Fenomena FOMO Racuni Jiwa, Keimanan Benteng Utama

Fenomena FOMO Racuni Jiwa, Keimanan Benteng Utama

Dalam dunia yang serba pantas dan sentiasa terhubung, ramai individu terperangkap dalam fenomena yang dikenali sebagai FOMO (Fear of Missing Out). Ia adalah rasa cemas dan takut apabila melihat orang lain menikmati sesuatu yang kita tidak miliki seperti kejayaan, pengalaman, perhatian atau pengaruh.

Media sosial memperhebat perasaan ini dengan menjadikan hidup seolah-olah satu perlumbaan yang tidak berpenghujung. Namun, jiwa yang beriman dengan Islam menyediakan penawar yang mujarab iaitu ketenangan melalui tauhid dan kebergantungan mutlak kepada Allah SWT.

FOMO dan jiwa yang terikat kepada dunia 

FOMO bukan sekadar isu psikologi moden. Ia adalah manifestasi jiwa yang terlalu bergantung kepada dunia dan penilaian manusia. Ia lahir daripada rasa tidak cukup, tidak puas dan tidak yakin dengan takdir yang telah ditentukan.

Dalam Islam, keadaan ini disebut sebagai hubbud dunya iaitu cinta dunia yang melampau sehingga melupakan akhirat. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hadid ayat 23 bermaksud: 

“…supaya kamu tidak berdukacita terhadap apa yang terlepas daripada kamu, dan tidak terlalu gembira terhadap apa yang diberikan kepada kamu…” 

Ayat ini mengajar kita untuk tidak terlalu terikat dengan apa yang kita miliki atau kehilangan kerana semuanya berada dalam genggaman Allah SWT.

Menariknya, falsafah Stoikisme yang lahir daripada tamadun Yunani purba juga menekankan prinsip yang hampir serupa. Tokoh seperti Marcus Aurelius dan Epictetus mengajar bahawa kebahagiaan sejati bukan terletak pada apa yang kita miliki, tetapi pada bagaimana kita menerima apa yang berlaku.

Stoikisme mengajak manusia untuk fokus kepada apa yang boleh dikawal iaitu sikap dan tindakan kita serta melepaskan apa yang di luar kawalan seperti pandangan orang lain, nasib atau masa depan.

Prinsip ini selari dengan ajaran Islam yang menekankan reda, tawakal dan syukur. Seorang mukmin yang tinggi keimanannya tidak akan berasa tertinggal kerana dia yakin bahawa setiap takdir adalah ketentuan Allah SWT yang penuh hikmah. Dia tidak berlumba-lumba untuk memenuhi kehendak dunia, tetapi berusaha untuk meraih reda Allah SWT.

Refleksi: Apabila FOMO menjadi racun jiwa 

Amran (bukan nama sebenar) telah mengalami tekanan kewangan yang serius akibat FOMO terhadap gaya hidup rakan-rakan di media sosial.  Setiap kali melihat orang lain melancong, membeli barangan mewah atau menghadiri acara eksklusif, dia berasa perlu untuk turut serta agar tidak “tertinggal”.

Tanpa merancang bajet, dia mula berbelanja secara impulsif dengan membeli pakaian berjenama, makan di kafe viral dan melancong ke luar negara menggunakan kad kredit.

Akhirnya, dia terperangkap dalam hutang yang mencecah lima angka. Lebih membimbangkan, tekanan untuk mengekalkan imej “berjaya” menyebabkan dia mengalami tekanan emosi dan kemurungan kerana hidupnya tidak seindah yang dipamerkan. Dia mengakui bahawa semua itu berpunca daripada rasa takut tertinggal dan keinginan untuk “dilihat” seperti orang lain.

Kisah ini menunjukkan bahawa FOMO bukan sekadar rasa cemas biasa, tetapi boleh menjadi racun yang merosakkan kestabilan hidup. Ia mendorong seseorang membuat keputusan yang tidak rasional, menjejaskan kewangan dan akhirnya merosakkan kesejahteraan mental.

Dalam Islam, kita diajar untuk berpada-pada, bersyukur dan tidak membandingkan diri dengan orang lain secara berlebihan. Firman Allah SWT (maksudnya)

“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih daripada sebahagian yang lain…” (Surah An-Nisa’: 32) 

FOMO akhirat: Berlumba dalam kebaikan 

Islam tidak menolak rasa “takut terlepas”, tetapi mengarahkannya kepada bentuk yang lebih mulia iaitu FOMO akhirat.

Ia adalah rasa takut terlepas peluang berbuat baik, takut tidak sempat bertaubat atau takut kehilangan pahala dan rahmat Allah SWT. Inilah bentuk FOMO yang sihat dan diberkati. Firman Allah SWT dalam Surah al-Mu’minun ayat 61 bermaksud

Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan dan merekalah orang yang segera memperolehnya.” 

Berbeza dengan FOMO dunia yang mencetuskan kegelisahan, FOMO akhirat melahirkan semangat, ketenangan dan harapan. Ia menjadikan seseorang lebih berdisiplin, lebih ikhlas dan lebih fokus kepada matlamat hidup yang sebenar.

Untuk memupuk FOMO akhirat yang sihat, seseorang boleh mengamalkan beberapa langkah praktikal: 

Pertama, tetapkan matlamat harian yang berkaitan dengan amal soleh seperti membaca al-Quran, bersedekah atau menjaga solat berjemaah. 

Kedua, sertai komuniti yang aktif dalam kebaikan agar sentiasa terdorong dan termotivasi. 

Ketiga, amalkan muhasabah diri setiap malam, tanya diri, “Apakah kebaikan yang telah aku lakukan hari ini?”

Keempat, gantikan masa scroll media sosial dengan membaca kisah para sahabat atau tokoh soleh yang berlumba dalam amal. Perkara paling penting ialah sentiasa berdoa agar Allah SWT membuka hati untuk mencintai akhirat lebih daripada dunia. 

Dengan disiplin dan kesedaran ini, FOMO akhirat akan menjadi pendorong yang menyucikan jiwa dan memperteguh langkah menuju reda Ilahi.

Menemukan ketenangan dalam tauhid 

Keimanan kepada Allah SWT adalah benteng utama melawan FOMO. Seorang mukmin yang memahami tauhid dengan mendalam akan sedar bahawa dunia ini hanyalah ujian sementara.

Dia tidak akan berasa rendah diri apabila melihat orang lain lebih kaya, lebih terkenal atau lebih berjaya. Hal ini demikian kerana dia tahu bahawa nilai sebenar manusia di sisi Allah SWT bukan pada pencapaian dunia tetapi pada takwa dan amal soleh.

Tauhid membebaskan manusia daripada perhambaan kepada makhluk dan mengangkatnya kepada pengabdian kepada Tuhan yang Maha Esa. Inilah kebebasan spiritual yang sejati, bebas daripada tekanan sosial, bebas daripada perbandingan dan bebas daripada rasa tidak cukup.

FOMO adalah cerminan jiwa yang belum menemukan makna hidup yang sebenar. Dalam dunia yang sentiasa menuntut perhatian dan pencapaian, Islam menawarkan jalan keluar yang tenang dan bermakna.

Dengan keimanan yang tinggi kepada Allah SWT, kita tidak lagi takut terlepas dunia tetapi lebih takut terlepas akhirat. Dan dalam ketakutan itu, kita temui kekuatan untuk terus berbuat baik, bersyukur dan reda dengan setiap takdir yang ditentukan.

 

Ustazah Hasliza binti Talib
Pensyarah
Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia