Beliau kini bertanggungjawab sebagai Pengerusi bagi Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) dan juga Pengerusi Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim SeMalaysia (PKDMMS).
Beliau juga merupakan pengasas Hidayah Centre yang terlibat secara khusus membantu saudara baru yang memerlukan bantuan. Beliau turut mendapat latihan dakwah daripada beberapa organisasi Islam Antarabangsa di Amerika Syarikat.
Sementara itu, Presiden Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA), Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin turut dilantik sebagai Pengerusi Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Mualaf Wilayah Persekutuan.
Jawatankuasa ini diharapkan menjadi sebahagian daripada usaha memperhebatkan lagi gerakan menyantuni saudara baru khususnya di Wilayah Persekutuan.
Bagi menambah nilai kualiti pendakwah dalam kalangan mualaf, pada minggu lalu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan MAIWNP disarankan untuk menghantar peserta Kelas Pengajian Mualaf yang berkelayakan ke universiti-universiti Islam di Timur Tengah terutama Universiti Islam Madinah, Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika merasmikan Majlis Apresiasi Kelas Pengajian Mualaf Sesi 2019/2020 di Dewan Seminar Saidina Abu Bakar, Kompleks Darul Hidayah di sini, menyambut baik saranan yang dikemukakan itu.
“Saya sendiri tidak teragak-agak untuk mencalonkan nama mereka untuk dihantar ke Universiti (Islam) Madinah, jika layak dan cukup syarat.”
Jika komited mempelajari Islam, menurut beliau, tentunya golongan mualaf juga terbukti boleh menjadi pendakwah berkaliber dan boleh memahami ajaran Islam dengan baik.