Generasi Qawwam: Misi Selamatkan Lelaki Hilang Arah

“Kita sedang berdepan dengan satu krisis global, bukan hanya di Malaysia, tetapi di seluruh dunia iaitu krisis lelaki yang kehilangan arah sebagai qawwam,” ujar  CEO ARBA Foundation, Ustaz Azlan Shah dalam program “Generasi Qawwam: Anak Muda Hero Keluarga”. 

Ia bukan retorik kosong, tetapi suatu kenyataan yang menusuk ke dalam realiti sosial hari ini. Lelaki yang sepatutnya menjadi tonggak kepada keselamatan, perlindungan dan kepimpinan keluarga kini semakin lemah dan terpinggir daripada peranan asalnya.

Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisa’ ayat 34 bermaksud: 

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pelindung bagi kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka…”

Merujuk ayat ini, Allah telah menegaskan bahawa lelaki adalah qawwam, yakni pemimpin, penjaga dan pelindung wanita. Tegas Azlan Shah, kurniaan ini bukan kerana lelaki lebih hebat semata-mata, tetapi kerana dua sebab utama.

Pertama adalah kerana Allah memberi kelebihan tertentu kepada lelaki dan keduanya, lelaki dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah dan perlindungan secara berterusan. 

“Perkataan ‘qawwam’ itu sendiri membawa makna sesuatu yang berulang-ulang, berterusan dan tidak bermusim,” jelas Ustaz Azlan Shah. Beliau menjelaskan bahawa seorang lelaki qawwam ialah lelaki yang melaksanakan tiga perkara secara berterusan sepanjang hayat hidupnya. 

Pertama, lelaki menjaga kekuatan fizikal dan mentalnya agar sentiasa bersedia memimpin dan melindungi. Kedua, dia memikul tanggungjawab kewangan dengan penuh amanah, memastikan keperluan keluarganya terjamin.

Ketiga, dia memberikan perlindungan berterusan, bukan sekadar dari sudut fizikal, tetapi juga emosi, spiritual dan sosial demi kesejahteraan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya.

Namun, cabaran terbesar kini ialah bagaimana menguruskan generasi lelaki muda yang semakin jauh daripada nilai qawwam ini. Sebahagian golongan ini tidak lagi mempunyai kapasiti fizikal dan mental untuk memimpin dan tidak bersedia menanggung tanggungjawab kewangan. Malah dalam banyak kes masa kini, mereka yang lebih memerlukan perlindungan berbanding memberi perlindungan.

Ustaz Azlan Shah mendedahkan, terdapat statistik yang mendedahkan semakin ramai anak lelaki yang tinggal bersama ibu bapa melebihi usia 25 tahun. Golongan lelaki semakin tidak berminat ke sekolah, tidak aktif dalam dunia pekerjaan, malah mengasingkan diri dalam dunia digital yang mengkhayalkan hingga ketagih gaming dan pornografi.

“Apabila kita lemahkan lelaki, hilangkan mereka, rosakkan peranan mereka, maka seluruh masyarakat akan rosak,” ujar beliau.

Menurut Azlan Shah, terdapat kajian yang menunjukkan salah satu punca utamanya ialah perubahan cara hidup manusia yang semakin menjauhkan lelaki daripada sifat semula jadi dan keperluan perkembangan mereka. 

“Di sekolah, apabila seorang murid lelaki merasakan bahawa dia tidak mencapai apa-apa dan tidak difahami oleh sesiapa, dia akan mula berasa bosan, kecewa dan akhirnya mengasingkan diri. Ketika berada sendirian di dalam bilik sambil bermain permainan video, dia merasakan seolah-olah dunianya sedang bergerak dan dia sedang meraih kemenangan, sedangkan pada hakikatnya, dia sedang tewas dalam dunia yang sebenar,” jelas Ustaz Azlan.

Lebih membimbangkan lagi ialah ketiadaan figura lelaki dalam institusi keluarga dan sekolah. Anak lelaki memerlukan contoh teladan daripada sosok lelaki dewasa untuk membentuk perwatakan dan nilai diri mereka. 

Sirah membuktikan meskipun Nabi Muhammad SAW merupakan seorang anak yatim, Baginda tidak pernah sunyi daripada kehadiran tokoh lelaki yang memainkan peranan sebagai bapa dalam hidupnya. Ia bermula dengan suami kepada Halimatus Saadiah, diikuti oleh datuknya Abdul Muttalib dan seterusnya bapa saudaranya Abu Talib.

“Nabi tidak pernah terputus daripada watak ayah dalam kehidupannya. Inilah rahsia kekuatan jati diri Baginda,” terang Ustaz Azlan Shah.

Ketiadaan sosok ayah sebagai teladan di rumah serta kekurangan guru lelaki di sekolah menyebabkan anak lelaki terpaksa mencari contoh ikutan di luar. Jika bernasib baik, mereka akan menemui individu yang baik untuk diteladani. Namun, jika sebaliknya, mereka mudah terdedah kepada pengaruh negatif yang membinasakan. 

Ustaz Azlan Shah menjelaskan bahawa salah satu perasaan yang seharusnya wujud apabila seorang lelaki qawwam berada dalam sesebuah keluarga ialah keyakinan isteri dan anak-anak bahawa, jika berlaku sebarang ancaman, ayah itu sanggup mempertaruhkan nyawanya demi melindungi mereka.

Namun realitinya, bukan itu yang berlaku. Sebaliknya, lelaki hari ini bergelut dengan krisis dalaman yang serius. Ketagihan pornografi, permainan video dan gangguan kesihatan mental semakin menjadi-jadi.

“Tidak pernah dalam sejarah dunia, pornografi semudah hari ini untuk diakses,” katanya.

Ia bukan sekadar isu moral, tetapi krisis kemanusiaan. Pornografi merosakkan persepsi lelaki terhadap wanita, menghilangkan nilai kasih sayang dan menjadikan lelaki sebagai makhluk yang mendominasi secara ganas.

Lebih memburukkan keadaan, ketagihan ini turut melumpuhkan fungsi lelaki sebagai pelindung. Menurut Ustaz Azlan Shah, apabila salah satu pasak qawwam iaitu kekuatan fizikal dan mental telah runtuh, maka dua lagi komponen utama iaitu tanggungjawab kewangan dan perlindungan juga pasti akan turut menyusul.

“Apabila tubuh tidak sihat, akal bercelaru dan emosi tidak stabil, bagaimana mungkin seorang lelaki mampu menyara serta melindungi keluarganya?” soalnya. 

Ustaz Azlan Shah turut mengupas isu berkaitan jodoh dalam masyarakat hari ini. Beliau menyatakan bahawa wanita kini semakin cemerlang dalam bidang akademik dan kerjaya, manakala lelaki pula semakin ketinggalan dan tercicir. Keadaan ini menyebabkan wujudnya ketidakseimbangan dalam perkahwinan. 

“Apabila lelaki tidak mempunyai keupayaan untuk menyara, kestabilan keluarga menjadi rapuh. Bukan kerana wanita terlalu tinggi pencapaiannya, tetapi kerana lelaki terlalu jauh tertinggal,” jelas beliau.

Masyarakat pula mempamerkan gaya hidup mewah sebagai penanda kejayaan. Hal ini mencipta tekanan kepada lelaki muda untuk meniru gaya hidup yang sebenarnya mereka tidak mampu. 

“Kita mulakan hidup dengan jerat hutang. Itu resipi untuk binasa,” kata Ustaz Azlan. 

Ini boleh bermula daripada pembelian rumah yang tidak mampu, kereta mewah secara hutang, hingga kepada budaya ‘Buy Now Pay Later’ yang melonjak sehingga RM7 bilion dalam suku tahun. Semuanya menjadi bukti bahawa generasi muda sedang menuju kehancuran ekonomi secara peribadi.

Tambah Azlan Shah, kemuliaan seorang lelaki akan terangkat apabila dia mula menyedari bahawa hidupnya bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi untuk memberi, menyumbang dan memimpin orang lain.

Pada saat dia mula memikirkan kesejahteraan orang lain, terutama keluarga dan masyarakat, pada ketika itu nilai qawwam pada dirinya menyubur.

Malangnya, semakin ramai lelaki telah kehilangan hasrat untuk memelihara dan memimpin keluarga, apatah lagi untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Sedangkan hakikatnya, itulah inti kepada peranan seorang qawwam, iaitu keluar daripada zon selesa untuk memimpin bukan hanya isteri dan anak-anak, tetapi juga membimbing serta menjaga kebajikan masyarakat di sekelilingnya.

Inilah kenyataan tentang krisis yang sedang melanda golongan lelaki masa kini. Ia merupakan cabaran besar terhadap peranan qawwam yang amat kompleks dan tidak mungkin diselesaikan dalam waktu yang singkat. 

Masalah ini bukan semata-mata berkaitan kelemahan individu, bahkan mencerminkan keruntuhan sistem yang merentasi pelbagai bidang kehidupan. Sekiranya lelaki tidak dibentuk dan dibimbing dengan betul sejak awal, maka masyarakat akan kehilangan tonggak utamanya. 

Dalam keadaan sedemikian, keruntuhan sosial tidak lagi dapat dielakkan. Oleh itu, usaha membangunkan semula peranan lelaki sebagai qawwam perlu menjadi keutamaan semua pihak, bermula dari rumah, sekolah, institusi agama, sehinggalah ke peringkat dasar dan pembangunan negara.

Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia