaan dengan meningkatkan usaha untuk menggiatkan kempen kesedaran tentang penjagaan dan pentingnya pengesanan awal penyakit.
Tingkatkan pengetahuan
Sempena bulan Oktober juga, golongan wanita diingatkan untuk meningkatkan pengetahuan mengenai kanser payudara, bertepatan dengan kempen “Pink Oktober” yang dianjurkan oleh pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
Kanser payudara merupakan kanser utama dalam kalangan wanita di seluruh dunia, menyumbang 24.2% daripada kes kanser baharu dan menyebabkan 15% kematian akibat kanser pada tahun 2018. Ditegaskan bahawa menjelang tahun 2040, dijangkakan akan ada tiga juta kes kanser payudara dan satu juta kematian global akibat penyakit ini.
Di Malaysia, berdasarkan Laporan Registri Kanser Kebangsaan, insiden kanser payudara telah meningkat daripada 31.1 per 100,000 penduduk (2007 – 2011) kepada 34.1 per 100,000 penduduk (2012 – 2016).
Kanser payudara kini menyumbang 25% daripada kematian berkait kanser di negara ini. Oleh itu, bagi memenuhi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia melalui Global Breast Cancer Initiative (GBCI), adalah penting untuk melabur secara strategik dalam sistem kesihatan.
Pendekatan ini harus berlandaskan prinsip promosi kesihatan yang kuat termasuk pengesanan awal, diagnosis yang tepat dan akses kepada pengurusan yang komprehensif bagi pesakit kanser payudara.
Kempen ini bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai selain mendidik dan menyokong mereka yang menghidap penyakit ini.
- Amalkan cara hidup yang sihat dan kekalkan berat badan yang unggul dengan amalan pemakanan yang sihat dan bersenam secara berkala.
- Lakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP). Pengesanan awal boleh dilakukan dengan sentiasa peka tentang perubahan pada payudara. Lakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) setiap bulan dengan tiga langkah mudah menjaga kesihatan payu dara iaitu LIHAT, RASA dan RESPONS.
Kanser yang menghantui kaum wanita
Kisah-kisah inspiratif serta wawancara dengan pakar dan sumber berguna akan dipaparkan sepanjang bulan ini. Orang ramai digalakkan untuk berbincang tentang isu ini dan menyediakan sumber sokongan adalah langkah proaktif yang dapat memberikan impak besar.
Kanser payudara terus menjadi kanser paling umum dalam kalangan wanita di Malaysia, dengan satu daripada 19 wanita berisiko menghidap penyakit ini. Setiap tahun, lebih 8,000 kes baharu didiagnosis, menjadikan pengesanan awal sangat penting untuk meningkatkan kadar kelangsungan hidup.
Kajian menunjukkan bahawa kanser payudara yang dikesan pada peringkat awal mempunyai kadar kelangsungan hidup yang mencapai 90%. Mencegah kanser payudara melalui gaya hidup sihat dan pengesanan awal adalah langkah yang sangat penting.
Amalan seperti pemakanan seimbang, aktiviti fizikal dan menghindari tabiat tidak sihat dapat membantu mengurangkan risiko. Selain itu, ujian saringan secara berkala, seperti mamogram, dapat membantu pengesanan awal dan meningkatkan peluang pemulihan.
Kempen kesedaran dan penghapusan stigma
Perbincangan terbuka dan kempen kesedaran sepanjang tahun sangat penting untuk mengurangkan stigma dan memberikan maklumat yang tepat.
Kisah inspirasi dan sokongan daripada komuniti, termasuk pertubuhan bukan kerajaan seperti Program Pink Plane 3.0: Breast Cancer Awareness 2024 dianjurkan oleh Women in Aviation (WIAM), UniKL dengan kerjasama Balai Ikhtisas Malaysia, Women in Logistics and Transport (WiLAT), The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) Malaysia, HAWA Malaysia, Women in Trade and Industry (WITI) dan IKK di UniKL MIAT, Sepang.
Seramai 300 peserta dari UniKL MIAT, UniKL Mestech, FPPP UPNM, Saito University College dan UNITEN hadir bersama komuniti.
Dengan kerjasama semua pihak, kita dapat mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk pencegahan dan pengesanan awal kanser seperti kata pepatah “Mencegah lebih baik daripada berubat”. Jangan kita lupakan jasa warga emas kerana mereka sebagai tunjang kekuatan komuniti serta inspirasi kepada generasi muda.
Bersama-sama, kita boleh memperkasakan warga emas dan menjaga kesihatan untuk terus menjalani kehidupan yang bermaruah, dihargai dan penuh kasih sayang di samping mengutamakan gaya hidup sihat.
Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia &
Pengerusi Women in Logistics and Transport (WiLAT) Malaysia, CILTM