Dr Abdul Karim Zaidan: Perginya Pemikir Islam yang Hebat

Pada hari Isnin, 27 Januari 2014 bersamaan 25 Rabiulawal 1435 H, dunia kehilangan seorang tokoh, seorang alim, pemikir Islam yang hebat, Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan, Muraqib Am bagi jamaah Ikhwan Muslimin di Iraq. Sepanjang hayatnya penuh dengan sumbangan ilmu, pemikiran, tarbiah, pengajaran dan penulisan.

Almarhum menetap di Yaman sejak beberapa tahun lalu sebagai tenaga pengajar di Universiti al-Iman yang diasaskan oleh Syeikh Abdul Majid Aziz az-Zindani.

Ringkasan sejarah almarhum dipetik daripada tulisan murid beliau, Dr Sami al-Janabi:

Dr Abdul Karim dilahirkan pada tahun 1921 di Baghdad daripada keluarga al-Muhamadah, satu cabang daripada kabilah ad-Dulaym. Ayah beliau meninggal dunia ketika beliau berusia tiga tahun.

Menyempurnakan persekolahan rendah di Baghdad, beliau memasuki pusat pengajian Dar al-Mu’allimin al-Ibtida’iyyah. Selepas tamat pengajian di situ, beliau menjadi guru di sekolah rendah. Kemudian, beliau memasuki Kuliah Undang-undang di Baghdad. Setelah tamat, Dr Abdul Karim dilantik sebagai mudir di Sekolah Menengah Agama an-Najibiyyah.

Beliau (kemudiannya) memasuki Maahad asy-Syari’ah al-Islamiyyah di Universiti Kaherah dan meraih ijazah sarjana dengan darjah mumtaz (cemerlang). Beliau mendapat ijazah kedoktoran daripada universiti yang sama pada tahun 1962 dengan kepujian kelas pertama.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau:

1. Profesor Syariah Islamiyyah dan Ketua Bahagian Syari’ah di Fakulti Undang-undang, Universiti Baghdad

2. Profesor Syariah dan Ketua Bahagian Agama di Fakulti Sastera, Universiti Baghdad

3. Professor Syariah di Fakulti Pengajian Islam serta Dekan Fakulti. Ia merupakan gelaran yang tidak pernah diperolehi oleh sesiapa pun di Universiti Baghdad selain beliau.

Beliau telah menghasilkan lebih daripada 10 buah buku yang sangat bermanfaat, antaranya:

1.     Al-Madkhal li Dirasat asy-Syari’ah al-Islamiyyah

2.     Usul ad-Dakwah

3.     Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar’ah wa Bait al-Muslim fi asy-Syari’ah al-Islamiyyah (11 jilid)

4.     Al-Wajiz fi Syarh al-Qawaed al-Fiqhiyyah fi asy-Syari’ah al-Islamiyyah

5.     Asy-Syarh al-‘Iraqi lil-Usul al-‘Isyrin dan banyak lagi.

 

Dr Abdul Karim menerima anugerah al-Malik Faisal al-Alamiyyah dalam pengajian Islam pada tahun 1997.

Beliau dianugerahkan ingatan yang sangat kuat bak besi berani. Beliau mengingati makna dan kata-kata berkaitan hukum fiqh walaupun telah bertahun-tahun berlalu. Saya masih ingat, almarhum pernah membacakan beberapa ungkapan supaya saya tulis di bahagian mukadimah tesis saya. Kemudian selepas disunting, saya ubah suai ayatnya mengikut ijtihad saya sendiri.

Selepas tempoh masa yang lama, saya membacakan tesis saya di hadapannya. Dia bertanya, mana ayat yang dia bacakan dulu? Saya berkata, saya sudah ubah suai dengan bahasa sendiri. Dia berkata, jangan. Lalu dibacanya semula sama seperti apa yang telah dibacakan sebelum ini tanpa tambah dan kurang walaupun satu perkataan.

Almarhum sangat mengambil berat tentang urusan dakwah di Iraq. Tidak pernah satu hari pun beliau tidak bertanya khabar tentang negaranya, tentang para pendakwah serta hal keadaan mereka.

Almarhum merupakan insan yang paling zuhud, tidak mementingkan pangkat dan jawatan, tidak mengejar kemasyhuran, tidak mendampingi pemerintah dan ketua-ketua negara, jauh daripada sifat riyak dan mengada-ngada.

Waktu-waktunya dihabiskan dengan membaca al-Quran, meneliti tulisan murid-muridnya dan berbincang dengan mereka di rumahnya, mengarang, bertemu para ilmuwan dan mengajar. Tidak berlalu satu saat pun waktunya tanpa diisi dengan amal soleh.

Almarhum sangat mengagumi Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Kajian dan tulisan beliau banyak dipengaruhi tokoh tersebut.

Baliau telah mengasaskan Kuliah al-Dirasat al-Islamiyyah pada akhir tahun 1960-an untuk membuka ruang pengajian ilmu syarak mengikut manhaj salaf. Dan kuliah yang diasaskannya itu telah berjaya mengeluarkan puluhan graduan. Namun, datang parti Ba’ath (parti pemerintah), kuliah itu telah ditutup, orang-orang yang condong kepada Islam ditangkap dan sekolah-sekolah agama dihapuskan.

Semoga Allah terima beliau dengan rahmat dan reda-Nya.

 

Ustazah Maznah Daud

Sumber (Terjemahan): http://zaadut-taqwa.blogspot.com/2014/01/dr-abdul-karim-zaidan-1921-2014-dalam.html

Sumber asal: http://www.egyptwindow.net/news_Details.aspx?Kind=1&News_ID=41014

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia