BANDAR BARU BANGI – Mantan Presiden IKRAM, Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad merupakan antara penerima anugerah Ahli Kehormat Persatuan Akademia IKRAM Malaysia (IKRAM Academia).
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Presiden IKRAM, Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan kepada beliau dalam Majlis Anugerah dan Makan Malam IKRAM Academia di Bangi Resort Hotel, di sini pada Sabtu.
Selain Dr Mohd Parid, dua penerima Ahli Kehormat lain ialah Profesor Emeritus Dato’ Abang Abdullah Abang Ali, mantan Dekan Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Profesor Madya Dr Ismail Lutfi Japakiya, Rektor Universiti Fatoni.
Turut menyaksikan penyampaian anugerah itu Pengerusi IKRAM Academia, Profesor Dr Sahrim Hj Ahmad dan Pengarah Majlis, Profesor Dr Ahmad Ainuddin Nuruddin.
Dalam majlis itu juga, IKRAM Academia buat julung kalinya melancarkan buku pertama terbitannya yang bertajuk ‘Menara Akademia: Gading Mana Yang Tak Retak’.
Buku tersebut yang merupakan kompilasi penulisan kisah pahit manis 19 orang wanita akademia yang bertarung dalam dunia akademia, antaranya Naib Presiden IKRAM, Profesor Dr Hanim Salleh.
Buku ‘Menara Akademia: Gading Mana Yang Tak Retak’ merupakan projek kerjasama antara IKRAM Akademia dan Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita Nasional (PenaWan).
Menariknya, ia turut dimuatkan blurb belakang buku oleh Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom, pemenang Anugerah Buku Negara 2022.
Persatuan Akademia IKRAM Malaysia (IKRAM Academia) merupakan sebuah pertubuhan yang menghimpunkan ahli-ahli IKRAM dalam kalangan ahli akademik dari pelbagai institusi pengajian tinggi kerajaan dan swasta di Malaysia.
Matlamat IKRAM Academia adalah untuk menjalankan penyelidikan, meningkat profesionalisme, memperkukuhkan institusi akademik, bekerjasama melaksanakan dasar-dasar negara, menjaga kebajikan ahli dan menyebarkan maklumat berkaitan bidang akademia.
Info lanjut IKRAM Academia boleh dilayari di pautan https://ikramacademia.org.my/ atau laman rasmi FB https://www.facebook.com/AkademiaIKRAM/.