Gejala LGBT di Malaysia: Faktor dan Cara Tanganinya

Gejala LGBT di Malaysia: Faktor dan Cara Tanganinya | IKRAM

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita serbuan pihak berkuasa terhadap premis yang menjadi lokasi aktiviti songsang. Apa yang lebih mengejutkan, sebahagian daripada mereka yang ditahan terdiri daripada golongan berpendidikan tinggi dan profesional.

Persoalannya, bagaimana individu yang sepatutnya mempunyai akses kepada ilmu pengetahuan dan pendidikan agama boleh terjebak dalam gejala yang jelas bertentangan dengan fitrah dan syariat Islam?

Gejala LGBT di Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu. LGBT merujuk kepada akronim Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual, iaitu kelompok yang mempunyai orientasi seks songsang yang melangkaui fitrah kemanusiaan serta menyalahi tuntutan agama dan norma budaya timur.

Kewujudan golongan ini telah dikesan sekitar tahun 1980-an dan terus berkembang sehingga kini. Meskipun Majlis Raja-Raja pada tahun 1989 telah memfatwakan LGBT sebagai perlakuan haram, gerakan ini dilihat semakin berani menzahirkan diri melalui pelbagai platform, terutamanya media sosial.

Kajian menunjukkan terdapat puluhan laman sosial LGBT yang aktif  di Malaysia. Ini menjadikan pengaruh gaya hidup songsang ini semakin mudah meresap dalam masyarakat tanpa mengira latar belakang pendidikan mahupun status sosial.

Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa pendidikan agama tidak semestinya menjamin peningkatan integriti dan akhlak seseorang. Mohd Roslan et al. (2022) mendapati bahawa walaupun telah mempelajari subjek agama dan lulus subjek tersebut, ia tidak seiring dengan peningkatan etika dalam kalangan belia Muslim.

Aminuddin dan Rahimi (2020) turut menegaskan bahawa ibadah yang dilakukan tanpa kefahaman mendalam tidak memberi kesan signifikan terhadap perubahan sikap dan perilaku. Inilah yang dimaksudkan dengan “ilmu tanpa penghayatan” iaitu mengetahui namun tidak menghayati, memahami tetapi tidak mengamalkan.

Faktor terlibat gejala LGBT

Bagi memahami punca gejala LGBT, kita perlu meneliti faktor-faktor yang menyumbang kepada penglibatan seseorang dalam gaya hidup songsang ini. Kajian Fadzilah dan Noremy (2019) serta Ahmad et al. (2015) telah mengenal pasti beberapa faktor utama.

Pertama, pengaruh persekitaran sosial memainkan peranan penting membentuk identiti dan tingkah laku seseorang. Individu yang dari kecil selesa bergaul dengan jantina berlawanan dan terbiasa dengan kelakuan yang tidak selari dengan fitrah jantinanya cenderung untuk meneruskan pola tersebut sehingga dewasa.

Kedua, pengaruh rakan turut menjadi pemangkin apabila seseorang berkawan dengan kelompok yang mempunyai kecenderungan sama, lantas menguatkan lagi dorongan ke arah perlakuan songsang.

Ketiga, pengalaman peribadi dengan pasangan heteroseksual seperti penganiayaan atau pengkhianatan boleh menimbulkan trauma dan perasaan negatif terhadap jantina berlawanan.

Keempat, keluarga yang bermasalah dan kurang berkomunikasi menyebabkan individu mencari kasih sayang dan tempat berkongsi perasaan daripada sumber lain, termasuk pasangan sejenis yang dianggap lebih memahami.

Kelima, pengaruh media sosial yang semakin berleluasa menjadi faktor yang tidak boleh dipandang ringan. Pada tahun 2022 sahaja dilaporkan terdapat sekurang-kurangnya 11 aplikasi janji temu songsang yang mudah diakses oleh sesiapa sahaja tanpa sebarang sekatan.

Kecanggihan teknologi tanpa sempadan ini mendedahkan masyarakat, terutamanya golongan muda, kepada pengaruh negatif yang menormalisasikan gaya hidup LGBT.

Jurang antara ilmu dan penghayatan 

Kebanyakan faktor di atas tidak berkait secara langsung dengan kekurangan ilmu agama. Terdapat dalam kalangan mereka yang terjebak sebenarnya mempunyai pengetahuan asas tentang halal dan haram, malah mungkin menunaikan kewajipan agama seperti mendirikan solat dan berpuasa.

Namun, ilmu yang tidak disertai dengan penghayatan sebenar tidak mampu menjadi benteng akidah yang kukuh.

Nik Rosila et al. (2021) dalam kajiannya mendapati bahawa tahap pengamalan Islam dalam kalangan mahasiswa kekal rendah meskipun mereka menunjukkan penguasaan teori yang tinggi. Natijahnya, nilai-nilai Islam semakin terhakis dalam kalangan masyarakat bandar walaupun mereka terdedah kepada pendidikan agama secara formal (Hassan et al. 2023).

Perkara ini menunjukkan bahawa pendidikan agama yang bersifat ritual dan hafazan semata-mata, tanpa penekanan kepada penghayatan nilai dan pembentukan akhlak, tidak mencukupi untuk melahirkan Muslim yang benar-benar berpegang kepada ajaran Islam.

AISAR: Pendekatan penghayatan yang menyeluruh 

Dalam usaha menangani jurang antara ilmu dan penghayatan ini, pendekatan AISAR (Akidah, Ibadah, Syariah, Akhlak dan Rahmah) dilihat mampu menjadi kerangka yang komprehensif untuk membina Muslim yang benar-benar menghayati Islam.

Akidah yang kukuh menjadi asas kepada keimanan yang tidak mudah tergugat dengan pelbagai godaan dan pengaruh luar. Ibadah yang dilakukan dengan kefahaman mendalam membentuk jiwa yang sentiasa dekat dengan Allah dan menjauhi perkara mungkar.

Syariah yang difahami hikmahnya menjadikan seseorang itu patuh bukan kerana takut hukuman semata-mata, namun  kerana kesedaran di sebalik setiap perintah dan larangan. 

Akhlak yang mulia pula menjadi manifestasi luaran daripada iman yang tertanam dalam hati, sekali gus menjadi benteng daripada kelakuan yang bertentangan dengan fitrah.

Akhir sekali, Rahmah atau kasih sayang memastikan seseorang Muslim bukan sahaja menjaga dirinya, malah turut prihatin terhadap kesejahteraan orang lain dan masyarakat sekeliling.

Kelima-lima elemen ini perlu dihayati secara bersepadu, bukan secara berasingan. Tanpa akidah yang kukuh, ibadah menjadi ritual kosong. Tanpa kefahaman syariah, akhlak mudah terpesong. Seterusnya tanpa rahmah, Islam hanya dilihat sebagai agama yang keras tanpa kasih sayang.

Pendekatan AISAR ini menekankan bahawa penghayatan Islam mestilah menyeluruh yang merangkumi pemikiran, sikap dan amalan dalam setiap aspek kehidupan.

Gejala LGBT yang semakin berleluasa dalam masyarakat kita hari ini merupakan isyarat bahawa pendekatan pendidikan agama yang sedia ada perlu dinilai semula.

Ilmu semata-mata tidak mencukupi jika tidak disertai dengan penghayatan yang sebenar. Kita perlu kembali kepada pendekatan yang menyeluruh iaitu yang membina bukan sahaja minda, tetapi juga hati dan jiwa.

Sebagai umat Islam, tanggungjawab kita bukan sekadar mengetahui, tetapi menghayati dan mengamalkannya. Hanya dengan penghayatan Islam yang sebenar, kita mampu membina benteng yang kukuh dalam diri, keluarga dan masyarakat daripada gejala yang merosakkan fitrah kemanusiaan ini.

Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia