SERI KEMBANGAN – Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia pada 20 November setiap tahun merupakan kesempatan penting untuk mengiktiraf peranan kanak-kanak sebagai aset masa depan dunia.
Tema sambutan tahun ini, “Dengarlah Suara Kami”, menekankan keperluan mendengar pandangan serta hasrat anak-anak dalam memastikan hak dan kesejahteraan mereka terjamin.
Wanita IKRAM Selangor mengangkat dua agenda utama dalam memperjuangkan hak kanak-kanak: Advokasi 1000 Hari Pertama Kehidupan dan Advokasi Keselamatan Siber.
Baru-baru ini, di Selangor International Book Fair 2024 (SIBF 2024), Wanita IKRAM Selangor bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menganjurkan “Forum Si Cilik”.
Forum yang bertemakan “Persekitaran Kanak-Kanak Selamat, Bersih dan Sejahtera: Masa Depan Kami Siapa Tentukan?” menampilkan dua orang kanak-kanak sebagai ahli panel, mencerminkan komitmen untuk melatih generasi muda menjadi individu yang berkeyakinan dan bertanggungjawab.
Pada acara SIBF 2024 tersebut, ibu bapa berpeluang mendapatkan penilaian tahap pertumbuhan anak-anak dan mengikuti ceramah mengenai pemakanan sihat yang disampaikan oleh seorang pakar kesihatan merangkap Ketua Wanita IKRAM Selangor, Profesor Dr. Norhasmah Sulaiman.
Ia selaras dengan Advokasi 1000 Hari Pertama Kehidupan yang memberi fokus kepada penjagaan kesihatan dan pemakanan sejak awal kelahiran.
Advokasi Keselamatan Siber turut mendapat perhatian melalui penerbitan buku “Pengembaraan Arif, Daripada Gajet ke Padang”. Buku ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang risiko dalam dunia digital dan pentingnya kawalan serta bimbingan ibu bapa.
Kemajuan teknologi membuka peluang besar untuk kanak-kanak belajar dan berkembang, namun turut mendedahkan mereka kepada ancaman keselamatan jika tidak dipantau dengan baik.
Farrah Idayu Abdul Mutalib dari Jawatankuasa Advokasi Kanak-Kanak Wanita IKRAM Selangor menegaskan bahawa melindungi hak kanak-kanak memerlukan sokongan pelbagai pihak.
Beliau turut memuji usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam memperkukuh perlindungan generasi muda.
“Keprihatinan kita terhadap anak-anak hari ini akan membentuk masa depan negara. Setiap usaha kolektif, walau kecil, akan memberi impak besar kepada kehidupan dan kesejahteraan mereka,” ujarnya.
Wanita IKRAM Selangor berharap agar usaha ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat dan mendorong tindakan proaktif dalam memastikan persekitaran yang selamat, bersih dan harmoni untuk kanak-kanak di Malaysia.