Mereka mengucapkan terima kasih atas sokongan dan bantuan daripada Wisma Putra yang mengikuti perkembangan misi dari hari pertama sehingga saat-saat Dr Fauziah ditawan oleh askar zionis Israel.
Dato’ Seri Najib turut menyatakan sokongan penuh beliau terhadap syor komiti pusat Freedom Flotilla Coalition (FFC) untuk menjadikan Malaysia sebagai penganjur utama bagi misi akan datang.
“Isu Palestin ini sangat dekat di hati beliau, YAB Perdana Menteri pun telah sampai ke Gaza dan beliau mengatakan, teruskan perjuangan (membela Palestin) ini,” kata Dr Fauziah.
Hadir sama dalam kunjungan tersebut Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dan CEO MyCARE, Hj Kamarul Zaman Shaharul Anwar.
Pada tahun 2013 yang lalu, Dato’ Seri Najib telah membuat lawatan khusus ke Gaza, Palestin dan bertemu Dr Ismail Haniyeh sebagai tanda solidariti terhadap isu ini selain memberikan peruntukan untuk membangunkan semula pejabat pentadbiran Gaza, hospital, bangunan sekolah dan sebuah masjid di Gaza.
Lawatan tersebut turut disambut oleh wakil Pemegang Amanah Aqsa Syarif, Ustaz Abdul Haris Bain dengan menyarungkan mafla Palestin kepada Perdana Menteri sebagai tanda penghargaan.
Penyertaan Dr Fauziah melalui misi Women’s Boat to Gaza bertujuan untuk membantu wanita dan kanak-kanak Gaza mendapatkan rawatan perubatan segera.