Awasi anak-anak anda di dunia maya, kerana mereka menjadi sasaran utama industri seksual dalam talian yang menjana keuntungan besar melalui eksploitasi kanak-kanak.
Jenayah Child Sexual Abuse Material (CSAM) semakin berleluasa dan pelaku sering menyasarkan mangsa melalui permainan, media sosial serta platform interaktif yang kelihatan “selamat”.
Alam maya menjadi taman permainan baharu bagi pemangsa kanak-kanak. Lebih membimbangkan, kanak-kanak suka pada mereka tetapi mereka suka pada kanak-kanak dengan niat untuk mengeksploitasi mereka.
Dahulu, mereka biasanya mendekati mangsa di taman permainan, sekolah atau jalanan. Sebilangan pemangsa mencari kerja yang dekat dengan kanak-kanak seperti pemandu kenderaan sekolah, pendidik dan seumpamanya.
Kini, mereka lebih banyak bersembunyi di balik skrin, menggunakan identiti palsu dan menyembunyikan niat di sebalik komunikasi tanpa wajah. Dunia digital memberi mereka kuasa baharu iaitu kemampuan untuk menyamar, membina kepercayaan dan memerangkap mangsa tanpa perlu keluar dari rumah.
Pemangsa di balik skrin dan kitaran pengantunan (grooming) digital
Jenayah yang dulunya nyata di taman atau sekolah kini menyelinap dalam bentuk digital yang lebih berbahaya namun senyap.
Jika dulu, anak boleh menjerit, lari atau meminta tolong. Kini, mereka diintai dari skrin melalui pertukaran mesej dan gambar yang disusun rapi sehingga tidak terasa diancam.
Justeru, ibu bapa yang tidak memantau kehidupan anak-anak di alam maya sebenarnya sedang membuka ruang kepada bahaya yang tidak kelihatan. Sedarlah, penjenayah siber hari ini bukan calang-calang.
Secara berstrategi, mereka tidak menyerang secara terang-terangan, tetapi mengintai dalam senyap, memanfaatkan setiap detik kelekaan sebagai senjata untuk menjerat mangsa. Pemangsa seksual kanak-kanak lazimnya memulakan proses pengantunan melalui beberapa tahap berperingkat.
Bermula dengan mewujudkan fantasi atau imaginasi seksual, diikuti kecenderungan terhadap bahan pornografi, kemudian menjejaki serta memerhati mangsa untuk mengenal pasti kelemahan dan peluang mendekati mereka.
Proses ini akhirnya membawa kepada pertemuan sebenar di dunia nyata yang menjadi titik permulaan kepada eksploitasi fizikal. Pada tahap ini, mangsa sudah dijerat, bukan dengan rantai, tetapi dengan kebergantungan emosi yang halus tetapi berbahaya.
Internet mempercepat kitaran ini, membolehkan pemangsa mengakses bahan pornografi, berkomunikasi dengan kanak-kanak dan mengintai mangsa secara pantas. Kitaran yang dahulunya mungkin mengambil masa beberapa bulan atau tahun kini boleh berlaku dalam beberapa jam sahaja.
Remaja masa kini membesar dengan akses tanpa sempadan. Dengan beberapa klik, mereka terdedah kepada dunia yang mempengaruhi cara berfikir, nilai moral dan persepsi yang mengisi terus minda dan jiwa mereka.
Tanpa bimbingan dan panduan, mereka boleh tersesat dan tersasar daripada landasan moral dan agama hingga menjadi pemangsa atau mangsa.
Peranan ibu bapa sebagai benteng pertahanan
Ibu bapa adalah benteng pertama dan terakhir. Ramai ibu bapa menasihati anak-anak agar berwaspada dengan orang asing di luar rumah, tetapi lupa bahawa orang asing kini datang melalui skrin yang berada di tangan anak sendiri. Telefon pintar tidak menjadi sekadar alat komunikasi, tetapi pintu kepada dunia luar yang sukar dikawal.
Pada era digital ini, anggapan anak selamat selagi berada di rumah sudah menjadi kurang tepat kerana rumah juga disasarkan menjadi medan serangan di alam balik tabir. Lebih membimbangkan apabila pemangsa lebih pandai mengambil hati dan kepercayaan anak berbanding ibu bapa sendiri.
Kawalan dan bimbingan
Ibu bapa perlu ada kesedaran serta pengurusan teknologi yang bijak apabila memutuskan untuk memberi gajet kepada anak. Setiap keputusan datang dengan tanggungjawab, bukan sekadar menjaga peranti, tetapi menjaga jiwa dan akal yang menggunakannya.
Di rumah, pengurusan penggunaan gajet perlu berprinsip dan berpandukan garis panduan yang jelas. Komputer dan peranti digital seeloknya diletakkan di ruang keluarga yang terbuka agar mudah dipantau, bukan tersembunyi di dalam bilik anak.
Ibu bapa juga digalakkan memasang perisian kawalan Internet seperti Family Link. Menariknya, ia percuma dan dapat membantu mengehadkan masa penggunaan, memantau laman yang dilayari serta melindungi anak daripada kandungan berisiko.
Dalam masa yang sama, ajarkan anak bahawa individu di dunia maya juga adalah “orang asing” dan perlu berhati-hati termasuk yang bersikap mesra.
Anak-anak perlu dikebalkan dengan ilmu dan jati diri yang kukuh melalui literasi digital yang berpaksikan nilai agama dan akhlak. Mereka mesti difahamkan bahawa melihat, memiliki, berkongsi atau merakam bahan pornografi kanak-kanak adalah jenayah berat di sisi undang-undang, melanggar moral dan dosa besar di sisi agama.
