Tidak ada berita yang paling mendukacitakan pada minggu ini saya kira, melainkan laporan media mengenai mantan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Beliau memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan kes 1MDB bahawa beliau menerima elaun sebanyak RM30,000 sebulan sebagai Ahli Lembaga Penasihat 1MDB walaupun beliau tidak pernah diundang ke mesyuarat Lembaga tersebut selama lima tahun.
Banyak ulasan yang dibuat di media sosial, mengapakah sampai ke tahap ini integriti Ahli Lembaga Pengarah yang berpengalaman luas sebagai ketua tertinggi penjawat awam?
Katakanlah memang benar syarikat milik Kementerian Kewangan itu tidak pernah memanggil mesyuarat Ahli Lembaga Penasihatnya, bagaimana pula sikap proaktif seorang profesional untuk bertindak dan membuat apa sahaja yang terbaik atas kepentingan negara?
“Berakhirnya integriti di Malaysia,” tulis Dennis Ignatius, seorang bekas duta Malaysia yang berkhidmat lebih 36 tahun dalam sektor diplomatik.
Tulis beliau lagi, “Gone are the days when integrity was one of the hallmarks of public service. Now, for the most part, our public service is inhabited by rapacious and unethical men and women, people without honour, integrity or conscience.”
(Sudah berlalu apabila integriti menjadi salah satu ciri perkhidmatan awam. Kini, sebahagian besar perkhidmatan awam kita didiami oleh lelaki dan wanita yang rakus dan tidak beretika, orang yang tidak bermaruah, berintegriti atau berhati nurani).
Mufti Pulau Pinang pula dilaporkan menyatakan hukum menerima habuan dalam keadaan seperti ini adalah haram dan wang tersebut mesti dipulangkan kepada kerajaan.
Perlu Berwibawa, Kompeten
Tidak ada jawatan yang paling tinggi dalam perkhidmatan awam melainkan jawatan KSN, yang juga merupakan setiausaha kepada jemaah menteri.
Personaliti yang berada pada tahap ini tentunya amat terpilih, berwibawa tinggi, kompeten dan disaring daripada ratusan ketua kanan dalam sektor awam.
Ketua-ketua penjawat awam mempunyai banyak tanggungjawab dan kuasa, dan sekali gus peluang untuk memberi dan mengambil rasuah adalah besar.
Sebab itulah penjawat awam biasanya melalui banyak program pembangunan diri untuk membina kompetensi dan integriti supaya mereka dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan cara yang paling baik demi negara.
Namun hakikatnya, hampir separuh daripada kes-kes rasuah di negara ini melibatkan penjawat awam.
SPRM mendedahkan, sepanjang enam tahun dari tahun 2015 hingga 2020, sejumlah 5,652 tangkapan telah dibuat dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,683 atau 47.5 peratus adalah penjawat awam. (Sinar Harian, 31 Jan 2021)
Dalam keadaan yang kritikal ini, peranan ketua-ketua tertinggi perkhidmatan awam walaupun setelah bersara amatlah besar untuk digembleng dalam agenda membanteras najis rasuah ini.
Tiga Sebab Wang Dikembalikan
Oleh sebab itu, saranan Mufti Pulau Pinang supaya dikembalikan wang negara yang diambil daripada bukan haknya sememangnya amat tepat atas tiga sebab.
Pertama, kita perlu ingat, apa yang kita lakukan di dunia ini akan dihisab di akhirat. Melunaskan hak-hak orang lain ketika di dunia akan meringankan tanggungan kita pada Hari Pengadilan (Hari Kiamat).
Kedua, mengembalikan bayaran atas khidmat yang tidak dapat kita lunaskan adalah kemuliaan dan teladan terbaik.
Setiap kali kita sedar daripada kesilapan, langkah terbaik adalah untuk kembali ke pangkal jalan. Berani mengakui kesilapan dan membetulkannya segera adalah kekuatan sebenar seseorang pemimpin, malahan sesiapa sahaja yang ingin berjaya.
Ketiga, ini adalah peluang terbaik untuk mantan KSN dan mantan ketua-ketua penjawat awam untuk bangkit dan bersama-sama rakyat membanteras amalan rasuah dalam negara, sebelum tonggak-tonggak kekuatan negara ini semakin hari semakin lemah dan akan runtuh.
Perlu diingat, sejarah telah menunjukkan negara yang memimpin tamadun pun hancur dek rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pemerintah dan pentadbir.
Gerakan Banteras Rasuah
Gerakan membanteras rasuah ini jika turut digerakkan oleh bekas-bekas pemimpin tertinggi penjawat awam, pasti akan disambut masyarakat sivil dan rakyat marhaen kerana merekalah golongan paling terkesan akibat ketirisan dalam penggunaan dana negara, penyalahgunaan kuasa atau ketidakcekapan sektor awam.
Bagaimanapun, sikap mantan KSN Tan Sri Mohd Sidek Hassan bersedia untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-19 dalam perbicaraan kes rasuah 1MDB menunjukkan kesediaan beliau untuk memberi kerjasama untuk menegakkan kebenaran dan keadilan dalam kes 1MDB.
Teruskan Tan Sri dengan azam yang lebih padu, menjadi saksi kepada kebenaran, dan semoga ia menjadi pencetus inspirasi, bukan sebaliknya, kepada generasi baru Malaysia, terutama yang sedang berkhidmat dalam sektor awam.
Mohamad Saidy Ismail