Disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari. Begitu jugalah pasangan suami isteri, diharapkan ikatan kekal hingga ke hujung nyawa, namun takdir mengatasi segalanya.
Itulah pembuka bicara oleh Peguam Syarie, Puan Mursyidatun Adilah Mohamad Nasar yang merupakan moderator dalam forum Analisis bertajuk ‘Kemelut Penjagaan Anak Selepas Perceraian’ pada 27 Julai 2022 anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia.
Hadanah secara etimologi berasal daripada bahasa Arab yang bererti mengasuh, merawat dan memeluk. Namun ironinya, isu hak jagaan anak-anak sering diwarnai dengan siri episod kemelut pertikaian antara kedua-dua ibu bapa, berpunca daripada rasa dendam dan amarah yang tidak terlerai.
Ketiadaan kerjasama dan toleransi yang baik antara pihak-pihak yang terlibat menyebabkan tempoh penyelesaian kes menjadi kompleks dan panjang meleret. Ini sudah tentunya memberikan impak besar yang menganiayai anak-anak.
Kajian yang dijalankan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Singapura pada 2020 mendapati anak-anak yang melalui perceraian kedua-dua ibu bapanya menghadapi kesan perceraian jangka panjang dalam kehidupan dewasa berbanding anak-anak dalam keluarga yang tidak bercerai.
Apabila dibandingkan dengan anak-anak yang hidup dalam keluarga yang tidak bercerai, didapati anak-anak mangsa perceraian lebih besar berkemungkinan melalui perceraian dalam perkahwinan mereka, kurang kemungkinan berkahwin, mempunyai Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang lebih rendah, berpendapatan lebih rendah dan kurang kemungkinan meraih ijazah sarjana muda di institut pengajian tinggi.
Menyedihkan tetapi inilah fakta kesan keruntuhan rumah tangga. Banyak kajian yang dibuat menunjukkan anak-anak yang hidup dalam keluarga berkonflik akan mengalami kesukaran untuk ada harga diri yang positif, membentuk dan mengekalkan perhubungan, mengurus emosi, masalah pembelajaran dan akan ada isu kepercayaan.
Utamakan Kebajikan Anak
Sebagaimana kata Profesor Jabatan Amalan Guaman, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr. Najibah Mohd Zin:
“Ulama-ulama Islam membincangkan isu hadanah dengan sangat mendalam. Secara konsesusnya, ulama Islam dalam kitab fikah, penulisan mereka menekankan maslahah anak-anak agar menjadi keutamaan dalam setiap keadaan.”
Tambah beliau, Islam sangat menitikberatkan penglibatan kedua-dua ibu bapa dalam menjaga kebajikan anak-anak.
“Ulama menekankan kerangka peranan kedua-dua ibu bapa dalam soal menjaga kebajikan anak secara bersama.”
“Apabila berlaku perceraian, ia akan menjadi keadaan yang sukar buat kedua-dua ibu bapa dalam menentukan hala tuju kehidupan yang akan dilalui secara berasingan,” jelasnya.
Meskipun begitu, ibu bapa seharusnya menggembleng tenaga memikul tanggungjawab bersama dengan penuh toleransi dalam menjaga kebajikan anak-anak walaupun tidak lagi hidup sebumbung. Anak-anak berhak membesar dalam persekitaran yang selesa, selamat, ceria dan penuh kasih-sayang.
Rebut Atau Jaga Anak?
Prof. Najibah menyebut lagi, “Intipati hadanah adalah kasih sayang.”
Ini dipersetujui oleh Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syarie Malaysia (JKSM), YAA Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar dengan menekankan peri pentingnya kerjasama antara kedua-dua pihak seperti dalam firman Allah, Surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud:
“Hendaklah kamu bekerjasama ke arah kebaikan…”
Alangkah indahnya sekiranya kedua-dua ibu bapa dapat mengetepikan persengketaan demi kebaikan anak-anak. Anak-anak yang sudah sedia tercedera emosi dengan perceraian mereka tidak wajar ditambah luka dengan pertikaian hak penjagaan yang memudaratkan semua pihak yang terlibat.
Anak-anak ini yang kelak akan menerajui kepimpinan keluarga, masyarakat, negara dan seterusnya ummah. Bagaimana kita ingin mengharapkan anak-anak ini membesar sebagai individu yang rahmah sekiranya tempoh pembesaran mereka dilalui dengan terumbang-ambing?
Kita boleh melihat contoh hidup bagaimana anak-anak mangsa perceraian membesar dengan baik dalam kehidupan keluarga yang stabil apabila kedua-dua belah pihak ibu bapa saling berbaik melalui kisah perkahwinan pasangan selebriti Abby Abadi, Memey Suhaiza bersama Norman Hakim.
Hak jagaan anak tidak hilang walaupun Abby Abadi telah berkahwin baru dengan suaminya, Muhammad Faizal Zakaria.
Hakikatnya, isu hadanah tidak sepatutnya menjadi medan persaingan merebutkan hak jagaan anak. Ibu bapa kandung selamanya tidak akan hilang hak jagaan terhadap anak-anak selaku ibu bapa biologi mereka. Tanggungjawab ini adalah untuk selamanya.
Mahkamah Tempat Kesepakatan, Bukan Pertempuran
Dato’ Mohd Naim juga menegaskan bahawa mahkamah sebagai pihak yang membuat keputusan terhadap pertikaian membabitkan kanak-kanak, berpegang kepada prinsip keutamaan menjaga kebajikan kanak-kanak.
Katanya, isu berkaitan dengan hak jagaan kanak-kanak merupakan kes yang kompleks dan beremosi, yang melibatkan dua cabaran.
“Pertama, hakim yang mengendalikan kes hadanah seringkali berhadapan dengan konflik pertimbangan dalam membuat keputusan.”
“Cabaran kedua hakim ialah kes yang kompleks dan melalui tempoh yang panjang, permohonan interlokutori yang boleh melibatkan berpuluh-puluh permohonan yang difailkan peguam menyebabkan kes hadanah berlarutan panjang,” jelasnya.
Para peguam yang mengendalikan kes sebegini sewajarnya berkeupayaan menjadi perantara yang dapat memandu dan menasihatkan anak guam mereka untuk melancarkan prosiding mahkamah dan menyelesaikan kes penjagaan anak dengan sejahtera.
Mereka perlu bentukkan suasana agar terbuka luas ruang muafakat dan bukan sebaliknya sehingga kedua-dua ibu bapa bergelut dan berkelahi sehingga putus silaturahim.
Para peguam tidak seharusnya menggunakan kepetahan hujah dan mengambil kesempatan atas kelonggaran undang-undang atau prosedur sehingga tempoh penyelesaian kes berpanjangan dan menjadi rumit untuk diselesaikan.
Kesan trauma tertinggi daripada kemelut ini adalah pada anak-anak mangsa perceraian.
Memetik perkongsian Dato’ Mohd Naim lagi, terdapat hadis daripada Abu Hurairah yang merujuk kepada kapisiti Nabi SAW bertindak sebagai hakim di mana melibatkan pertikaian dua pihak yang hadir di depan Rasulullah SAW, Nabi bersabda:
“Sesungguh aku adalah manusia, sebahagian daripada kamu mungkin lebih petah dalam mengemukakan hujah daripada yang lain. Jika saya membuat keputusan yang memihak kepadanya yang menjejaskan hak saudaranya (di mana ia berdasarkan hujah palsu dan penipuan), ia adalah seketul daging daripada api neraka.”
Tegasnya, inilah amaran daripada Nabi SAW kepada para peguam termasuk semua pihak yang bersangkutan.
Bincang Jalan Terbaik
Sewajarnya isu hadanah tidak menjadi mimpi ngeri buat anak-anak. Kita mahukan pihak-pihak yang terlibat tidak bermusuh, tetapi berbaik-baik sehingga boleh menjalankan peranan masing-masing dan berbincang dengan harmoni.
Bagi ibu bapa yang membawa kes hak penjagaan ke mahkamah, peguam-peguam yang bertarung, hakim yang membuat keputusan, tanya kembali apakah niat kita? Moga keputusan yang dibuat tidak menjadikan anak-anak mangsa kepada kemelut ini.
Perceraian ibu dan bapa yang menyebabkan mereka tinggal berasingan dan hidup lebih gembira adalah lebih baik untuk anak-anak daripada kehidupan keluarga yang tidak bahagia dan huru-hara di dalam satu rumah.
Ya, ibu dan bapa yang bercerai masing-masing sudah ada haluan sendiri dalam kehidupan. Yang pasti, tanggungjawab bersama dalam penjagaan anak-anak wajib diteruskan.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Strategik dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Rujukan: