KUALA LUMPUR – Isu Palestin bukan hanya berkisar tentang politik atau soal umat Islam semata-mata, bahkan ia adalah isu kemanusiaan sejagat yang menguji nilai iman dan peri kemanusiaan masyarakat dunia.
Atas dorongan iman dan rasa tanggungjawab kemanusiaan, ratusan rakyat Malaysia turun ke jalanan dalam satu perarakan aman bertemakan “Friday of Anger” di ibu kota sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Gaza yang terus dizalimi oleh rejim Zionis Israel.
Perhimpunan bermula jam 2.00 petang dengan peserta berkumpul di pekarangan bangunan Tabung Haji sebelum berarak ke Suruhanjaya Tinggi United Kingdom dan seterusnya ke kawasan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat pada Jumaat, 11 April lalu.
Perhimpunan yang dianjurkan bersama BDS Malaysia, Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine (MWCQP) dan Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) ini turut disertai Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan pelbagai NGO lain.
Tuntutan utama yang dibawa dalam perhimpunan ialah agar kerajaan UK dan AS menghentikan pembiayaan dan penjualan senjata kepada Israel, serta menamatkan keterlibatan dalam jenayah genosid yang sedang berlaku di Palestin.
Perhimpunan tersebut dipacu dengan ucapan bersemangat daripada beberapa tokoh masyarakat. Antara yang mencuri perhatian ialah Ahli Jawatankuasa Pusat IKRAM, Sdr Mohd Hafiz Abd Hamid atau lebih dikenali sebagai Hafiz Bai.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan masyarakat untuk terus teguh komited dan serius dalam membela nasib Palestin. Beliau mengingatkan bahawa penderitaan rakyat Gaza bukan lagi angka semata-mata, tetapi hakikat yang menggoncang nurani umat.
“Faktanya, 50,000 orang telah syahid di Gaza. Lebih 100,000 cedera dan lebih satu juta kini terperangkap tanpa makanan dan air bersih. Mereka haus! Mereka lapar! ” serunya yang disambut gema laungan hadirin.
Beliau turut mengajak orang ramai memahami tiga teras utama sebagaimana digariskan oleh fatwa ulama dalam usaha membela Palestin.
“Pertama, boikot terhadap syarikat yang menyokong rejim Zionis. Kedua, berdoa khusus untuk mereka. Seterusnya yang ketiga, sebarkan kesedaran secara meluas iaitu bukan sahaja kepada umat Islam, malah kepada seluruh masyarakat, termasuk yang bukan Islam.”
Turut menyampaikan ucapan ialah Afif Aliyana Abu Fitri daripada IKRAM Muda Malaysia, yang mewakili suara generasi muda. Dalam nada yang tegas, beliau menyatakan bahawa dunia kini sedang menyaksikan satu bangsa dihapuskan secara sistematik, sementara sebahagian masyarakat antarabangsa memilih untuk mendiamkan diri.
“Saya berdiri di sini bukan untuk meraih simpati, tetapi untuk mengangkat suara mereka yang disembelih. Di tanah suci Palestin, wanita dan kanak-kanak dibunuh tanpa belas. Sekolah menjadi abu, hospital menjadi debu dan anak-anak menjadi syuhada sebelum sempat mengenal erti kehidupan,” ujarnya.
Afif menegaskan bahawa memilih untuk berdiam diri menjadikan kita sebahagian daripada penindasan. Namun begitu, beliau percaya akan kekuatan suara rakyat.
“Kita bukan sekadar pemerhati. Kita belajar, kita menyebar, kita bangkit, kita bersuara dan kita tidak akan berhenti. Kerana dari rahim wanita lahirlah pejuang dan dari suara wanita bermulanya revolusi. Wanita bukan lemah tetapi wanita adalah api dan api itu menyala di dalam jiwa perjuangan!”
Perhimpunan ‘Friday of Anger’ ini mendesak agar kerajaan UK dan AS menghentikan pembiayaan kepada Israel, menghentikan sokongan terhadap rejim aparteid Zionis serta menghentikan segala bentuk yang menyumbang kepada pembunuhan rakyat Palestin.