Generasi hari ini membesar dengan jari yang pantas meleret skrin sebelum sempat mahir mengikat tali kasut. Mereka cekap mencari video di YouTube, namun masih bergelut mengenali emosi sendiri.
Tanpa disedari, dunia luar mengambil peranan membesarkan anak-anak, membentuk cara fikir dan mengisi ruang jiwa mereka melalui algoritma yang tidak pernah ibu bapa tetapkan.
Inilah realiti generasi digital. Jika sebelum ini perbincangan banyak tertumpu kepada Generasi Z (Gen Z), kini cabaran semakin beralih kepada Generasi Alfa (Gen Alfa) iaitu anak-anak yang secara fizikal berada di ruang tamu rumah, tetapi secara psikologi hidup dalam dunia maya yang senyap dan terasing.
Gen Alfa merujuk kepada anak-anak yang lahir bermula tahun 2013 ke atas. Ini adalah, generasi pertama yang tidak pernah mengenal dunia tanpa skrin. Pada tahun ini, usia mereka sekitar dua hingga 13 tahun. Tablet, algoritma dan kecerdasan buatan bukan lagi sesuatu yang asing, sebaliknya menjadi sebahagian daripada rutin harian dan persekitaran hidup mereka.
Cabaran utama generasi digital
Psikologis Klinikal dan Penolong Profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Nadzirah Ahmad Basri menegaskan bahawa cabaran utama generasi ini bukan terletak pada kecanggihan teknologi, tetapi pada pendedahan digital yang berlaku terlalu awal iaitu ketika kawalan emosi, empati dan kefahaman moral masih dalam proses pembentukan dan keupayaan membuat penilaian masih belum matang.
Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa kanak-kanak hari ini berinteraksi dengan dunia digital pada usia yang sangat muda, sedangkan kawalan emosi, empati dan kefahaman moral masih dalam proses pembentukan. Teknologi hadir ketika jiwa mereka belum benar-benar bersedia untuk menapis, menilai dan mengawal kesan pendedahan tersebut.
Atas sebab itu, Gen Alfa menjadi kelompok paling terdedah kepada risiko teknologi. Bukan kerana teknologi itu sendiri bersifat merosakkan, tetapi kerana jiwa mereka masih rapuh semasa sedang dibentuk.
Dr Nadzirah memetik sebuah kajian yang dijalankan pada 2024 mendapati seramai 55.7 peratus kanak-kanak menghabiskan antara sejam hingga empat jam sehari menggunakan Internet. Sehubungan dengan itu, 60.7 peratus menggunakan peranti sendiri tanpa perkongsian bersama ibu bapa.
Beliau menjelaskan bahawa corak penggunaan yang bersifat peribadi ini membimbangkan kerana menyukarkan pemantauan, menghadkan ruang interaksi bersemuka dan mengurangkan peluang bimbingan emosi secara langsung. Hubungan yang sepatutnya dibina melalui interaksi secara berdialog dan kebersamaan digantikan dengan interaksi sehala bersama skrin.
Implikasi kesihatan mental
Implikasinya turut dapat dilihat dari sudut kesihatan mental. Mengulas lanjut, Dr Nadzirah menyatakan satu kajian melibatkan 5,290 remaja di tujuh buah negeri di Malaysia menunjukkan 3.5 peratus telah didiagnosis dengan Internet Gaming Disorder.
Ini merupakan satu gangguan yang menjejaskan fungsi emosi, sosial dan akademik. Data ini membuktikan bahawa isu digital dalam kalangan kanak-kanak dan remaja tidak lagi boleh dilihat sebagai isu disiplin semata-mata, sebaliknya sebagai cabaran kesihatan mental yang menuntut intervensi awal dan menyeluruh.
Kajian menunjukkan ada hubungan yang signifikan antara ketagihan digital dengan gaya keibubapaan. Menurut Dr Nazirah, kaedah didikan yang terlalu menghukum, mengawal secara berlebihan, memalukan anak atau gagal memberi respons emosi didapati meningkatkan kecenderungan penggunaan digital secara kompulsif, khususnya di peringkat awal remaja.
Apabila anak tidak merasakan hubungan yang selamat dan empati di rumah, dunia digital sering menjadi ruang “melarikan” diri. Di situlah mereka menemui rasa kawalan, penerimaan dan ganjaran segera yang tidak diperoleh melalui hubungan sebenar.
Dari sudut perkembangan psikologi, keadaan ini turut menyumbang kepada pembentukan callous-unemotional traits (CU) iaitu bersifat tenang walaupun menyakiti orang lain, tidak takut akan akibat perbuatan mereka serta sukar dikawal melalui nasihat atau hukuman semata-mata.
Dr Nadzirah menjelaskan bahawa ciri-ciri ini bukan berpunca daripada sifat negatif semula jadi, tetapi kerana anak tidak berpeluang mempelajari bahasa emosi dan empati melalui hubungan yang konsisten dan responsif.
Apabila emosi anak tidak dapat ditenangkan melalui hubungan kekeluargaan, ia belajar menjauhkan diri daripada perasaan sendiri dan orang lain sebagai mekanisme perlindungan. Dalam situasi ini, skrin berfungsi sebagai alat menenangkan emosi, menggantikan dialog dan bimbingan yang sepatutnya berlaku dalam keluarga.
Keadaan ini diburukkan apabila ibu bapa sendiri berdepan tekanan emosi atau kemurungan, menyebabkan kehadiran emosi yang tidak konsisten dalam kehidupan anak.
Lama-kelamaan, penggunaan digital berlebihan dan ciri CU saling menguatkan, menjadikan isu ini satu cabaran perkembangan emosi yang tidak boleh diselesaikan melalui hukuman atau kawalan semata-mata. Justeru, beliau menegaskan bahawa kualiti hubungan ibu bapa dan anak menjadi faktor perlindungan utama.
Penyelesaian mengikut tahap perkembangan
Bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, kehadiran dan bimbingan orang dewasa merupakan asas pembentukan kawalan diri dan empati. Pada usia ini, mereka tidak wajar dibiarkan bersendirian dengan skrin.
Dr Nadzirah menekankan kepentingan mewujudkan budaya shared screen, iaitu penggunaan peranti secara bersama agar kandungan dapat dipantau dan pengalaman digital menjadi ruang pembelajaran, bukan pengasingan.
Anak juga perlu dibimbing dengan respons segera apabila terdedah kepada kandungan tidak sesuai seperti aurat atau aksi tidak senonoh. Tindakan konsisten seperti menutup skrin, mengucapkan “A‘uzubillah” dan memaklumkan kepada ibu atau bapa, membantu membina refleks moral serta kawalan dalaman sejak awal.
Dalam masa yang sama, aktiviti berkualiti bersama keluarga seperti bermain, membaca, memasak dan beriadah perlu dipelbagaikan bagi mengimbangi masa skrin dan mengukuhkan hubungan emosi.
Perbincangan tentang kandungan yang ditonton juga penting untuk membantu anak membezakan yang baik dan tidak sesuai. Ibu bapa digalakkan meneroka minat anak, menyokong bakat mereka serta membuka ruang interaksi sosial sihat dengan rakan sebaya.
Persekitaran yang kaya dengan hubungan dan sokongan emosi ini menjadi asas kepada perkembangan sosial yang seimbang.
Bagi remaja pula, pendekatan yang berkesan memerlukan keseimbangan antara pemantauan dan penghormatan. Peringatan dan pemeriksaan berkala perlu dilakukan dengan hikmah, disertai kepercayaan dan komunikasi terbuka. Remaja wajar dilibatkan dalam aktiviti bermakna seperti sukan, kegiatan luar dan minat khusus yang memberi rasa pencapaian dan kebersamaan.
Masa berkualiti bersama keluarga dan rakan sebaya memainkan peranan penting dalam pembentukan identiti dan kestabilan emosi. Hubungan dengan individu yang baik melalui halaqah, usrah atau aktiviti masjid turut membantu membina nilai dan hala tuju hidup.
Selain itu, kehadiran safe adults atau mentor memberi ruang sokongan apabila remaja berdepan tekanan dan kekeliruan, di samping membantu mereka mengenal dan membina kekuatan diri.
Mencari keseimbangan
Jelas Dr Nadzirah, para ilmuwan silam telah lama mengingatkan bahaya pendekatan melampau dalam pendidikan. Ibnu Khaldun menegaskan bahawa disiplin yang terlalu keras merosakkan jiwa kanak-kanak dan melemahkan pembentukan akhlak.
Imam al-Ghazali pula mengingatkan tentang bahaya ifrath dalam pendidikan, iaitu tekanan berlebihan yang melemahkan akal dan jiwa, selain menafikan keperluan bermain dan berehat sebagai sebahagian daripada perkembangan yang sihat.
Dalam konteks semasa, prinsip ini boleh diperluaskan kepada pendedahan skrin yang berlebihan sebagai satu bentuk tekanan kognitif baharu. Anak berhak dibesarkan melalui qudwah ibu bapa, persekitaran yang membina adab dan akhlak, serta ruang yang seimbang untuk berehat dan berinteraksi.
Pesanan Imam al-Ghazali mengenai pendidikan anak bermula dengan pembinaan diri ibu bapa, mengingatkan bahawa keibubapaan ialah proses membina manusia, bukan sekadar mengawal tingkah laku.
Tegas Dr Nadzirah, anak yang mampu bertahan dalam dunia kecerdasan buatan (AI) bukan sekadar celik teknologi, tetapi memiliki kawalan diri, empati, akhlak serta identiti yang jelas sebagai hamba Allah. Mereka tidak bergantung secara emosi kepada skrin atau dunia maya kerana memiliki hubungan kekeluargaan yang kukuh dan nilai yang mantap.
Generasi digital berdaya tahan tidak lahir melalui kawalan semata-mata, tetapi melalui hubungan yang utuh, dididik dengan hikmah dan disuburkan jiwanya dengan iman.
Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia




