SERI KEMBANGAN – Angka kematian terbaru akibat gempa bumi di selatan Turkiye dan utara Syria dilaporkan telah melepasi 15,000 orang sehingga kini.
Seramai 12,391 orang disahkan terbunuh di Turkiye, manakala 2,992 orang maut di Syria dengan jumlah keseluruhan sebanyak 15,383 kematian.
Dijangka angka kematian akan terus meningkat dan harapan semakin tipis untuk menyelamatkan lebih ramai mangsa di bawah runtuhan sejak gempa bumi kuat Isnin lalu berskala 7.8.
Susulan tragedi ini, Humanitarian Care Malaysia (MyCCARE) dengan kerjasama Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menghantar bantuan awal bernilai RM200,000 bagi membantu mangsa bencana.
“Sumbangan ini bagi menampung kos perbelanjaan keperluan mendesak ketika ini seperti makanan yang siap dimasak, pek makanan, khemah perlindungan dan alat pemanas.” ujar Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar.
Bantuan awal ini dapat menampung sekurang-kurangnya 1,000 mangsa di wilayah yang terjejas di Sanliurfa (Turkiye) dan barat laut Syria (Afrin dan Aleppo).
Menurutnya, MyCARE mensasarkan keseluruhan bantuan kecemasan gempa bumi sehingga RM1 juta bagi menampung keperluan asas bagi 3,000 mangsa yang terlibat.
“Musim sejuk yang sedang melanda negara itu menyukarkan lagi kerja mencari dan menyelamat selain suhu di beberapa kawasan dijangka turun hampir para beku semalaman,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, MyCARE telah menghantar bantuan musim sejuk seperti alat pemanas dan pakaian musim sejuk baru-baru ini yang dipercayai amat diperlukan ketika ini.
“WHO menjangkakan peningkatan keperluan bagi penjagaan trauma untuk merawat yang cedera dan untuk menyokong keseluruhan sistem kesihatan di kawasan yang terjejas.”
MyCARE telah melancarkan kutipan tabung kecemasan gempa bumi dan orang ramai boleh menghulurkan sumbangan untuk membantu mangsa di Turkiye dan Syria menerusi pautan https://mycare.qrd.by/turkiyeemergency.