KUALA LUMPUR – Yayasan IKRAM Malaysia telah menjalinkan kerjasama dengan Muazzin AV Retail & Services sebagai rakan strategik untuk melaksanakan program pertama kali seumpamanya di negara ini iaitu Gema 100 Masjid.
Program ini merupakan satu inisiatif bagi mengumpul sumbangan orang ramai bagi membantu 100 buah masjid terutamanya di luar bandar yang kekurangan dana untuk mendapatkan sistem siar raya (sistem PA) yang berkualiti.
Satu memorandum persefahaman (MoU) kerjasama telah ditandatangani Ketua Eksekutif Yayasan IKRAM Malaysia, Hj Kamsani Nasir dan Pengarah Muazzin AV Retail & Services, Encik Mohd Farid Ismail dalam satu majlis hari ini di Adamson Hotel Kuala Lumpur.
“Saya yakin dengan kerjasama antara dua organisasi yang berbeza ini akan memberikan impak yang positif kepada orang ramai terutamanya kepada pengguna masjid terhadap tanggungjawab sosial iaitu masjid sebagai institusi, pusat ibadah dan aktiviti penyebaran ilmu Islam,” kata Kamsani.
Beliau berharap agar kerjasama dalam program Gema 100 Masjid ini dapat mengharmonikan masyarakat setempat dengan menjadikan suara-suara yang kedengaran di speaker azan itu lunak di telinga.
“Masjid akan menjadi bukan sahaja sebagai pusat ibadah umat Islam, tetapi dengan keberadaan speaker menara yang efektif, ia juga sebagai corong-corong pemberi maklumat setempat (seperti pengumuman banjir, perpindahan dan sebagainya),” jelasnya.
Melalui program ini, tambahnya, pihaknya mensasarkan untuk mengumpul sumbangan orang ramai sebanyak RM5 juta dengan anggaran kos sistem PA yang berjumlah RM50,000 bagi setiap masjid.
Mohd Farid pula berkata, projek ini sangat penting untuk umat Islam dan masyarakat setempat umumnya.
“Program ini bertujuan mengoptimumkan pembantu utama masjid iaitu sistem PA dengan tiga ciri yang baik iaitu suara yang jelas, mudah dikendalikan dan tahan lama, supaya masjid dapat menjalankan fungsi-fungsi hariannya dengan lancar,” katanya.
Jelasnya, program Gema 100 Masjid mendapat inspirasi apabila pihak menjalankan semi-CSR di sebuah masjid luar bandar di Baling, Kedah yang mana AJK masjid bertanyakan tentang bunyi sistem PA yang baik.
“Pihak syarikat telah membuat demonstrasi sistem PA dan barulah AJK masjid memahami bunyi yang berkualiti dan menyedari mengapa sistem bunyi yang terhasil di masjid-masjid di bandar besar sangat berbeza dan jauh lebih sedap.”
Tambah Mohd Farid, pihaknya mula sedar akan masalah yang sering dihadapi dan inisiatif Gema 100 Masjid dilakukan untuk mengumpulkan dana secara kolektif dan terus membantu 100 buah masjid yang kekurangan dana untuk mendapatkan sistem PA yang lebih baik.
Sumbangan boleh dibuat melalui pautan www.billplz.com/gema atau akaun Yayasan Ikram Malaysia (Maybank 562142404402) dengan rujukan ‘Gema’. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web gema100masjid.com.