Dalam era digital yang semakin pesat, penipuan dalam talian atau lebih dikenali sebagai scam semakin berleluasa dan membimbangkan. Modus operandi scammer kini lebih licik, terancang serta sukar dikesan. Ia menjadikan sesiapa sahaja berisiko menjadi mangsa.
Walau bagaimanapun, terdapat golongan tertentu yang lebih mudah terdedah kepada ancaman ini. Golongan rentan ini adalah seperti kanak-kanak, wanita dan warga emas. Mereka sering menjadi sasaran utama disebabkan faktor seperti kurang pendedahan teknologi, kepercayaan yang tinggi atau mudah panik.
Artikel ini akan mengupas punca mengapa golongan ini selalu menjadi mangsa penipuan dalam talian, contoh-contoh penipuan dalam talian yang sering menjerat golongan ini dan langkah-langkah untuk mengelakkan golongan ini daripada terjebak dengan penipuan dalam talian.
Mengapa scammer menyasarkan kanak-kanak, wanita dan warga emas
Scammer memilih golongan ini kerana mereka dianggap lebih mudah terpedaya, kurang pendedahan tentang jenayah siber serta cenderung mempercayai individu yang tidak dikenali.
Kanak-kanak, contohnya, masih mentah dari segi pemikiran dan mudah terpengaruh, khususnya apabila terlibat dengan media sosial atau permainan dalam talian yang sering menjadi medium penyamaran scammer.
Wanita pula kerap menjadi sasaran dalam bentuk penipuan emosi seperti love scam, di mana scammer memainkan perasaan untuk mendapatkan kepercayaan sebelum mengambil kesempatan.
Selain itu, wanita juga sering terjebak dalam penipuan jual beli dalam talian memandangkan mereka lebih aktif berbelanja secara digital.
Sementara itu, warga emas pula kebiasaannya kurang celik teknologi dan mudah mempercayai individu yang kelihatan sopan atau berautoriti. Hal ini menyebabkan mereka kerap menjadi mangsa penipuan yang melibatkan penyamaran sebagai pegawai kerajaan, bank atau penguatkuasa sehingga sanggup menyerahkan wang simpanan mereka.
Contoh-contoh scam terhadap golongan ini
Bagi kanak-kanak, antara bentuk scam yang sering berlaku adalah melalui permainan dalam talian atau aplikasi media sosial. Scammer menyamar sebagai rakan sebaya atau pemain permainan yang mesra untuk meraih kepercayaan kanak-kanak.
Setelah berhubung, mereka akan memancing maklumat peribadi seperti alamat rumah, nombor telefon ibu bapa atau maklumat akaun. Dalam sesetengah kes, kanak-kanak dimanipulasi untuk membeli barangan maya atau mata wang permainan menggunakan kad kredit ibu bapa tanpa pengetahuan mereka.
Situasi ini menjadi lebih parah apabila tiada pengawasan ibu bapa, menjadikan kanak-kanak sasaran mudah kerana sifat ingin tahu dan kurangnya kesedaran tentang risiko penipuan digital.
Wanita pula sering menjadi sasaran love scam, iaitu penipuan berasaskan emosi. Scammer akan menyamar sebagai lelaki tampan, berkerjaya dan selalunya dari luar negara. Mereka membina hubungan romantik secara maya dengan menunjukkan perhatian dan kasih sayang.
Setelah hubungan kukuh, mereka mula meminta wang atas alasan seperti kecemasan perubatan, kos perjalanan, cukai atau penghantaran hadiah. Mangsa yang terpedaya akan mengirim sejumlah wang yang besar tanpa menyedari dirinya ditipu.
Selain itu, wanita juga kerap menjadi mangsa penipuan pembelian dalam talian seperti tertarik dengan iklan barangan murah tetapi selepas pembayaran dibuat, barangan tidak pernah diterima atau yang diterima tidak seperti yang dijanjikan.
Bagi warga emas, antara jenis penipuan yang paling lazim adalah panggilan telefon palsu daripada individu yang menyamar sebagai pegawai LHDN, polis atau pegawai bank. Mereka akan menakut-nakutkan mangsa dengan mengatakan kononnya mereka terlibat dalam kes jenayah seperti pengubahan wang haram atau tunggakan cukai.
Scammer kemudian akan mendesak mangsa untuk memindahkan wang ke akaun tertentu sebagai penyelesaian sementara. Dalam kes lain, warga emas diberitahu mereka telah memenangi hadiah besar, tetapi perlu membuat bayaran proses terlebih dahulu.
Kekurangan pengetahuan teknologi dan sifat mudah percaya menyebabkan golongan ini lebih mudah menjadi mangsa penipuan yang licik dan manipulatif.
Cara mengelak scam untuk golongan ini
Langkah pencegahan amat penting bagi melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa scam dalam talian. Ibu bapa perlu memainkan peranan aktif dengan memantau aktiviti digital anak-anak secara berkala.
Gunakan perisian kawalan ibu bapa (parental control) bagi mengehadkan akses kepada laman atau aplikasi berisiko. Kanak-kanak juga perlu dididik tentang bahaya berbual dengan orang asing di internet serta kesan negatif berkongsi maklumat peribadi.
Terangkan kepada mereka bahawa walaupun seseorang itu nampak mesra atau sebaya, ia mungkin seorang dewasa yang menyamar. Galakkan komunikasi terbuka supaya anak-anak berasa selesa melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada ibu bapa atau penjaga.
Wanita perlu sentiasa berhati-hati apabila berinteraksi dengan individu yang baru dikenali dalam talian, terutama mereka yang terlalu cepat meluahkan perasaan atau menunjukkan minat mendalam.
Penipuan emosi sering bermula dengan kata-kata manis dan cerita menyayat hati sebelum membawa kepada permintaan kewangan. Elakkan berkongsi maklumat peribadi atau gambar sensitif. Jangan mudah terpedaya dengan janji-janji manis, lebih-lebih lagi jika belum pernah berjumpa secara fizikal.
Dalam urusan pembelian dalam talian pula, pastikan penjual mempunyai rekod yang baik dan gunakan platform yang mempunyai jaminan keselamatan. Guna sistem pembayaran yang selamat serta boleh dipertikaikan jika berlaku penipuan.
Bagi warga emas, usaha pendidikan digital amat penting bagi membantu mereka mengenal pasti taktik penipuan. Ahli keluarga boleh memainkan peranan dengan berkongsi contoh-contoh kes scam sebenar secara mudah dan jelas.
Jelaskan bahawa pihak berkuasa atau bank tidak akan meminta maklumat sensitif atau bayaran melalui telefon. Galakkan warga emas untuk mengabaikan panggilan atau mesej daripada nombor tidak dikenali dan jangan sesekali berkongsi maklumat peribadi.
Jika menerima panggilan mencurigakan, ajar mereka untuk segera merujuk kepada anak-anak atau ahli keluarga lain sebelum bertindak. Bimbingan berterusan ini boleh mengurangkan risiko mereka menjadi mangsa scam.
Kesimpulan
Scam merupakan ancaman serius dalam masyarakat moden yang memberi kesan besar kepada individu dan komuniti. Ia bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, malah mampu menjejaskan kesihatan mental dan emosi mangsa, terutamanya jika melibatkan penipuan jangka panjang atau jumlah wang yang besar.
Golongan seperti kanak-kanak, wanita dan warga emas merupakan sasaran utama kerana kelemahan tertentu seperti kurang pendedahan teknologi atau kepercayaan yang tinggi terhadap orang lain.
Oleh itu, langkah pencegahan dan pendidikan berkaitan scam perlu diperkukuh secara menyeluruh. Semua pihak termasuk kerajaan, institusi pendidikan, masyarakat dan ahli keluarga harus berganding bahu dalam memberikan kesedaran serta bimbingan.
Dengan pengetahuan dan pemahaman yang mencukupi, kita dapat melindungi golongan rentan daripada terus menjadi mangsa, sekali gus membina masyarakat yang lebih selamat, peka dan celik teknologi dalam menghadapi cabaran dunia digital.
Ts. Mohd Fitri Edros
Ketua Bahagian Infrastruktur ICT
Pusat Pengurusan & Pembangunan Digital
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)