Gejala Sosial Pelajar: Tanggungjawab Siapa Mendidik?

Gejala Sosial Pelajar: Tanggungjawab Siapa Mendidik? | IKRAM

Negara ini kini diselubungi awan gelap. Saban minggu, kita dikejutkan dengan berita tragis yang melibatkan pelajar sekolah. Anak-anak yang sepatutnya menjadi harapan bangsa, kini menjadi tajuk utama berita jenayah, buli, dadah, rogol dan pelbagai gejala sosial yang meruntun hati.

Anak-anak ini bukan sekadar pelajar. Mereka adalah pewaris masa depan, bakal memimpin dan membentuk arah negara beberapa tahun dari sekarang. Namun, apa yang sedang berlaku seolah-olah memberi amaran bahawa masa depan itu semakin menggelisahkan.

Kebimbangan terhadap mereka bukan lagi sekadar kegusaran ibu bapa atau guru. Ia telah menjadi amaran sosial kepada seluruh rakyat, bahawa kita sedang menyaksikan kemerosotan nilai yang bukan berlaku secara tiba-tiba, tetapi hasil daripada sesuatu yang telah lama kita abaikan iaitu benih kerosakan yang kita biarkan tumbuh tanpa kawalan.

Kita sering bertanya, mengapa pelajar hari ini mudah terjebak dengan salah laku, mengapa mereka hilang arah dan tidak mengenal batas. Namun jarang kita bertanya, siapakah yang membentuk mereka? Dari manakah mereka belajar makna benar dan salah?

Generasi muda tidak lahir dalam vakum; mereka lahir daripada budaya dan sistem nilai masyarakat yang mencorakkan mereka. Jika hari ini kita melihat generasi yang goyah, ia adalah pantulan daripada kecuaian orang dewasa yang membiarkan nilai hidupnya sendiri merosot.

Cermin masyarakat yang retak 

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 58,255 kes jenayah indeks direkodkan pada tahun 2024, meningkat 11.1 peratus berbanding 52,444 kes pada tahun sebelumnya.

Angka ini melibatkan jenayah orang dewasa, bukan remaja dan menggambarkan realiti yang lebih membimbangkan iaitu bahawa sebahagian besar anggota masyarakat telah hanyut dalam nilai hidup tanpa sempadan.

Lebih menggerunkan, angka ini tidak pun mencakupi apa yang boleh dianggap sebagai dosa senyap seperti ketagihan pornografi, permainan video ganas, tabiat merokok dan penggunaan vape yang memudaratkan, rasuah kecil yang dipandang ringan serta budaya hedonisme yang melalaikan. Semua ini menular dalam diam, perlahan-lahan menghakis nilai moral dan rasa tanggungjawab sosial.

Fenomena ini bukan sekadar statistik. Ia adalah cerminan kegagalan generasi dewasa membentuk acuan moral yang sihat. Apabila orang dewasa sendiri longgar dalam prinsip, generasi muda akan membesar tanpa teladan. Apabila yang tua membenarkan kebatilan, yang muda akan membesar dan menganggapnya sebagai norma.

Justeru, kita kini sedang menuai hasil daripada benih yang telah lama disemai. Benih itu tumbuh tanpa jagaan iman dan tanggungjawab dan kini berbuah pahit. Generasi mudalah yang menanggung akibatnya sehingga menjadi pelaku dan mangsa kepada kerosakan yang diwariskan.

Normalisasi dosa dan hilangnya sensitiviti moral 

Apa yang berlaku di sekolah hari ini hanyalah pantulan daripada penyakit moral masyarakat. Normalisasi terhadap dosa menjadikan yang salah terasa biasa.

Elemen seksual dan ganas ditonton di mana-mana tanpa segan silu, dijelmakan dan dipertontonkan. Dari isu gurauan rogol, ketagihan, kekerasan, hinggalah kepada budaya hiburan yang melampau, semua dianggap remeh.

Renung kembali peristiwa tiga tahun lalu iaitu ketika seorang pelajar, Ain Husniza bersuara tentang gurauan rogol di dalam kelas. Ramai memperlekeh keberaniannya dan menganggap ia perkara kecil. Namun hari ini, kita menyaksikan realitinya menjelma. Pelajar yang sepatutnya dibimbing kini menjadi pelaku atau mangsa kepada keruntuhan nilai yang kita pandang enteng.

Malah, program hiburan tidak bermoral seperti “E-Hati” mendapat sambutan dan pembelaan daripada segelintir masyarakat. Fenomena “Hot Daddy” pula pernah diraikan secara terbuka dan dibincangkan dalam banyak saluran media alternatif. Hilang satu, muncul pula yang lain kerana masyarakat yang menormalisasi kesalahan akan melahirkan generasi yang tidak lagi tahu malu.

Sudah tiba masanya kita kembali kepada asas agama dan nilai. Pendidikan mesti berpaksikan nilai untuk membina insan atau tarbiah, bukan sekadar pencapaian materialistik. Budaya mesti ditapis dengan iman, bukan dengan selera manusia. Masyarakat perlu kembali memuliakan adab sebelum ilmu, kerana tanpa akhlak, kemajuan hanyalah topeng yang menutup kehancuran.

Sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Di sinilah letaknya kunci penyelesaian iaitu kembali kepada agama sebagai teras pembinaan manusia, agar generasi akan datang tidak lagi menjadi mangsa kepada kerosakan yang kita wariskan hari ini.

Memulihkan generasi secara kolektif 

Akhlak bukan elemen tambahan dalam pembentukan manusia. Ia adalah penanda aras sebenar kemajuan sesebuah tamadun. Hari ini, kita sedang menyaksikan keruntuhan nilai itu dalam masyarakat dan dalam kalangan generasi muda.

Untuk memulihkan keadaan ini, kita memerlukan ekosistem yang saling menyokong dan saling membimbing sebagai satu komuniti yang bertanggungjawab membentuk generasi akan datang. Ada pepatah Afrika mengatakan, “untuk membesarkan seorang anak, diperlukan satu kampung.”

Pepatah ini mengingatkan kita bahawa tanggungjawab mendidik anak bukan hanya di bahu ibu bapa, tetapi juga merupakan amanah seluruh masyarakat, daripada jiran, guru dan rakan sebaya, sehinggalah kepada para pemimpin yang menjadi contoh teladan dan pembentuk dasar.

Sudah tentu, segalanya bermula di rumah. Ibu bapa ialah guru pertama yang membentuk jiwa dan akhlak anak-anak. Rumah bukan sekadar tempat berlindung, tetapi madrasah pertama yang menanam benih kasih sayang, disiplin dan tanggungjawab.

Apabila anak berasa selamat dan dihargai di rumah, mereka membesar dengan emosi yang stabil dan jiwa yang seimbang. Sebaliknya, apabila kasih sayang itu tiada, mereka mencari pedoman di tempat lain — dan selalunya di tempat yang salah.

Namun, misi pendidikan tidak akan berjaya jika ibu bapa dan sekolah berjalan sendiri-sendiri. Guru dan ibu bapa mesti menjadi rakan kongsi pendidikan, bukan sekadar pengadu dan pendengar.

Melalui peranan aktif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pendekatan kolaboratif ini boleh mengukuhkan disiplin pelajar, memperkukuh nilai dan membantu ibu bapa yang bergelut mendidik anak dalam dunia yang semakin mencabar.

Disiplin pula tidak boleh berasaskan hukuman punitif semata-mata. Ia mesti berakar pada kasih sayang dan tanggungjawab moral. Guru perlu diberi autoriti dan sokongan yang jelas, sementara ibu bapa pula perlu menjadi pihak yang proaktif menyokong sama misi pendidikan, bukan hanya pengkritik dari luar pagar sekolah.

Memperkasakan komuniti, masjid dan polisi awam 

Peranan komuniti tidak boleh dipandang ringan. Dalam dunia moden yang serba sibuk, institusi kekeluargaan semakin rapuh. Kadar perceraian tinggi dan banyak ibu bapa kehilangan masa berkualiti bersama anak-anak atau gagal memberi perhatian secukupnya akibat tekanan hidup yang memerlukan waktu kerja yang lebih panjang.

Anak-anak menjadi terabai dan sering kali dizalimi. Kerapuhan itu perlu dibaik pulih dan diperkuat oleh komuniti yang prihatin dan peduli.

Masjid dan surau boleh berfungsi lebih luas sebagai pusat pembangunan masyarakat setempat iaitu tempat anak muda mencari bimbingan orang-orang baik, bukan sekadar ruang ibadah atau tempat ceramah.

Melalui kolaborasi antara surau, NGO dan penduduk setempat, pelbagai inisiatif boleh diwujudkan seperti mengadakan perpustakaan komuniti, pusat kaunseling keluarga atau mempelbagaikan aktiviti belia. Inisiatif seperti ini memberi anak-anak ruang selamat untuk berasa diterima dan dibimbing oleh orang dewasa yang mereka hormati.

Anak-anak mesti tahu bahawa masih wujud tempat yang peduli dan menyambut mereka dengan kasih sayang, bukan dunia gelap yang dipenuhi dadah, gengsterisme dan budaya yang hedonistik. Surau dan komuniti harus menjadi benteng sosial yang membina sahsiah dan harapan, bukan hanya tempat ritual semata-mata.

Dalam masa yang sama, kita tidak boleh menafikan pengaruh besar media terhadap anak muda. Mereka merupakan pengguna utama Internet dan media sosial, terperangkap dalam dunia tanpa sempadan yang dipenuhi kandungan lucah, ganas, trend yang tidak membina diri serta bahan yang menyelewengkan nilai agama dan budaya.

Justeru, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu memperhebat penguatkuasaan menapis serta menyekat kandungan yang berbahaya untuk semua peringkat umur. Kandungan seperti ini bukan sahaja merosakkan moral, tetapi juga melanggar batas agama, mencabar maruah dan identiti bangsa yang berpaksikan nilai ketimuran.

Harapan baharu untuk generasi mendatang 

Jelas bahawa tanggungjawab membimbing generasi muda bukan hanya terpikul di bahu sekolah atau ibu bapa. Ia adalah amanah kolektif seluruh masyarakat termasuk keluarga besar, sekolah, komuniti, masjid, NGO dan kerajaan.

Kita perlu membina “kampung” yang lengkap: rumah yang mendidik dengan rahmah, sekolah yang membina sahsiah, komuniti yang prihatin, masjid yang memulihkan jiwa dan ruang digital yang selamat.

Masa depan negara bergantung pada generasi yang akan mewarisinya. Jika kita membiarkan keruntuhan nilai ini berterusan, kita bukan sahaja merosakkan masa depan mereka, tetapi juga masa depan bangsa dan negara.

Namun, jika setiap daripada kita mengambil peranan dengan kesedaran dan kasih sayang, kita mampu menyalakan cahaya harapan di tengah awan gelap ini.

Mulakan dengan satu soalan kecil tetapi besar maknanya, “Apa yang boleh saya bantu?”

Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia