“Kedua-dua tajuk yang diberikan telah menghina kemuliaan kitab suci al-Quran dan keunggulan syariat Islam,” kata Pengarah Eksekutif IKRAM MUSLEH, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor.
Kedua-dua tajuk tersebut ialah:
b) Given the ability to rewrite the Quran, this House, as moderate Islamic scholars, would republish a new version of Quran with contents vulnerable to to radical misinterpretation removed.
c) A solid irrefutable evidence was found which proves that being homosexual is not a sin in Islam. There is no direct commandment from God regarding this, and it is instead a law decreed thousands of years ago from ijtima whose judgements were clouded by inherent homophobia. This House would not disclose this evidence.
Menurut Ustaz Megat Mohamed Amin, tajuk (b) memberi keraguan ketara ke atas kesucian ayat-ayat al-Quran sebagai kalamullah dan menyamakan ayat-ayat al-Quran dengan penulisan manusia.
“Sesungguhnya al-Quran adalah kalamullah, Rabbulalamin (berdasarkan surah as-Sajdah ayat 2 dan surah al-Israa’ ayat 106),” tegasnya.
Manakala tajuk (c) pula memberi keraguan ketara mengenai kejelasan hukum pengharaman homoseksualiti dalam syariat Islam.
“Kerana hakikatnya homoseksualiti adalah penyimpangan seks dan perbuatan keji yang dapat merosak akal fikiran dan akhlak manusia serta perbuatan homoseksualiti adalah diharamkan dalam Islam.”
Tambahnya, IKRAM MUSLEH menegaskan bahawa pihak penganjur program iaitu SDAR sewajibnya mengambil tanggungjawab penuh atas kesalahan besar ini dan mereka wajib memohon maaf dengan penuh penyesalan. IKRAM MUSLEH juga memohon agar tajuk bernuansa liberal seperti itu dihindarkan pada masa akan datang.
“Kami menyeru semua pihak khususnya mereka yang bertanggungjawab dalam dunia pendidikan, agar memastikan agama Islam tidak dipersenda dan isu-isu sensitif tidak disentuh dalam program begini.”
Sebelumnya, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) turut membantah sekeras-kerasnya tajuk debat ini dan mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang telah melanggar tatacara penetapan tajuk yang telah digariskan KPM serta tidak bertoleransi dengan isu-isu yang menyentuh akidah umat Islam.