Saban tahun kita banyak tempat di negara ini yang dilanda banjir dan saban tahun kita dapat lihat banyak kemusnahan harta benda, bahkan nyawa turut hilang akibat banjir.
Peritnya keadaan mangsa banjir yang rumahnya ditenggelami air, terpaksa mengalami detik sukar membersihkan rumah dan lumpur, membaiki kerosakan, menggantikan dengan barang serta peralatan baru yang memerlukan kos yang besar.
Ini belum lagi dikira kerosakan kenderaan, tanah runtuh, jalan runtuh dan kerosakan banyak bangunan dan infrastruktur. Baru saja banjir di Selangor dan Pahang, kini ia sedang melanda Kelantan dan Terengganu.
Persoalannya, mampukah banjir dicegah? Semua maklum banjir boleh berlaku pada bila-bila masa terutamanya pada musim tengkujuh sekitar November hingga Mac setiap tahun.
Namun, tanpa rancangan dan tindakan yang efektif untuk menangani puncanya, banjir akan terus berulang berlaku dan bertambah di kawasan-kawasan yang tidak dijangka.
Banyak pihak membincangkan langkah-langkah untuk menghadapi banjir, namun tidak banyak yang membincangkan langkah-langkah mengelakkan daripada berlakunya banjir.
Hujan yang amat lebat adalah antara faktor terbesar berlakunya banjir. Namun perlu dilihat, adakah sungai tersebut mampu menampungnya? Di sini letaknya keperluan untuk mendalamkan sungai supaya boleh menampung jumlah air yang luar biasa.
Selain itu, sistem perparitan setiap rumah terutamanya di luar bandar perlu diperbaiki dari semasa ke semasa supaya ia dapat mengalir dengan baik semasa hujan lebat.
Kawasan aktiviti pembalakan di hutan perlu terkawal, manakala aktiviti pembalakan secara haram perlu dibanteras terutamanya yang berdekatan dengan sungai bagi mengelakkan ‘banjir’ kayu-kayu balak di sungai apabila hujan yang amat lebat berlaku.
Kawasan-kawasan yang telah mengalami banjir berulang kali perlu dikenal pasti supaya dapat diselenggara sungai dan sistem perparitannya, begitu juga kawasan-kawasan rendah yang berisiko untuk banjir.
Sudah tiba masanya satu pelan bersepadu menangani dan mencegah banjir dibangun dan dilaksanakan dengan lebih terancang dan tersusun dengan kerjasama kerajaan pusat dan negeri.
Ini penting agar punca-punca banjir dapat dikurangkan dan seterusnya bencana banjir dapat dicegah dalam jangka masa panjang.
Oleh itu, kerajaan wajar menggerakkan misi Malaysia bebas banjir dalam tempoh sepuluh tahun akan datang bagi menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menangani banjir.
Jika tidak, banjir akan sentiasa menjadi ‘acara tahunan’ negara dan rakyat terpaksa menghadapinya berulang kali tanpa penyelesaian yang tuntas.