Setelah menjalani 10 modul IMPAK di PPR Batu Muda, PPR Jelatek, Flat Sri Perlis 2, Flat Sri Johor dan Flat Taman Melati, Majlis Graduasi IMPAK 1.0 turut diraikan bersama-sama perintis IMPAK, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) dan Tamil Foundation (TF).
“GBM dan TF telah banyak memberi sokongan, bimbingan dan tunjuk ajar dalam pelaksanaan IMPAK oleh IKRAM,” kata Pengarah Majlis, Puan Fariza Said Hassan yang bersyukur majlis telah berjalan dengan jayanya.
Beliau berkata, IKRAM telah berusaha menjalankan IMPAK dalam bahasa Melayu dan sesuai dengan masyarakat melayu.
“Tahniah diucapkan kepada para graduan program IMPAK yang telah berjaya menamatkan kesemua 10 modul.”
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap agar ibu bapa dapat mengamalkan apa yang telah dipelajari di rumah demi untuk memastikan kejayaan anak-anak dalam bidang akademik dan juga hubungan kekeluargaan yang lebih baik.
“Terima kasih kepada para jurulatih dan fasilitator yang terdiri daripada ahli-ahli IKRAM yang menyahut cabaran melaksanakan program ini secara sukarela sebagai satu amal bakti bagi membina masyarakat Malaysia yang lebih baik,” ujar Fariza.
Beliau berharap agar program yang baik ini dapat diperluaskan lagi ke seluruh Kuala Lumpur dan juga ke seluruh negara agar lebih ramai orang dapat manfaatnya.
“Besar sungguh harapan kita semua agar program seperti ini mendapat sokongan daripada pihak berwajib terutama daripada aspek dana dan fasiliti,” katanya menutupi ucapan.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Wanita IKRAM, Ustazah Sallawahiu Salleh, Yang Dipertua IKRAM WPKL, Hj Zainal Adnan Abdul Halim dan Ketua Wanita IKRAM WPKL, Hjh Siti Zaiton Abdul Aziz.
Hadir sama wakil GBM iaitu Encik Ng Yoon Kin, Puan Ho Yock Lin dan Encik Rayner Yeoh serta Presiden TF, Encik Ragavan Annamalai yang disambut Pengerusi Sub Zon Datuk Keramat, Hj Hassan Unir.
Ibubapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak (IMPAK) merupakan satu inisiatif untuk membantu ibu bapa menguasai cara dan teknik yang sesuai bagi membantu pembelajaran anak-anak.