Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2025 Cetus Semangat Perpaduan

Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2025 Cetus Semangat Perpaduan

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa (HBIA) 2025 akan berlangsung pada Jumaat, 21 Februari ini, bermula jam 10.00 pagi hingga 12.30 tengah hari di Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) di sini.

Acara ini bakal disambut dengan penuh meriah melalui pelbagai program dan aktiviti menarik yang dapat memupuk semangat perpaduan serta memperkukuhkan penghargaan terhadap kepelbagaian bahasa dan budaya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa HBIA 2025, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor semalam, sambutan ini menekankan kepentingan bahasa ibunda dalam membentuk keperibadian, memelihara warisan budaya dan memperkukuhkan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.

HBIA diperkenalkan oleh UNESCO sebagai usaha untuk mengekalkan kepelbagaian bahasa dan warisan budaya dunia. Ia juga menjadi landasan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan bahasa dalam membina persefahaman, toleransi dan perpaduan sejagat.

Majlis sambutan HBIA 2025  ini akan dimulakan dengan ucapan khas daripada Pengerusi HBIA 2025 serta jemputan khas iaitu Duta Kedutaan Bangladesh di Malaysia.

Selain itu, forum khas turut diadakan dengan menampilkan empat ahli panel dan seorang moderator yang akan membincangkan peranan bahasa ibunda dalam memelihara jati diri sesuatu bangsa serta kepentingannya dalam memperkukuh keharmonian dan perpaduan.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan, Karnival HBIA 2025 dan Majlis Penyampaian Hadiah akan diadakan pada 14 Jun 2025, Sabtu. Karnival ini akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti kebudayaan dan tradisional yang mencerminkan warisan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Antara aktiviti yang disusun ialah pertandingan Choral Speaking dalam pelbagai bahasa, seni kaligrafi Cina, Khat Melayu dan Kaligrafi Tamil, serta pembuatan Kolam & Thoranam, Mehendi, anyaman dan Jak Renoi oleh masyarakat Orang Asal.

Selain itu, permainan tradisional seperti Chopstick Challenge, Batu Seremban dan Congkak/Palangguli turut disediakan bagi memberi pengalaman budaya yang lebih dekat kepada peserta.

Selain aktiviti kebudayaan, karnival ini juga akan menampilkan Forum Belia, yang dikendalikan sepenuhnya oleh golongan belia sendiri.

Forum ini bertujuan untuk memperkasakan generasi muda dengan meningkatkan kesedaran mereka tentang kepentingan bahasa ibunda dan peranannya dalam membentuk masyarakat yang lebih bersatu padu.

Sebagai sebahagian daripada usaha menarik penyertaan generasi muda, Pertandingan Seni HBIA 2025 akan diadakan dengan penyertaan daripada pelajar sekolah rendah daripada pelbagai latar belakang pendidikan di seluruh negara.

Bertemakan “Bahasa Ibunda untuk Kemakmuran Masyarakat” atau “Buku Bahasa Ibunda Yang Saya Suka”, pertandingan ini bakal mengangkat kreativiti pelajar dalam menyampaikan mesej kepentingan bahasa ibunda.

Sebanyak 10 karya terbaik akan dipilih sebagai pemenang. Para pemenang akan menerima hadiah dan sijil pada hari Karnival HBIA 2025, dan karya mereka akan dipamerkan kepada umum.

Di samping itu, sekolah-sekolah juga digalakkan untuk menganjurkan aktiviti seperti pertandingan puisi, drama, choral speaking, serta ceramah kesedaran mengenai kepentingan bahasa ibunda.

Dengan penganjuran program-program ini, pihak penganjur berharap dapat meningkatkan kefahaman masyarakat tentang peranan bahasa dalam membentuk identiti dan keperibadian seseorang, serta mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Pihak penganjur menjangkakan kehadiran 150 hingga 200 peserta daripada pelbagai latar belakang kaum bagi majlis sambutan HBIA pada Jumaat ini.

Sementara itu, Karnival HBIA 2025 dijangka menarik kehadiran 500 pelajar sebagai usaha memperluaskan kesedaran terhadap kepentingan bahasa ibunda dalam masyarakat majmuk Malaysia.

“Ramai di antara kita masih belum mengetahui kewujudan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa dan kepentingannya. Dengan adanya sambutan ini, kita dapat memastikan bahasa ibunda terus dihargai dan dipelihara sebagai warisan yang tidak ternilai,” ujar Ustaz Megat Mohamed Amin.

Jelasnya, sambutan ini sejajar dengan firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rum, ayat 22, yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.”

Justeru, seluruh masyarakat diseru untuk sama-sama menyertai program ini dalam usaha memelihara bahasa ibunda, yang menjadi asas kepada pembentukan insan berakhlak, beradab dan bertamadun.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia