Dirasmikan oleh Presiden IKRAM, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, seramai 109 peserta dikongsikan tentang ilmu perbahasan mengenai kenegaraan, Parlimen Belia Malaysia, beberapa isu semasa daripada pakar dan juga didedahkan dengan tip ketrampilan diri sebagai pemimpin.
Dalam program DBPI anjuran Unit Penokohan Belia (SHEILD) dengan kerjasama Jawatankuasa Belia dan Remaja (JKBR) IKRAM ini, peserta dibahagikan kepada sembilan jawatankuasa dan masing-masing mencadangkan satu usul untuk dibahaskan di mana usul berkaitan agama dan pendidikan menjadi pilihan.
Ia menjadi medan perbincangan idea serta pendapat yang berbeza terhadap isu semasa bagi melatih bakal pemimpin menyampaikan topik dan membahaskan isu dengan efektif serta memfokuskan kepada penyelesaian alternatif.
Beberapa pakar daripada pelbagai bidang turut terlibat dalam menjayakan dewan perbahasan ini sebagai usaha untuk meningkatkan kefahaman peserta tentang isu semasa antaranya ialah YB Dr Ong Kian Ming (Taraf Kesihatan Ekonomi Malaysia), Dato’ Saifuddin Abdullah (Politik Baru: Demokrasi Untuk Keadilan Sosial), YB Nurul Izzah Anwar (Sistem Demokrasi Perlembagaan: Cabaran dan Solusi) dan Munaz Hijab Enterprise (Sesi Grooming) .
Program diakhiri dengan ucapan penutup oleh Hj Shahrul Aman Mohd Saari, Naib Presiden IKRAM merangkap Pengerusi JKBR.
Ternyata para peserta belia amat menghargai penganjuran program seperti ini sebagai latihan dan persediaan untuk menambah baik kualiti kepimpinan dalam kalangan mereka. Bagi peserta mahasiswa, mereka beranggapan bahawa program seperti ini merupakan titik permulaan untuk mereka mendekati dan mengenali masyarakat melalui pelbagai isu.
Peserta remaja pula mengambil peluang dan pengalaman sepanjang program sebagai pendedahan yang baik untuk sentiasa peka tentang isu negara. Hasilnya, program ini memberi pendedahan yang menyeluruh tentang realiti proses perbahasan peringkat belia, perkongsian pelbagai ilmu dan memberi pendidikan ketrampilan sebagai nilai tambah bagi semua peserta.
Bak kata pepatah Melayu “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, inisiatif program seperti ini merupakan langkah kecil sebagai permulaan untuk membawa perubahan yang besar pada negara khususnya belia akan datang, insya-Allah.