Anak-anak juga perlu diberikan kesedaran terhadap bahan yang mengandungi unsur kekerasan dan keganasan kerana paparan sebegitu mampu menumpulkan empati dan memusnahkan nilai kemanusiaan.
Walaupun dilakukan atas alasan suka sama suka, ingin tahu atau gurauan, perbuatan itu tetap salah. Kesedaran ini mesti ditanam sejak awal supaya mereka faham bahawa setiap klik ada kesan dan akibatnya.
Galakkan mereka untuk segera melaporkan mesej, gambar atau ajakan mencurigakan. Yang penting, wujudkan suasana yang selamat dan terbuka supaya anak tidak takut atau malu untuk bercerita.
Walaupun bagus ada perisian yang direka untuk mengawal penggunaan dan menapis kandungan Internet bagi anak-anak, namun secanggih mana pun teknologinya, ia tetap tidak mampu melindungi anak secara menyeluruh daripada kandungan berbahaya.
Perisian ini cuma alat bantu yang pasti ada kelompongannya. Kelemahan yang wujud tetap dapat dimanipulasikan secara kreatif oleh pemangsa yang licik.
Dalam dunia tanpa sempadan, perlindungan sebenar tidak datang daripada skrin atau sistem keselamatan digital, tetapi daripada benteng paling asas iaitu keluarga sendiri. Hubungan keluarga yang rapat, komunikasi yang terbuka dan pemantauan aktif oleh ibu bapa adalah tembok pertama yang menghalang ancaman digital.
Namun, perlindungan tidak berhenti di rumah sahaja. Anak-anak juga boleh terdedah di rumah rakan, di perpustakaan atau di sekolah. Oleh itu, pendidikan keselamatan digital mesti dijadikan budaya bersama, bukan sekadar tanggungjawab ibu bapa.
Komuniti termasuk guru, rakan sebaya dan masyarakat sekitar perlu memainkan peranan dalam mewujudkan budaya melapor tanpa rasa takut. Anak-anak mesti berani berkata, “Saya rasa tak selesa,” tanpa bimbang akan dimarahi atau dihukum.
Pendekatan ini bukan sekadar membina kesedaran tentang undang-undang, tetapi lebih daripada itu iaitu menanam nilai murni yang utuh.
Anak yang beriman dan memahami nilai diri akan lebih berhati-hati dengan pengaruh buruk, mampu mengenal pasti situasi berbahaya, melindungi diri daripada fitnah serta menghormati maruah diri dan orang lain.
Platform digital juga harus dipertanggungjawabkan
Tanggungjawab melindungi kanak-kanak juga terletak pada syarikat teknologi. Di Eropah, undang-undang seperti EU Digital Services Act dan UK Online Safety Act mewajibkan platform media melaporkan serta menurunkan kandungan eksploitasi kanak-kanak secara automatik.
Tindakan ini berjaya menekan kadar penyebaran bahan pornografi kanak-kanak (CSAM) secara signifikan melalui mekanisme pemantauan proaktif, algoritma pengesanan imej dan keperluan laporan ketelusan yang ketat.
Platform digital seperti Meta, Google dan Telegram kini tertakluk kepada audit berkala serta penalti besar sekiranya gagal menurunkan kandungan berunsur eksploitasi dalam tempoh masa ditetapkan.
Lebih penting, pendekatan ini mengubah tanggungjawab daripada reaktif kepada pencegahan awal, menjadikan syarikat teknologi sebahagian daripada ekosistem perlindungan kanak-kanak global, bukan sekadar penyedia ruang digital.
Apabila generasi rosak nilai memegang kuasa
Bahaya sebenar bukan hanya pada anak yang terjebak hari ini, tetapi pada generasi rosak jiwa yang kelak membesar dan memegang kedudukan berpengaruh. Mereka mungkin menjadi pendidik, pegawai agama, pembuat dasar atau pemimpin namun membawa nilai yang telah tercemar.
Lebih menakutkan, apabila dosa dan keruntuhan moral dinormalisasi atas nama “keterbukaan” dan “hak individu”, maka runtuhlah benteng akhlak bangsa dari dalam tanpa perlu diserang dari luar.
Apabila hati yang telah hilang arah diberi kuasa, undang-undang boleh diputar, nilai boleh dipadam dan maksiat boleh dijustifikasi. Inilah kemusnahan moral yang tidak lagi dapat diperbaiki dengan undang-undang semata-mata, tetapi memerlukan kebangkitan jiwa dan kesedaran fitrah.
Perlindungan sebenar bermula di rumah. Bina komunikasi terbuka, jadikan agama sebagai panduan utama dan jangan serahkan bulat-bulat penjagaan anak-anak kepada pihak lain terutamanya kepada Internet.
Setiap anak yang terselamat hari ini ialah pelita kepada masa depan bangsa. Namun, setiap anak yang terjerumus adalah kehilangan yang tidak terganti.
Jika anak hilang di jalan raya, kita akan mencarinya tanpa henti. Namun apabila anak “hilang” di dunia digital, ramai ibu bapa tidak sedar mereka sedang ditarik perlahan-lahan ke lembah gelap yang memusnahkan masa depan.
Telefon pintar kini menjadi pintu masuk ke dunia yang penuh racun nilai dan setiap klik tanpa kawalan boleh menjadi permulaan kepada kehilangan yang tidak terganti.
Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia




