Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menggesa kerajaan mempercepatkan penggubalan Akta Khairat (Charity Act) bagi memastikan sektor kebajikan negara beroperasi dengan lebih telus, berintegriti dan bertanggungjawab. Undang-undang khusus ini amat penting untuk mengawal selia aktiviti amal, dana kecemasan dan pengumpulan dana awam yang semakin meluas.
Sebagai organisasi yang berteraskan prinsip Islam, IKRAM menegaskan bahawa amanah, keadilan dan ketelusan adalah asas dalam pengurusan dana kebajikan. Sebarang salah laku, pecah amanah atau penyalahgunaan dana bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mencemarkan kesucian amal jariah serta mengkhianati kepercayaan masyarakat.
Ketiadaan rangka undang-undang yang komprehensif bagi sektor amal membuka ruang kepada penyalahgunaan dan boleh meruntuhkan kepercayaan awam yang mengambil masa lama untuk dibina.
Negara-negara seperti Singapura, United Kingdom dan Australia telah membuktikan keberkesanan Suruhanjaya Khairat (Charity Commission) dalam memastikan pematuhan, ketelusan dan tadbir urus yang baik – model yang wajar diteladani dan disesuaikan dengan konteks Malaysia.
Akta Khairat yang dicadangkan ini bertujuan untuk:
1. Melindungi Penderma: Memastikan sumbangan disalurkan kepada penerima yang layak.
2. Melindungi Benefisiari: Menjamin bantuan diagihkan secara adil dan berkesan.
3. Melindungi Organisasi Amal yang Berintegriti: Menyediakan garis panduan operasi yang jelas dan mengangkat reputasi pertubuhan yang sah.
4. Memperkukuh Sektor Kebajikan Negara: Membina ekosistem amal yang diyakini dan dihormati.
Oleh itu, IKRAM mencadangkan keperluan pendaftaran untuk semua organisasi yang membuat pendanaan awam dan wujudnya audit luaran secara telus untuk semua akaun pertubuhan yang membuat rayuan pendanaan awam.
IKRAM menyeru semua pihak – kerajaan, pembangkang, institusi agama dan masyarakat sivil – untuk bersama-sama menyokong usaha mempercepatkan penggubalan akta ini. Langkah ini selari dengan maqasid syariah dalam memelihara harta (hifz al-mal) dan agama (hifz al-din).
IKRAM komited untuk melihat sektor amal Malaysia berkembang sebagai contoh terbaik yang menggabungkan keikhlasan, profesionalisme dan perlindungan undang-undang demi manfaat rakyat dan keredaan Ilahi.




