Ekonomi Malaysia: Kemampanan dan Agihan Jadi Cabaran

ekonomi

Analisis dimensi ekonomi dalam Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) memperlihatkan dua ciri yang wajar diberi perhatian iaitu Ciri 8 (Ekonomi yang Mampan) dengan skor 6.94 dan Ciri 9 (Agihan Kekayaan yang Saksama) dengan skor 6.78. 

Skor bagi kedua-dua ciri ini lebih rendah berbanding kebanyakan ciri lain dalam IMNR. Ekonomi yang Mampan dengan skor 6.94 dan Agihan Kekayaan yang Saksama dengan skor 6.78 berada di bawah skor purata dimensi ekonomi iaitu 7.13. Dapatan ini menandakan bahawa rakyat turut terkesan dengan keadaan ekonomi semasa negara. 

Ciri 8 didapati berada di bawah skor 7 dalam kalangan responden berpendapatan sederhana iaitu RM3,000 dan ke atas. Bagi Ciri 9 pula, skor juga berada di bawah 7 dalam kalangan responden berpendapatan rendah iaitu RM1,000 dan ke atas.

Skor terendah bagi ciri 9 adalah 6.63 dalam kalangan responden berpendapatan tinggi antara RM9,000 hingga RM10,999. Dapatan ini memberi gambaran bahawa golongan berpendapatan sederhana dan tinggi tidak sepenuhnya yakin terhadap ketahanan dan keadilan ekonomi negara.

Hal ini menunjukan kebimbangan terhadap kemampanan dan keadilan ekonomi bukan hanya melibatkan golongan berpendapatan rendah, tetapi berkait dengan keyakinan terhadap ketahanan ekonomi negara secara keseluruhan.

Dalam konteks semasa, isu rasionalisasi subsidi, tekanan hutang isi rumah serta ketidaktentuan harga komoditi memberi kesan langsung kepada persepsi rakyat.

Walaupun Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.9 peratus pada tahun 2025, disertai dengan pengukuhan Ringgit Malaysia sehingga menjadi antara mata wang terbaik di rantau Asia, ekonomi negara masih berhadapan dengan ketidaktentuan global, tekanan kos sara hidup, perubahan rantaian bekalan dan risiko kejutan luaran.

Justeru, pertumbuhan makroekonomi yang positif tidak semestinya diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.

Tambahan lagi, tekanan hutang isi rumah yang meningkat menjadi faktor penting yang mempengaruhi pola perbelanjaan rakyat. Nisbah hutang isi rumah kepada KDNK melonjak mencecah 84.3 peratus pada Mac 2025, menunjukkan komitmen hutang yang tinggi dalam kalangan rakyat.

Komitmen hutang ini akan mengurangkan pendapatan boleh guna dan seterusnya menekan perbelanjaan bukan keperluan, terutama kelompok berpendapatan rendah dan sederhana. 

Majoriti hutang isi rumah terdiri daripada pinjaman perumahan (61%), diikuti pinjaman kenderaan (13.5%) dan pembiayaan peribadi (12.4%), mencerminkan isi rumah Malaysia terikat dengan komitmen kewangan jangka panjang.

Keadaan ini menunjukkan bahawa sebahagian rakyat mungkin menyedari beban kewangan yang ditanggung, namun berada dalam dilema antara memenuhi keperluan dan kehendak hidup dengan komitmen hutang yang sukar dielakkan.

Namun begitu, IMNR 2025 turut memperlihatkan naratif yang lebih optimistik. Ciri 14 (Kemajuan dan Inovasi yang Terkedepan) serta Ciri 15 (Sektor Swasta yang Beretika dan Bertanggungjawab) masing-masing mencatatkan skor keseluruhan 7.40.

Skor ini menunjukkan tahap keyakinan rakyat yang lebih tinggi terhadap kemajuan teknologi dan transformasi ekonomi. Rakyat juga menyedari bahawa sektor swasta memainkan peranan penting dalam memacu inovasi, mencipta pekerjaan baharu dan meningkatkan daya saing global.

Secara keseluruhan, dimensi ekonomi dalam IMNR memperlihatkan dua naratif yang bergerak seiring tetapi dalam arah berbeza. Di satu pihak, kemampanan ekonomi dan agihan pendapatan masih menjadi cabaran teras yang kurang menyakinkan rakyat.

Di pihak lain, inovasi dan peranan sektor swasta menerima tahap keyakinan yang lebih tinggi. Percanggahan ini penting untuk difahami kerana ia mencerminkan struktur persepsi ekonomi rakyat Malaysia masa kini. 

Cabaran sebenar ekonomi Malaysia adalah memastikan hasil inovasi dan kemajuan ekonomi diagihkan secara adil serta dirasai dalam kehidupan harian rakyat.

Oleh itu, dasar pembangunan perlu memberi tumpuan bagaimana peranan sektor swasta diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan rakyat, penciptaan peluang pekerjaan dan pengecilan jurang ketidaksamaan.

Dr. Aainaa Amirah Haron

Ketua Pegawai Penyelidik

Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia