Sebuah pesawat telah terhempas di hutan Amazon pada 1 Mei lalu hingga mengorbankan tiga orang dewasa.
Manakala penumpang lain yang merupakan empat adik-beradik telah ditemui 40 hari kemudian oleh pasukan penyelamat, 8 km arah Barat dari tempat kejadian tersebut.
Pengalaman pahit mereka bermula pada awal pagi apabila menaiki pesawat Cessna 206 dalam perjalanan antara lapangan terbang Araracuara di Caqueta dan San Jose del Guaviare, sebuah bandar di Colombia, mengeluarkan amaran mayday akibat kegagalan enjin.
Sepanjang 40 hari tempoh kehilangan, adik-beradik ini banyak bergantung kepada kemampuan pengetahuan kemahiran hidup dalam hutan kakak sulung mereka, Lesly yang berusia 13 tahun.
Menurut ahli keluarga mereka, Lesly sudah terbiasa menjaga adik-adiknya yang berusia 9,4 dan setahun apabila ibu mereka keluar bekerja.
Penemuan adik-beradik ini pada 9 Jun, Jumaat lepas menjadi suatu kegembiraan dan kemenangan pada pasukan penyelamat dan komuniti tempatan yang telah mulakan operasi pencarian sejak kapal terbang ini dilaporkan hilang.
Datuk kepada kanak-kanak ini, Fidencio Valencia berkata, “Adanya harapan untuk menemui mereka membuatkan kami terus hidup.”
“Apabila mereka ditemui, kami terlalu gembira sehingga hilang kata-kata. Kami tidak tahu apa yang harus dilakukan tapi kami berterima kasih kepada Tuhan,” tambahnya lagi.
Tragedi nahas pesawat itu telah mengorbankan ibu kanak-kanak ini yang dikatakan telah sempat hidup dalam kecederaan selama empat hari selepas pesawat terhempas.
Mengulas lanjut, Fidencio mengatakan kanak-kanak ini telah diajar kemahiran hidup dan tahu cara berburu serta mencari ikan sedari kecil sebagai sebahagian daripada tradisi orang asli Huitoto.
Sehubungan itu, pasukan penyelamat turut meninggalkan bungkusan-bungkusan makanan di sekitar kawasan nahas tersebut bagi membantu kelangsungan hidup kanak-kanak tersebut sekiranya terjumpa.
Terkini, adik-beradik ini sedang menerima rawatan di hospital akbiat gigitan serangga, dehidrasi dan kekurangan zat.
Presiden Columbia, Gustavo Petro telah menziarahi mereka di hospital.
Ujarnya, pasukan tentera bersama masyarakat peribumi telah membantu usaha pencarian menemui kanak-kanak ini setelah 40 hari pesawat terhempas.
“Kanak-kanak ini telah bertarung hidup untuk kelangsungan hidup sendiri. Justeru itu, mereka sendiri adalah contoh hidup survivor yang akan tercatit dalam lipatan sejarah.”
Empat kanak-kanak tersebut berikhtiar dengan memakan biji, akar dan tumbuhan yang mereka tahu selamat dimakan.
“Mereka adalah kanak-kanak orang asli dan mereka mengenali hutan dengan baik. Mereka tahu apa yang perlu dimakan dan apa yang tidak boleh dimakan. Mereka terselamat kerana ini dan kekuatan rohani mereka,” kata Luis Acosta daripada Pertubuhan Pribumi Kebangsaan Colombia (ONIC).
Kanak-kanak ini telah disatukan semula dengan keluarga mereka selepas mereka diselamatkan pada hari Jumaat.
Sumber: BBC & Al Jazeera