Di ufuk Laut Mediterranean, deretan kapal kecil dan besar kini sedang berlayar dengan tekad yang satu, memecahkan kepungan kejam yang telah menjerut bumi Gaza selama bertahun-tahun.
Misi ini dikenali sebagai Global Sumud Flotilla (GSF), sebuah pelayaran kemanusiaan yang tidak membawa senjata, tidak menuntut peperangan, sebaliknya hanya berbekalkan makanan, ubat-ubatan dan doa jutaan manusia yang mengiringinya dari jauh.
Dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah, lebih 1,000 sukarelawan menaiki hampir 70 bot dengan satu tekad, menjadi saksi solidariti nurani kemanusiaan sejagat terhadap rakyat Palestin yang terkepung.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam kenyataannya di laman Facebook, menzahirkan sokongan penuh terhadap misi ini. Beliau menyifatkan GSF sebagai sinar harapan buat rakyat Gaza, tanda bahawa dunia tidak pernah melupakan mereka.
Kata-kata beliau penuh makna: “GSF menuju ke Gaza bukan dengan senjata perang, tetapi janji bantuan untuk rakyat yang terkepung. Ini adalah satu misi kemanusiaan dan kita mesti melakukan segala yang termampu untuk memastikan ia sampai ke destinasinya.”
Ungkapan ini adalah seruan hati seorang pemimpin yang memahami denyut perjuangan Palestin. Ia mengangkat prinsip besar bahawa berpatah balik bukanlah pilihan. Malah, berpatah balik dianggap sebagai pengkhianatan, bukan sahaja kepada misi itu, tetapi kepada amanah dunia untuk membela mereka yang ditindas.
Gaza: Luka yang tak pernah sembuh
Sejak lebih tujuh dekad, Palestin menanggung luka yang tidak pernah sembuh. Tanah yang menjadi kiblat pertama umat Islam, Masjid al-Aqsa, kini terus dihimpit oleh dasar pendudukan dan sekatan.
Gaza, sebuah jalur sempit bersempadan dengan Mesir dan Israel, ibarat penjara terbuka terbesar di dunia. Lebih dua juta rakyatnya hidup di bawah kepungan darat, laut dan udara, dipaksa bergantung kepada bantuan antarabangsa untuk sekadar bertahan hidup.
Pelayaran GSF ini bukan sekadar misi membawa makanan atau ubat-ubatan. Ia adalah lambang penentangan terhadap ketidakadilan, lambang kesatuan nurani yang menolak kezaliman. Setiap bot yang mengharung gelombang Mediterranean membawa pesan: dunia masih peduli.
Dalam sejarah, usaha flotilla ke Gaza bukan sesuatu yang baharu. Namun kali ini, dengan penyertaan gabungan antarabangsa yang lebih luas, GSF membawa suara kolektif dari pelbagai benua, menegaskan bahawa isu Palestin bukan lagi masalah dunia Arab semata-mata, tetapi masalah seluruh insan yang mencintai keadilan.
Malaysia dan nurani Palestin
Bagi rakyat Malaysia, isu Palestin sentiasa dekat di hati. Sejak dahulu, rakyat Malaysia bangun mengadakan demonstrasi, kutipan derma, forum kesedaran, sehinggalah misi kemanusiaan yang pernah membawa sukarelawan negara kita ke bumi Gaza.
Kepedulian ini bukan sekadar emosi, tetapi lahir daripada kefahaman bahawa Palestin adalah tanah wakaf umat Islam, dan penderitaan mereka adalah ujian kepada persaudaraan sejagat.
Sokongan Perdana Menteri kali ini mencerminkan kesinambungan dasar Malaysia. Ia bukan sekadar diplomasi antarabangsa, tetapi juga seruan kepada rakyat Malaysia supaya terus menyumbang apa yang termampu.
Tidak semua mampu menaiki kapal GSF, tetapi setiap doa, setiap ringgit sumbangan, setiap perkongsian maklumat di media sosial adalah sebahagian daripada arus besar solidariti yang mengiringi misi ini.
Pengajaran besar untuk umat Islam
Terdapat tiga pengajaran besar yang boleh kita renungkan daripada misi GSF ini:
Pertama, perjuangan Palestin menuntut istiqamah dan kesabaran. GSF dinamakan Sumud, yang dalam bahasa Arab bermaksud keteguhan, ketabahan dan tidak berganjak walau ditekan dari segenap sudut. Nilai Sumud inilah yang seharusnya menjadi cerminan umat Islam dalam kehidupan harian, berpegang teguh kepada kebenaran meskipun dihimpit kesukaran.
Kedua, perjuangan Palestin adalah cermin kepada keperluan kesatuan umat. Gaza tidak mungkin dibebaskan hanya oleh satu bangsa atau satu negara. Ia menuntut kebersamaan seluruh umat Islam, bahkan seluruh insan yang cintakan keadilan. Inilah mesej utama GSF yang menghimpunkan manusia dari pelbagai latar belakang, agama dan benua untuk tujuan yang satu.
Ketiga, isu Palestin menuntut kita menilai kembali erti kepimpinan yang berani. Kepimpinan yang tidak tunduk kepada tekanan kuasa besar, tetapi teguh mempertahankan prinsip kemanusiaan. Dalam konteks Malaysia, kenyataan Anwar Ibrahim adalah satu bentuk kepimpinan moral yang menegaskan bahawa Malaysia berdiri di sisi Palestin, bukan sekadar di atas pentas diplomasi, tetapi dalam denyut hati rakyatnya.
Kepimpinan wanita dalam perjuangan Palestin
Sering kali apabila membicarakan perjuangan Palestin, fokus hanya terarah kepada pejuang lelaki. Namun, tidak ramai yang menyedari bahawa wanita Palestin adalah tonggak kekuatan sebenar di sebalik perjuangan ini.
Mereka bukan sahaja menjadi ibu yang kehilangan anak, isteri yang kehilangan suami, atau anak yang kehilangan ayah. Mereka juga menjadi doktor, jururawat, guru, pemimpin NGO dan aktivis lapangan yang memastikan kehidupan tetap diteruskan walau dalam kepungan.
Di Gaza, wanita bangun setiap pagi dengan semangat luar biasa. Ada yang memimpin dapur umum untuk menyediakan makanan kepada keluarga pelarian.
Ada yang mengendalikan sekolah walaupun bangunan sekolah itu separuh runtuh akibat serangan udara. Ada juga yang berdiri di hadapan kamera, mengangkat suara Palestin ke telinga dunia.
Dalam misi GSF sendiri, kita dapat menyaksikan penglibatan wanita dari pelbagai negara. Kehadiran mereka membawa mesej bahawa perjuangan ini bukan hanya milik lelaki, tetapi juga ruang kepimpinan wanita.
Kepimpinan wanita ini memberikan inspirasi bahawa perjuangan Palestin adalah perjuangan sejagat yang memerlukan seluruh kekuatan: lelaki, wanita, tua, muda untuk bersama-sama.
Solidariti kemanusiaan: Menembusi batas bangsa dan agama
Satu aspek menarik tentang GSF adalah bagaimana ia menghimpunkan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang. Ada Muslim, Kristian, Yahudi yang menolak Zionisme dan penganut agama lain. Mereka hadir kerana persamaan nilai kemanusiaan.
Inilah bukti bahawa perjuangan Palestin adalah isu nurani, bukan sekadar isu agama. Ia menyentuh soal keadilan, maruah manusia dan hak untuk hidup bebas di tanah sendiri.
Kesatuan sebegini memberikan mesej penting kepada dunia Islam, jika orang luar boleh bersatu kerana Palestin, mengapa kita sebagai umat Islam masih sering berpecah belah kerana perbezaan mazhab atau politik?
Bagi umat Islam di Malaysia, misi GSF ini membawa mesej yang sangat relevan. Kita tentunya tidak berada di atas kapal, tetapi kita sedang diuji dengan persoalan besar, apakah kita benar-benar peduli terhadap saudara kita di Palestin?
Peduli itu tidak semestinya dengan darah atau nyawa, tetapi dengan doa, dengan sumbangan, dengan kesedaran yang ditanamkan dalam keluarga, dan dengan keberanian untuk menyuarakan keadilan di ruang awam.
Setiap sekolah, masjid, surau, bahkan keluarga boleh menjadikan Palestin sebagai sebahagian daripada agenda pendidikan. Anak-anak perlu tahu bahawa Palestin adalah sebahagian daripada identiti umat Islam. Kesedaran inilah yang akan memastikan generasi mendatang tidak pernah melupakan Palestin walau ratusan tahun akan datang.
Jangan berpatah balik
Kenyataan Perdana Menteri bahawa berpatah balik adalah pengkhianatan menjadi penutup yang sangat bermakna. Ia bukan sahaja merujuk kepada kapal Flotilla yang sedang berlayar, tetapi juga peringatan kepada kita semua bahawa jangan berpatah balik daripada perjuangan ini.
Palestin tentunya jauh dari Malaysia, tetapi ia dekat di hati setiap insan yang cintakan kebenaran. Misi GSF adalah simbol bahawa perjuangan ini masih hidup, bahawa nurani manusia masih bernyala, dan bahawa doa dari setiap pelosok dunia masih mengiringi rakyat Gaza.
Mudah-mudahan, sebagaimana doa Anwar, usaha ini benar-benar menjadi sinar harapan buat rakyat Gaza dan menjadi saksi bahawa kesatuan nurani kemanusiaan sejagat tidak pernah padam.
Semoga umat Islam, khususnya di Malaysia, mengambil pengajaran besar daripada pelayaran ini, bahawa perjuangan tidak akan pernah selesai selagi kezaliman berterusan, dan bahawa kita mesti sentiasa bersama mereka yang tertindas.
Kerana berpatah balik, dalam apa jua bentuknya, adalah sebuah pengkhianatan!
Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia